Site icon MuslimahHTM News

MEMBANTERAS RASUAH, MEMERLUKAN PENYELESAIAN SYARAK

MEMBANTERAS RASUAH, MEMERLUKAN PENYELESAIAN SYARAK

RASUAH di mana-mana sudah menjadi seperti wabak, termasuk di wilayah kaum Muslimin. Bukannya semakin berkurang, malah seolah-olah semakin menular. Anggota penguatkuasa undang-undang juga turut terlibat di dalamnya. Jadi, atas logik apakah rasuah tidak lagi dianggap sebagai extraordinary crime? Sedangkan di China, seorang pegawai telah dihukum mati hanya kerana menerima rasuah kira-kira 117 juta yuan.

Takwa Membentuk Integriti

Sering disimpulkan bahawa rasuah berlaku kerana gaji para pegawai dan anggota penguatkuasa terlalu rendah. Namun, benarkah demikian?

Di Indonesia misalnya, atas alasan tersebut, Presiden Prabowo memutuskan untuk menaikkan gaji para hakim sehingga 280 peratus agar mereka tidak boleh disogok. Sedangkan jenayah rasuah berkait rapat dengan buruknya integriti pegawai. Hal ini bukan semata-mata soal gaji. Seorang Jaksa Agung Muda Bidang Tindak Pidana Khusus (Timbalan Peguam Negara bagi Tindak Pidana Khas) seperti Febri Ardiansyah dianggarkan memperoleh pendapatan sebanyak Rp43 juta sebulan. Jumlah itu sudah lebih daripada mencukupi berbanding purata pendapatan rakyat Indonesia. Hakikatnya, dia masih juga melakukan rasuah. Sementara itu, seorang petugas kebersihan KRL dengan sukarela mengembalikan wang penumpang yang tertinggal, sedangkan nilai wang tersebut berjumlah setengah juta rupiah.

Malah, Malaysia juga tidak terkecuali daripada kes-kes rasuah berprofil tinggi yang melibatkan golongan yang memiliki autoriti, kuasa dan kedudukan tinggi. Antaranya ialah kes seorang bekas majistret, Mohamad Amin Shahul Hamid, turut didapati bersalah pada 2022 atas enam pertuduhan rasuah dan dikenakan hukuman penjara serta denda. Kes ini menunjukkan bahawa rasuah bukan semata-mata berpunca daripada pendapatan yang rendah, tetapi turut berkait rapat dengan integriti serta penyalahgunaan kuasa dan kedudukan.

Dengan demikian, integriti berkait rapat dengan kekuatan moral. Lebih-lebih lagi apabila integriti itu dibina atas dasar iman dan takwa, maka ia akan menjadi jauh lebih kukuh. Rasa takut kepada Allah SWT akan menjadikan seseorang berhati-hati dalam menggunakan kekuasaan. Bahkan, seutas tali yang bukan haknya tidak akan diambilnya.

Imam Muslim meriwayatkan bahawa dalam Perang Khaibar, terdapat seorang hamba daripada Bani Judzam bernama Rifa‘ah bin Zaid daripada Bani adh-Dhubaib. Ketika mereka singgah di sebuah lembah, hamba tersebut terkena panah lalu meninggal dunia. Para Sahabat kemudian berkata, “Berbahagialah dia dengan pahala syahid, wahai Rasulullah.” Namun begitu, Rasulullah SAW dengan tegas bersabda:

كَلاَّ، وَالَّذِى نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، إِنَّ الشَّمْلَةَ الَتِي أَخَذَهَا يَوْمَ خَيْبَرَ مِنَ الْغَنَائِمِ لَمْ تُصِبْهَا الْمَقَاسِمُ لَتَشْتَعِلُ عَلَيْهِ نَارًا

“Sekali-kali tidak! Demi Tuhan Yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya. Sesungguhnya sehelai kain yang dia ambil dari rampasan perang yang belum dibahagi pada Perang Khaibar benar-benar akan menyalakan api yang membakar dirinya.”

Kemudian Abu Hurairah ra. berkata: Para Sahabat pun sangat ketakutan sehingga ada seorang yang menyerahkan satu atau dua tali sandal seraya berkata, “Wahai Rasulullah, kami mendapatkan barang ini semasa Perang Khaibar.” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Ketahuilah sesungguhnya itu adalah satu atau dua tali sandal dari api neraka.” (HR Muslim).

