Muslimah Perlu Menjadi Influencer Bervisi Islam
Oleh: Aliya Ab Aziz
Aktivis Muslimah HTM, Dr Aslam Diyana menyatakan bahawa Muslimah perlu mengambil peranan sebagai influencer bervisi Islam yang mampu mempengaruhi umat melalui kedudukannya dalam masyarakat serta penglibatannya di ruang digital.
“Bila kita membincangkan tentang influencer, sebenarnya point yang kita nak bawa adalah influencer yang boleh mempengaruhi umat dalam kedudukannya di dalam masyarakat dan, juga pada masa sama, mempunyai peranan dalam era digital,” katanya dalam Open Circle Sahabat Muslimah : Siri Kita Bangkit! bertajuk Menjadi Influencer Bervisi Islam, pada Sabtu (6/6/2026).
Menurut beliau, keterbukaan dunia digital menyebabkan masyarakat terdedah kepada pelbagai maklumat, budaya dan pemikiran. Atas sebab itu penting bagi Muslimah untuk menjadi ejen pencetus kesedaran yang akan mengintegrasikan ataupun menghubungkan antara kehidupan di dalam dunia digital dengan kehidupan sebenar.
Beliau mendedahkan bahawa, “Banyak maklumat-maklumat yang ada di dalam kita punya dunia digital yang ada di dalamnya tidak ditapis, sehinggakan ia melahirkan tingkah laku masyarakat yang semakin jauh daripada agama”.
“A group of people yang memang secara terbuka menyata, (atau) mencabarlah keberadaan Tuhan, sehinggakan kita nampaklah tak beberapa lama tu diturunkan apa yang kita panggil bencana. Tapi sejauh mana ya manusia, melihat peristiwa tersebut tu sebagai satu pengajaran bahawa itu adalah sebenarnya peringatan tentang kehidupan yang berlaku sekarang ni,“ bongkarnya kecewa ketika mencontohkan tentang kerosakan dalam masyarakat.
Sambungnya lagi, “Apa yang kita sangat risau bilamana manusia hanya melihat ataupun menganggap perkara tersebut sekadar bencana alam, bukannya peringatan daripada Tuhan kan untuk kita kembali kepada fitrahnya.”
Oleh itu, menurut Dr Aslam, influencer bervisi Islam perlu membentuk cara berfikir berasaskan al-Quran dan sunnah serta memahami ajaran Islam agar mampu membimbing masyarakat keluar daripada kerosakan pemikiran dan tingkah laku.
“Inilah hakikat zulmat yang membutakan masyarakat sebagaimana diperingatkan dalam al Quran. Secara overall kita pun faham bahawa al Quran tu sebenarnya adalah kita punya kompas kehidupan yang memang definite, yang memang kita perlu ambil,” jelasnya ketika menerangkan peringatan dalam surah Ibrahim ayat 1.
Tidak perlu menunggu sempurna
Dr Aslam menegaskan bahawa seseorang tidak perlu menunggu sehingga dirinya sempurna atau memiliki sijil tertentu untuk menjalankan peranan mempengaruhi masyarakat.
“Tak perlu kita menunggu masa yang lama sampai kita rasa kita ni dah perfect, dah ada mungkin sijil yang tertentu, baru kita rasa kita nak menyampaikan. Ia bukan macam tu tapi bilamana kita disampaikan ilmu, kita terus menyampaikan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, peranan sebagai influencer memerlukan muslimah untuk prihatin terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya, terutama kepada masyarakat yang berada dalam komuniti yang yang paling hampir dengannya.
Kepentingan mendalami ilmu Islam dan ilmu digital
Menurut Diyana, selain memperdalam tsaqafah Islam, Muslimah juga perlu menguasai kemahiran digital supaya mesej Islam dapat disampaikan dengan lebih cepat, menarik dan meluas.
“Dengan kita menguasai ilmu digital, capaian maklumat itu lebih cepat dan kita boleh menyebarluaskan lebih banyak maklumat,” katanya.
Beliau mengatakan, teknologi digital mempunyai potensi strategik kerana satu idea yang diterbitkan boleh tersebar kepada ramai orang dalam tempoh singkat.
“Kalau sebelum ini kita nak sampaikan satu idea, kita terpaksa sampaikan dari mulut ke mulut. Tetapi sekarang, dalam digital, kita campakkan satu idea dan ia boleh terus tersebar seperti biji benih,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, dalam masa yang sama, beliau menekankan agar muslimah tetap mesti berperanan nyata di dalam masyarakat sekeliling.
Sebutnya lagi, “Kita pun kena mainkan peranan kita untuk memasyarakatkan diri kita tu supaya kita berada dalam komuniti dan kita ni relevant.”
Beliau seterusnya membezakan influencer bervisi Islam dengan influencer bervisi kapitalis.
“Kenapa orang nak jadi influencer? Sebab dia tahu apabila dia jadi influencer, dia akan mendapat populariti dan satu lagi, dia ada money orientation. Ukurannya semata-mata views dan likes,” katanya.
Sebaliknya, Diyana menegaskan bahawa influencer bervisi Islam mestilah menggunakan pengaruhnya untuk mengubah pemikiran masyarakat secara kolektif, membina kesedaran serta mengarahkan umat kepada kehidupan yang berlandaskan Islam.
“Influencer yang ada visi Islam itu, dia akan mengubah minda masyarakat secara kolektif, dan perkara tersebut adalah amal pahala jariah yang berpanjangan,” terangnya.
Sambungnya lagi, sesuatu kandungan Islam tetap berpotensi memberikan kesan walaupun tidak mendapat banyak respons kerana idea tersebut boleh melekat dalam pemikiran pembaca sebelum berkembang menjadi perbincangan dalam masyarakat.
“Sebenarnya kadang-kadang mungkin kita tak famous pun, tapi the influence of idea tu dia trigger, dan ia akan berkembang. Sebab tu pentingnya kita perlu sampaikan idea-idea tu walaupun benda tu kita nampak macam rare, macam tak popular,” ujarnya memotivasikan.
Selain itu, menurutnya, influencer bervisi Islam perlu membangunkan literasi politik Islam agar masyarakat dapat memahami isu semasa, masalah umat dan penyelesaiannya berdasarkan pandangan Islam.
Katanya, “Sebab tu untuk kita menjadi pencetus kesedaran tu, kita perlu bangunkan literasi politik Islam. Kita kena didik umat tentang politik Islam, benda yang jarang diajarkan dalam pengajaran-pengajaran kita masa sekolah dulu.”
Beliau turut menyeru ibu bapa supaya menanamkan kesedaran sosial dan politik kepada anak-anak sejak awal.
“Institusi keluarga, untuk parents dia kena tanamkan kesedaran tentang tanggungjawab-tanggungjawab sosial dan juga politik dalam pendidikan anak-anak dia. Macam kita kalau dah ada anak-anak, benda tu dah kena mula diterapkan sejak daripada sekarang lagi, kita dah kena mula dedahkan,” ungkapnya serius.
Selanjutnya beliau menegaskan bahawa memberikan `pengaruh’ dalam masyarakat tidak perlu menunggu ada jawatan atau kedudukan tertentu. Sebaliknya ia menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk memberikan pengaruh dan membina kesedaran dalam masyarakat.
“Tak perlu tunggu. Kita sebagai orang biasa pun mampu untuk mencetuskan kesedaran itu dalam kalangan orang yang ada di sekeliling kita,” simpulnya.[]
#MuslimInfluencer #DigitalNatives #Dakwah #DakwahDigital

