Site icon MuslimahHTM News

Qatar Hadiahkan Jet Mewah kepada Trump, Negeri Muslim Miskin Visi

Qatar Hadiahkan Jet Mewah kepada Trump, Negeri Muslim Miskin Visi

Oleh: Lukman Indra Bayu

Penganalisis Hubungan Antarabangsa, Budi Mulyana, menyatakan bahawa peristiwa pemberian hadiah sebuah pesawat mewah oleh Qatar kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, perlu dilihat sebagai refleksi daripada kelemahan sistemik politik global saat ini, khususnya dalam dunia Islam.

“Secara umumnya, kita perlu melihat peristiwa ini sebagai refleksi dari kelemahan sistemik politik hari ini: di mana negeri-negeri Muslim yang kaya dari segi kewangan sebenarnya miskin dari segi visi politik global, sehingga terjebak dalam lingkaran kebergantungan dan mengabaikan urusan umatnya sendiri,” katanya kepada media-umat.com, Isnin (22/6/2026).

Menurutnya, peristiwa tersebut tidak boleh dilihat sebagai praktik diplomasi biasa. Sebaliknya, tindakan tersebut mencerminkan adanya krisis izzah (kemuliaan/harga diri) di kalangan penguasa Muslim yang cenderung tunduk kepada hegemoni Barat.

“Dalam pandangan Islam, kedaulatan politik umat Muslim hendaklah bersifat bebas dan memiliki izzah. Pemberian hadiah yang mewah nilainya kepada pemimpin negara sekular Barat sering kali tidak dianggap sebagai diplomasi biasa, sebaliknya dilihat sebagai suatu bentuk subserviansi (ketundukan) demi mendapatkan perlindungan politik (muwalah),” tuturnya.

Menurut Budi, kecenderungan ini menunjukkan bahawa negeri-negeri Muslim lebih memilih untuk mencari perlindungan politik daripada kuasa Barat berbanding membina kekuatan kolektif sesama mereka sendiri.

“Daripada bergantung kepada kekuatan pakatan antara negeri-negeri Muslim atau kekuatan dalaman umat, penguasa negeri Muslim sebaliknya menggunakan kekayaan alam negara mereka untuk ‘menyogok’ atau mengambil hati kuasa asing,” jelasnya.

Lebih jauh lagi, Budi turut mengkritik keras aspek pembaziran dalam pemberian hadiah tersebut. Penggunaan dana dalam jumlah yang sangat besar bagi tujuan simbolik seperti itu bertentangan dengan prinsip pengurusan harta dalam Islam yang melarang tabdzir (pembaziran), apatah lagi apabila dana tersebut berasal daripada kas negara.

“Ketika jutaan umat Islam di pelbagai pelosok dunia, bermula dari Palestin, Yaman, sehingga ke kem-kem pelarian, mengalami krisis kelaparan, kemiskinan, dan kemusnahan akibat peperangan, kekayaan negeri-negeri Muslim pula mengalir dalam bentuk hadiah jet mewah kepada seorang bilionair asing,” jelasnya.

Menurut Budi, dalam pandangan Islam, usaha menyelamatkan nyawa dan memenuhi keperluan asas umat jauh lebih utama berbanding diplomasi berasaskan transaksi yang bersifat dangkal, dasar seperti ini hanya akan memperluaskan jurang ketidakadilan di kalangan umat Islam.

“Berdasarkan ideologi [Islam], menyelamatkan nyawa dan mensejahterakan umat adalah jauh lebih wajib hukumnya daripada melakukan diplomasi berasaskan transaksi yang bersifat dangkal,” katanya.

Selain itu, Budi menyoroti aspek penyalahgunaan konsep pemilikan umum (milkiyyah ‘ammah). Kekayaan alam seperti gas yang dimiliki Qatar hakikatnya adalah milik seluruh umat, di mana pengurusannya hendaklah ditujukan untuk kemaslahatan rakyat, bukannya demi kepentingan golongan elit atau pihak asing.

“Menggunakan hasil bumi umat untuk membiayai gaya hidup mewah pemimpin negara asing dianggap sebagai satu bentuk penyalahgunaan kuasa dan pengabaian terhadap konsep amanah bayt al-maal (perbendaharaan negara),” tegasnya.

