Site icon MuslimahHTM News

Krisis Mental: Mengapa Manusia Kembali Percaya kepada Tahyul?

Krisis Mental: Mengapa Manusia Kembali Percaya kepada Tahyul?

 

Oleh: Nurain AbdurRahman

 

Pendahuluan

 

Tekanan hidup, masalah ekonomi, konflik keluarga, kegagalan dalam kerjaya serta keresahan terhadap masa depan menyebabkan sebahagian individu berdepan dengan tekanan emosi dan krisis mental. Dalam keadaan tertekan, manusia sememangnya akan mencari tempat bergantung dan jalan keluar daripada kesulitan yang dihadapi. Sudah tentu bukan semua individu yang mengalami krisis mental akan memilih jalan yang bertentangan dengan syariat. Namun, realitinya masih terdapat sebahagian masyarakat yang mendapatkan bantuan bomoh, memakai tangkal, mempercayai ramalan nasib atau melakukan pelbagai amalan khurafat dengan harapan dapat menghilangkan penderitaan yang dialami. Persoalannya, mengapakah perkara ini masih berlaku sedangkan Islam telah memberikan panduan yang jelas tentang tempat pergantungan seorang Muslim?

 

Akidah Membentuk Cara Berfikir dan Bertindak

 

Jawapan kepada persoalan ini bermula daripada akidah. Dalam Islam, akidah bukan sekadar pengakuan bahawa Allah SWT ialah Tuhan Yang Maha Esa atau sekadar menghafal Rukun Iman. Sebaliknya, akidah merupakan asas yang membentuk aqliyyah (cara berfikir) dan nafsiyyah (cara bertindak) seseorang Muslim.

 

Apabila akidah benar-benar menjadi asas kehidupan, seseorang akan meyakini bahawa hanya Allah SWT yang berkuasa mendatangkan manfaat dan menolak kemudaratan. Sebagai Al-Khaliq (Maha Pencipta) dan Al-Mudabbir (Maha Pengatur), Allah SWT berfirman: “Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghilangkannya selain Dia.” [TMQ Yunus: 107]

 

Keyakinan inilah yang membentuk cara seseorang menghadapi ujian kehidupan. Orang yang bergantung kepada Allah SWT akan berusaha mencari penyelesaian yang dibenarkan syarak, manakala orang yang lemah akidahnya mudah mencari jalan pintas walaupun bercanggah dengan tauhid.

 

Islam hanya Warisan bukan Pedoman Kehidupan

 

Mengapa akidah boleh menjadi lemah? Antara sebab utamanya ialah ramai umat Islam dilahirkan sebagai Muslim, tetapi tidak dididik untuk memahami bahawa Islam mempunyai penyelesaian terhadap seluruh persoalan kehidupan (Mu‘ālajah Masyākil al-Insān). Islam akhirnya hanya difahami sebagai agama yang mengatur ibadah dan kerohanian, sedangkan peranannya sebagai sistem hidup yang menyeluruh semakin terpinggir.

 

Akibatnya, apabila berhadapan dengan tekanan hidup, penyelesaian tidak lagi dicari daripada al-Quran dan as-Sunnah, sebaliknya daripada pelbagai sumber lain yang bertentangan dengan syariat. Ramai juga tidak lagi mengenali khazanah pemikiran Islam yang selama berabad-abad telah membimbing manusia dalam menyelesaikan persoalan akidah, sosial, ekonomi, politik dan psikologi. Sedangkan Allah SWT telah berfirman: “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu…” [TMQ al-Ma’idah: 3]

 

Ayat ini menunjukkan bahawa Islam telah menyediakan panduan yang sempurna bagi kehidupan manusia. Persoalannya bukanlah kerana Islam tidak mempunyai penyelesaian, tetapi kerana umat Islam sendiri tidak lagi merujuk kepadanya.

 

Warisan Tahyul dan Perang Pemikiran

 

Kelemahan kefahaman terhadap Islam membuka ruang kepada pengaruh lain untuk membentuk cara berfikir masyarakat.

 

Dari sudut sejarah, masyarakat Melayu pernah dipengaruhi oleh kepercayaan animisme, dinamisme dan agama Hindu-Buddha. Walaupun Islam berjaya mengubah akidah masyarakat, sebahagian kepercayaan lama masih terus diwarisi hingga ke hari ini. Kepercayaan terhadap hari malang, semangat penunggu, tangkal, pemujaan tempat tertentu, bomoh yang menggunakan bantuan jin serta pelbagai pantang larang yang tidak bersandarkan syariat masih wujud dalam masyarakat. Allah SWT berfirman: “Dan apabila dikatakan kepada mereka: Ikutilah apa yang telah diturunkan oleh Allah, mereka menjawab: Bahkan kami hanya mengikut apa yang kami dapati daripada nenek moyang kami.” [TMQ Al-Baqarah: 170]

 

Dalam masa yang sama, umat Islam hari ini turut berhadapan dengan perang pemikiran melalui ideologi seperti sekularisme, liberalisme, materialisme dan hedonisme. Ideologi-ideologi ini memisahkan agama daripada kehidupan sehingga sebahagian umat Islam sendiri hilang keyakinan bahawa Islam mampu menyelesaikan masalah manusia. Sedangkan Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melakukan suatu amalan yang tidak berasaskan perintah kami, maka amalan itu tertolak.” [HR Al-Bukhari dan Muslim]

 

Krisis Mental Hanyalah Pencetus

 

Justeru, krisis mental bukanlah punca utama seseorang mempercayai tahyul. Ia hanyalah pencetus yang mendedahkan kelemahan akidah dan pemikiran yang telah lama wujud. Apabila seseorang tidak mempunyai keyakinan yang kukuh terhadap Allah SWT, tekanan hidup akan mendorongnya mencari ketenangan melalui jalan yang salah. Sebaliknya, orang yang memiliki akidah yang benar akan menjadikan ujian sebagai sebab untuk semakin mendekatkan diri kepada Allah SWT.

 

Allah SWT berfirman: “Ketahuilah! Dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.” [TMQ ar-Ra’d: 28] Ayat ini menegaskan bahawa ketenangan jiwa yang sebenar tidak diperoleh melalui bomoh, ramalan nasib atau amalan khurafat, tetapi melalui hubungan yang erat dengan Allah SWT.

 

Penutup

 

Fenomena segelintir masyarakat yang kembali mempercayai tahyul ketika berhadapan dengan krisis mental sebenarnya menggambarkan masalah yang lebih mendasar, iaitu kelemahan akidah dan pemikiran Islam. Oleh itu, penyelesaiannya bukan sekadar membanteras amalan khurafat atau menghukum pelakunya, tetapi membina semula aqliyyah Islamiyyah yang berteraskan akidah yang sahih.

 

Umat Islam perlu kembali menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai sumber rujukan dalam menyelesaikan seluruh persoalan kehidupan (Mu‘ālajah Masyākil al-Insān). Apabila akidah diperkukuhkan, cara berfikir dibimbing oleh wahyu dan pergantungan hanya disandarkan kepada Allah SWT, umat Islam akan lebih bersedia menghadapi tekanan hidup tanpa terjerumus ke dalam tahyul, khurafat atau syirik yang merosakkan iman.

 

Wallahua’lam.

 

#KrisisMental #Akidah

Exit mobile version