Site icon MuslimahHTM News

[Menjadi Ahli Politik Transformatif] Berfikir Politik dan Pemikiran Politik Islam (Bahagian 1/4)

[Menjadi Ahli Politik Transformatif] Berfikir Politik dan Pemikiran Politik Islam (Bahagian 1/4)

 

Penulis: MR Kurnia, dkk

 

Berfikir politik (at-tafkir as-siyasi) merupakan satu topik tentang berfikir yang dijelaskan oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani (1973) dalam kitabnya, At-Tafkir. Jenis berfikir yang penting dimiliki umat tersebut sebenarnya merupakan salah satu aktiviti berfikir untuk memahami teks-teks politik. Menurut An-Nabhani (1973), aktiviti membaca teks perlu mendapat perhatian khusus. Membaca sebenarnya hanya sarana aktiviti berfikir, bukan aktiviti berfikir itu sendiri.

 

Oleh sebab itu, An-Nabhani menekankan dalam buku yang sama, “Banyak orang membaca tetapi tidak berfikir (tentang apa yang dibacanya). Banyak juga yang membaca dan berfikir, tetapi proses berfikirnya tidak lurus dan tidak dapat menjangkau pemikiran-pemikiran yang diekspresikan oleh kalimat-kalimat (yang dibaca).”

 

Dengan kata lain, bacaan (teks) sekadar merupakan dasar. Orang keliru jika menyangka bahawa masyarakat dapat dibangkitkan hanya dengan diajari membaca atau menulis. Bacaan tidak dapat memberikan bahan apa pun bagi proses berfikir, juga tidak membangkitkan dorongan apa pun untuk berfikir. Sebab, proses berfikir diwujudkan melalui fakta dan sejumlah informasi pendahulu yang berkaitan dengannya.

 

Bacaan bukanlah fakta yang menjadi objek berfikir, bukan pula informasi pendahulu yang akan digunakan untuk mentafsirkan fakta. Bacaan hanyalah ekspresi pemikiran atau sekadar wadah yang digunakan untuk menampung pemikiran, bukan pemikiran itu sendiri. Jika seorang pembaca dapat memahami dengan baik maksud berbagai ungkapan tentang pemikiran dalam teks sehingga dia dapat menangkap pemikiran-pemikirannya, itu adalah disebabkan oleh pemahamannya yang baik terhadap teks, bukan semata-mata kerana aktivitinya membaca teks.

 

Jika pembaca tersebut tidak memahami teks dengan baik, tidak akan ada pemikiran apa pun yang diperolehnya, walaupun dia telah membaca teks tersebut berjam-jam atau bahkan bertahun-tahun. Oleh sebab itu, An-Nabhani (1973) menegaskan pentingnya pembahasan aktiviti berfikir terhadap teks-teks agar teks-teks itu dapat difahami dengan baik. Teks-teks yang terpenting menurutnya adalah teks-teks sastera, pemikiran, hukum, dan politik.

 

Tulisan ini bertujuan untuk menghuraikan dan menjelaskan secara lebih luas cara berfikir politik (at tafkir as siyasi) pada teks-teks politik. Penjelasan lebih mendalam dapat dilihat dalam An-Nabhani (1973).

 

Pengertian Berfikir Politik

 

Berfikir politik adalah berfikir pada teks-teks politik, iaitu teks-teks yang berkaitan dengan masalah politik, baik teks-teks ilmu-ilmu politik, seperti dalam buku teks, literasi, atau jurnal ilmu politik, mahupun teks-teks berita-berita politik, seperti dalam surat khabar, radio, televisyen, dan sebagainya. Berfikir politik ini akan lebih jelas pengertiannya jika kita bandingkan dengan cara-cara berfikir dalam memahami teks-teks lain, misalnya teks-teks hukum, sastera, dan pemikiran.

 

Berfikir politik berbeza dengan berfikir tentang teks-teks perundangan, meskipun berfikir tentang teks-teks hukum ini adalah bahagian daripada berfikir politik. Perbezaannya, berfikir tentang teks-teks hukum, baik teks-teks kitab fikih untuk mengambil hukum syariat mahupun teks-teks Al-Quran dan sunnah untuk menggali hukum syariat bertujuan untuk memberikan solusi atas masalah-masalah yang dihadapi manusia dalam berbagai aspek kehidupan.