Kesan Geopolitik

Budi turut berpandangan bahawa peristiwa ini membawa kesan geopolitik yang amat merosakkan, peristiwa ini sebagai simbol peralihan landskap politik global yang berpotensi melemahkan kedudukan tawar-menawar dunia Islam, khususnya dalam memperjuangkan isu Palestin.

“Peristiwa ini bukan sekadar isu ‘diplomasi pesawat’, sebaliknya simbol dari peralihan peta politik yang melemahkan posisi tawar dunia Islam, khususnya dalam membela isu Palestin,” tuturnya.

Beliau menjelaskan, langkah Qatar tersebut berpotensi “menyandera” peranan strategiknya sebagai orang tengah dalam konflik Palestin. Selama ini, Qatar dikenali mempunyai kedudukan yang unik kerana menjadi tuan rumah pejabat politik Hamas, di samping menjadi lokasi pangkalan tentera terbesar Amerika Syarikat di Timur Tengah, Al-Udeid. Namun, pemberian hadiah yang begitu mewah itu dianggap sebagai usaha untuk membeli jaminan keamanan politik daripada Washington.

“Apabila Qatar memberi ‘harta’ semewah itu kepada Trump, maka sifat berkecualinya telah runtuh. Mereka akan menjadi semakin mudah ditekan untuk menjinakkan malah mengorbankan faksi perlawanan Palestin demi kepentingan Barat,” ujarnya.

Selanjutnya, Budi berpandangan bahawa peristiwa ini turut membuka ruang kepada bentuk normalisasi gaya baharu yang mengukuhkan agenda Abraham Accords. Perjanjian tersebut disifatkan sebagai satu bentuk pengkhianatan sistemik terhadap Palestin, dan pemberian pesawat ini menjadi simbol kesediaan negara-negara Teluk untuk meneruskan agenda tersebut di bawah pengaruh Trump.

“Diplomasi jet mewah ini bukan sekadar hubungan dua hala, tetapi merupakan isyarat bahawa negara-negara Teluk bersedia berkompromi dengan lebih jauh terhadap agenda AS. Ini akan mempercepatkan isolasi perjuangan Palestin,” katanya.

Menurutnya, tindakan tersebut turut mempertegas pengukuhan hegemoni Amerika Syarikat dan Barat atas sumber kekayaan dunia Islam. Kekayaan alam kawasan Teluk terus dimanfaatkan untuk memperkuat simbol kekuasaan Barat, bukan untuk membina kemandirian politik umat Islam.

“Transaksi seperti ini mengukuhkan kenyataan pahit bahawa rejim-rejim di Timur Tengah merasakan keselamatan takhta mereka tidak bergantung pada soliditi umat Islam atau keadilan bagi Palestin, sebaliknya bergantung kepada restu politik dari Rumah Putih,” tegasnya.

Beliau menambah, realiti ini menunjukkan kebergantungan rejim-rejim Timur Tengah terhadap legitimasi politik daripada Rumah Putih. Menurut pandangannya, isu Palestin sering diketepikan demi menjaga kestabilan kuasa dan kepentingan elit, sementara konflik di kawasan tersebut sengaja diurus agar kebergantungan terhadap perlindungan Barat terus berkekalan.

Menurutnya, isu Palestin sengaja dipinggirkan demi menjaga kestabilan politik dan ekonomi golongan elit penguasa. Konflik di Timur Tengah pula, katanya, sering diurus agar terus berlarutan supaya negara-negara kawasan itu terus bergantung kepada perlindungan ketenteraan dan politik Amerika Syarikat.

“Konflik tidak benar-benar diselesaikan, sebaliknya dipelihara agar kebergantungan terhadap Barat tetap terjaga,” jelas Budi.

Beliau menegaskan bahawa selagi dunia Islam masih berpecah-belah dalam sistem nation-state (negara bangsa) yang pragmatik, kekayaan alam mereka akan terus menjadi alat transaksi politik. Dalam keadaan sedemikian, menurutnya, penyelesaian isu Palestin akan sukar dicapai.

“Selama para pemimpin negeri Muslim lebih sibuk memperkukuh simbol kemewahan kuasa-kuasa besar dunia, maka keadilan bagi Palestin hanya akan kekal sebagai wacana tanpa sebarang realisasi,” tutupnya.

#global #politikglobal

Exit mobile version