Oleh kerana itu sudah semestinya jawatan diserahkan kepada orang yang mempunyai ketakwaan yang luhur. Dia juga hendaklah mempunyai kemampuan (kafā’ah) untuk memegang jawatan yang disandangnya.

Solusi Islam

Selain iman dan takwa, syariah Islam turut menerapkan mekanisme pembuktian terbalik terhadap para pegawai yang disyaki memperoleh kekayaan secara tidak wajar. Khalifah Umar bin al-Khattab RA pernah menegur Abu Hurairah RA setelah mendapati kekayaannya bertambah selepas beliau menjadi gabenor di Bahrain.

Abu Hurairah RA menjelaskan bahawa kesemua kekayaan tersebut merupakan hasil usahanya sepanjang menjadi pegawai di Bahrain. Khalifah Umar RA kemudian memeriksa laporan kewangan Abu Hurairah RA dan mendapati bahawa penjelasannya adalah benar.

Seterusnya, beliau memerintahkan agar keuntungan daripada usaha Abu Hurairah RA dimasukkan ke dalam Baitulmal (Perbendaharaan Negara). Adapun modal dan gajinya kekal menjadi milik Abu Hurairah RA. (Adz-Dzahabi, Tārīkh al-Islām wa Wafayāt al-Mashāhīr wa al-A‘lām, 4/185, Maktabah Syamilah).

Selain penyitaan harta tidak sah milik para pegawai negara, syariah Islam turut menerapkan hukuman tasyhir, iaitu mendedahkan pelaku rasuah kepada khalayak. Perkara ini pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika mengetahui bahawa Ibnu Lutbiah, yang dilantik sebagai petugas zakat, menerima gratifikasi atau hadiah daripada seseorang. Baginda menegurnya dan mengumumkan pelanggaran tersebut kepada kaum Muslimin.

Syariah Islam juga mengenakan hukuman yang berat terhadap pelaku rasuah dan penerima gratifikasi. Rasuah berbeza daripada kesalahan mencuri yang hukumannya ialah potong tangan (Surah al-Ma’idah [5]: 38). Rasuah ialah penyalahgunaan kuasa yang memberikan keuntungan dalam bentuk harta atau akses kepada kekuasaan untuk diri sendiri atau orang lain. Hukuman terhadap pelakunya diserahkan kepada keputusan kadi atau hakim; boleh berupa hukuman sebat dan penjara, malah boleh sampai kepada hukuman mati, bergantung pada tahap rasuah yang dilakukan.

Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya rasuah di negara ini sudah menjadi bencana yang luar biasa. Ramai pegawai dan anggota penguat kuasa tidak lagi berasa malu untuk melakukan rasuah. Mereka melakukannya secara terang-terangan. Lebih memalukan lagi, masih ramai yang terus mempercayai mereka sebagai pentadbir negara.

Pangkal persoalan korupsi adalah sekularisme, yakni pemisahan agama dari kehidupan serta dari kekuasaan dan pemerintahan. Islam dipersempit hanya sebagai urusan ibadah dan moral (akhlak). Bahkan tidak jarang uang hasil korupsi digunakan untuk beribadah.

Oleh itu, untuk membanteras rasuah, tidak memadai sekadar menggantikan pegawai yang melakukan rasuah dengan pegawai baharu. Sebaliknya, mesti berlaku perubahan sistem kehidupan berasaskan Islam. Islam telah membawa suatu sistem kehidupan yang sempurna, termasuk dalam usaha membanteras rasuah.

Syariah Islam hanya dapat dilaksanakan dengan sempurna di bawah naungan sistem pemerintahan Islam, iaitu Khilafah Islam. Bukan dalam sistem demokrasi sekular yang sebaliknya mengkompromikan antara yang hak dengan yang batil. Malah, sistem ini juga terbukti terus melestarikan rasuah.

Apakah kes demi kes ini masih belum cukup untuk membuka mata kita agar segera menerapkan syariah Islam secara kaffah, wahai umat Rasulullah?!

Sumber asal: Buletin Dakwah Kaffah Edisi 452 dengan olahan.*

#Rasuah

Exit mobile version