 

Caranya adalah dengan memberikan penjelasan hukum atas suatu perbuatan, adakah perbuatan itu wajib, sunnah (mandub), mubah, makruh, atau haram. Sementara itu, berfikir politik bertujuan untuk melakukan pemeliharaan dan pengaturan urusan-urusan umat, baik dilakukan secara nyata oleh negara (Khilafah), oleh umat agar pengaturan urusan umat oleh Khilafah berjalan baik, mahupun oleh sebuah kelompok politik yang bergerak untuk mewujudkan Khilafah.

 

Proses pemikiran politik akan berlaku apabila kita misalnya memikirkan apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh Duta Besar AS ke Indonesia Ralph L. Boyce ketika ditanya wartawan tentang Persidangan Nasional Alim Ulama dan Dewan NU yang membenarkan bom “bunuh diri”, dalam sidang media sebelum ketibaan Menteri Luar Negeri Colin Powell di Kedutaan AS, di Jalan Medan Merdeka Selatan, Jakarta Pusat, Selasa (30-7-2002). Seperti yang dipetik daripada artikel “Boyce Komen Mengenai Pengeboman Bunuh Diri” dalam detik[dot]com pada tarikh tersebut, Boyce mengakui tidak mahu mengulas mengenainya. “Kita tidak boleh mengkritik elemen NU sebagai organisasi terbesar di Indonesia,” katanya. Tambahan pula, Boyce menyatakan bahawa beliau mengenali NU sebagai sebuah organisasi yang moderat dan bertolak ansur.

 

Menurut Boyce, perkara ini terkandung dalam platform NU yang turut memainkan peranan penting dalam membentuk imej umat Islam Indonesia. Boyce juga menyatakan, “Saya tidak boleh mengulas pernyataan yang sifatnya belum muktamad.”

 

Dari ungkapan Boyce bahawa fatwa NU “sifatnya belum muktamad” dan bahawa NU “organisasi moderat dan bertolak ansur”, bererti sebenarnya Boyce sudah mengulas, bukan tidak mahu mengulas seperti ungkapannya mengenai fatwa NU tersebut. Daripada kenyataan ini boleh disimpulkan bahawa Boyce sebenarnya mahu NU menyemak semula fatwanya untuk kemudian mengharamkan bom “bunuh diri” selaras dengan garis politik AS yang mengecam bom “bunuh diri” di Palestin (lihat juga artikel “Bom Bunuh Diri Lagi. Kofi Annan Kutuk Israel dan Palestin”, detik[dot]com). Dengan memahami maksud sebenar Boyce, kita boleh mengambil tindakan. Sebagai contoh, menasihati ulama NU supaya berpegang teguh dengan fatwa mereka itu, bukan tunduk kepada arahan atau kehendak Boyce.

 

Di samping itu, berfikir politik juga sangat berbeza dengan berfikir tentang teks-teks sastera, seperti teks-teks syair, puisi, cerita pendek, novel, roman, dan sebagainya. Hal itu kerana berfikir tentang teks-teks sastera lebih mengutamakan aspek pengungkapan perasaan dengan kata atau kalimat yang indah dan berseni. Sebaliknya, berfikir politik lebih tertuju pada aspek pengungkapan pemikiran, bukan aspek perasaan.

 

Teks sastera yang menonjolkan segi keindahan ungkapan tentu berbeza dengan teks politik yang semata berbicara dengan bahasa akal untuk menjelaskan hakikat permasalahan. Menurut An-Nabhani (1973), seseorang yang mempunyai kesedaran politik perlu terjun dalam pertarungan melawan orientasi-orientasi (arah pandangan) yang berbeza dengan orientasinya dan melawan seluruh persepsi yang bertentangan dengan persepsinya. Pada waktu yang sama, dia hendaklah terjun dalam upaya mengukuhkan persepsinya dan menanamkan orientasinya.

 

Sumber: MR Kurnia, dkk, Meretas Jalan Menjadi Politiki Transformatif.

 

Bersambung ke “Berfikir Politik” Bahagian 2/4.

 

#TelaahKitab #BerfikirPolitik #AhliPolitikIslam #PemikiranPolitikIslam

Exit mobile version