Fatimah al-Fihri, Muslimah Pengasas Universiti Pertama di Dunia
Penulis: Nabila asy-Syafi’i
Ketika institusi negara Khilafah Rasyidah tegak, peradaban Islam menunjukkan kecemerlangannya. Tsaqafah Islam dan ilmu pengetahuan berkembang. Lahir pula banyak tokoh yang menginspirasi dunia. Para ulama dan ilmuwan muslim mendedikasikan hidupnya untuk kebaikan seluruh umat manusia tanpa batas wilayah, juga tanpa membezakan ras, suku, dan agama.
Khilafah Rasyidah menyokong dan memberikan segala kemudahan sehingga tsaqafah Islam dan ilmu pengetahuan tumbuh dan berkembang. Masyarakat pun berlumba melakukan amal soleh. Lelaki dan perempuan bersemangat memberikan yang terbaik untuk sesama mereka. Ketika Dunia Barat masih bertatih-tatih dalam kegelapan, ada seorang muslimah yang berdedikasi tinggi dalam dunia pendidikan. Dia adalah Fatimah al-Fihri, yang mendirikan universiti pertama di dunia, iaitu Universiti Qairouan di Morocco.
Figura Fatimah al-Fihri
Fatimah al-Fihri adalah seorang muslimah solehah, dermawan, cerdas, dan berwawasan. Perempuan yang lahir pada 800 M di Kairouan, Tunisia ini menguasai ilmu fikih Islam dan hadis Nabi. Ayahnya seorang pengusaha yang berjaya bernama Mohammad bin Abdullah al-Fihri. Fatimah al-Fihri mempunyai seorang adik perempuan bernama Mariam. Fatimah al-Fihri meninggal dunia pada 880 M di kota Fez, Maroko.
Pada 818 M, Fatimah al-Fihri dan adik perempuannya diajak pindah oleh ayahnya ke Fez di Morocco. Pada saat itu, Fez berada di bawah Kekhalifahan Abbasiyyah. Gabenornya bernama Idris II yang dikenali sebagai pemimpin muslim yang taat dan banyak melakukan pembangunan. Sang gabenor menjadikan Fez sebagai kota paling maju di Morocco dengan kekayaan budaya dan agama, juga sebagai pusat perdagangan.
Muhammad bin Abdullah al-Fihri, ayah Fatimah al-Fihri, berjaya menjadi pengusaha besar hanya dalam waktu 10 tahun tinggal di kota Fez. Kekayaannya melimpah ruah. Tatkala sang ayah meninggal dunia, dia mewarisi kekayaan yang sangat banyak kepada kedua anaknya.
Fatimah al-Fihri diberkahi kekayaan yang banyak sebagai peninggalan dari ibu bapanya. Dia menggunakan kekayaan itu untuk kebaikan, sehingga kebaikan tersebut akan terus mengalir dan menyebar luas ke seantero dunia.
Fatimah al-Fihri Membangun Universiti Pertama di Dunia
Pada Ramadhan 245 H (859 M), setelah memutuskan untuk memanfaatkan kekayaannya yang banyak dan mendapatkan izin dari penguasa, Fatimah al-Fihri memulakan pembangunan sebuah masjid dan madrasah untuk masyarakat di kota Fez, Morocco. Selama pembangunan masjid, Fatimah al-Fihri berpuasa setiap hari untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kemudian kompleks ini disebut dengan Qairouan dalam rangka menghormati kota Al-Qayrawan, kota asal Fatimah al-Fihri.
Awalnya, madrasah Qairouan memiliki kurikulum yang sama dengan masjid dan madrasah lain, iaitu pengajaran tentang ilmu dan tsaqafah Islam, seperti tafsir Al-Quran, hadis Nabi, fikih Islam, dan bahasa Arab.
Kemudian Madrasah Qairouan pun berkembang. Madrasah ini tidak hanya mengajarkan kurikulum pengetahuan Islam, tetapi juga memasukkan pengetahuan matematik, astronomi, fizik, kedoktoran, sastera, dan muzik. Inovasi ini mengubah madrasah Qairouan menjadi berbeza dengan madrasah lain.
Perkembangan selanjutnya, madrasah Qairouan menjadi universiti yang megah dan besar. Mahasiswa yang belajar di Universiti Qairouan pun pelbagai, baik muslim mahupun non- muslim, dari Morocco mahupun dari luar Morocco. Bahkan, mahasiswanya tidak terbatas kepada penduduk Afrika Utara sahaja, tetapi meluas ke negeri-negeri lain. Ini disebabkan oleh Universiti Qairouan terbuka kepada sesiapa sahaja yang berkeinginan belajar.
Universiti Qairouan adalah universiti pertama dan tertua yang memberikan gelaran bagi para lulusannya. Ramai tokoh besar muncul dari universiti ini, baik tokoh muslim mahupun non-muslim. Para tokoh muslim tersebut adalah Abu al-Abbas az-Zawawi: pakar matematik, Ibnu Bajah: pakar Bahasa Arab, Abu Madhab al-Fasi: seorang doktor sekaligus pemuka dari Mazhab Maliki, dan Ibnu Khaldun : sosiologi termasyhur.
Adapun tokoh non-muslim lulusan Universiti Qairouan adalah Gerber dari Auvergne. Dia menjadi Paus Sylvester II. Kemudian dia memperkenalkan angka-angka Arab dan konsep sifar ke Eropah pada abad pertengahan. Lulusan lain adalah Maimonides, seorang doktor sekaligus ahli falsafah Yahudi.
Universiti Qairouan berkembang melampaui kemajuan pada zamannya sehingga menghasilkan perubahan revolusioner khusus dalam dunia pendidikan. Universiti Qairouan masih berdiri tegak dan menghasilkan lulusan berkualiti sehingga saat ini.
Khatimah
Sesungguhnya, Fatimah al-Fihri adalah cerminan muslimah berwawasan yang berinovasi hebat. Beliau seorang yang ikhlas mendedikasikan harta, fikiran, dan waktunya untuk kebaikan umat, khususnya dalam bidang pendidikan. Universiti Qairouan yang dibangunnya berhasil berkembang pesat. Universiti Qairouan merupakan universiti pertama di dunia (859 M) dibandingkan dengan universiti lain. Universiti Al-Azhar berdiri sekitar 975 M. Bologna, universiti tertua di Itali muncul pada 1088 M. Oxford, universiti tertua di Britain didirikan pada 1096 M. Adapun Harvard berdiri di AS pada 1636 M.
Fatimah al-Fihri telah menginspirasi para muslimah lain agar terus berkarya di tengah umat untuk menyebarkan, mengajarkan, dan mengajak kepada kebaikan Islam. Dengan demikian, kebaikan yang telah ditanam akan menjadi amal jariah sehingga pahalanya terus mengalir sehingga Hari Kiamat. Wallahua’lam bissawab.
#SejarahUmatIslam #SrikandiTeladan #IntelektualMuslimah

