Menutupi Kegagalan dengan Kertas dan Tinta
Oleh: Haitsam bin Tsubait (Wakil Media Hizbut Tahrir Amerika)
Associated Press (AP) melaporkan berita bertajuk, “AS dan Iran menandatangani perjanjian awal untuk menamatkan perang, melonggarkan sekatan, dan membuka selat sementara rundingan nuklear diteruskan” (apnews.com, 18/6/2026).
Washington dan Tehran telah menandatangani Memorandum of Understanding (MoU) awal yang bertujuan untuk menghentikan permusuhan dan memulakan tempoh rundingan selama 60 hari ke arah penyelesaian muktamad berhubung program nuklear Iran. Kesepakatan ini dicapai selepas berbulan-bulan ketegangan dan ancaman berulang Amerika Syarikat untuk melancarkan tindakan ketenteraan. Walaupun terdapat amaran bahawa serangan boleh diteruskan, Amerika Syarikat dilihat semakin memberi tumpuan kepada usaha menamatkan konflik melalui diplomasi berbanding kembali berperang. Kesediaan untuk menawarkan konsesi yang besar dan hanya menandatangani kesepakatan sementara mencerminkan kegagalan Washington dalam mencapai matlamat strategiknya yang lebih luas dan menonjolkan keinginannya untuk mengelakkan penglibatan yang lebih mendalam.
Daripada menghasilkan penyelesaian komprehensif, kesepakatan saat ini hanya menetapkan kerangka kerja untuk rundingan yang berterusan, yang dijangka akan melibatkan lebih banyak kompromi dan dapat melampaui tempoh masa awal selama dua bulan. Walaupun Amerika Syarikat menggambarkan perjanjian tersebut sebagai suatu kejayaan, tidak satu pun daripada matlamat yang dinyatakan telah tercapai, sekali gus menjejaskan kredibiliti dan pengaruh Washington.
Inti MoU ini ialah tekanan domestik. Amerika Syarikat tidak lagi mampu mengabaikan keadaan ekonomi, pandangan umum, atau perpecahan politik dalaman. Seiring dengan meningkatnya ketegangan di Timur Tengah, kebimbangan turut meningkat terhadap kesannya kepada ekonomi global, khususnya melalui kenaikan harga tenaga dan tekanan inflasi di Amerika Syarikat. Isu-isu ini amat sensitif bagi mana-mana pemerintahan, termasuk bagi Amerika Syarikat sendiri.
Nampaknya pihak yang paling tidak berpuas hati dengan perjanjian tersebut ialah kaum Zionis, yang telah menyatakan bantahan dan mengkritik bahawa perjanjian tersebut menguntungkan Iran dan membiarkan beberapa isu penting yang belum diselesaikan, khususnya program peluru berpandu balastik Iran, butiran program nuklear, dan aktiviti proksi serantau. MoU sementara ini sebahagian besar memulihkan keadaan yang ada sebelum perang.
Selain itu, perjanjian tersebut memberikan konsesi signifikan kepada Iran. Amerika Syarikat telah bersetuju untuk memberikan pengecualian sekatan yang membolehkan Iran untuk menjual minyaknya secara bebas dan serta-merta, dengan kemungkinan pelonggaran sekatan yang lebih meluas dan pelepasan aset yang dibekukan seiring kemajuan rundingan. Program pengayaan uranium Iran pula kekal utuh, dengan perjanjian tersebut hanya menyerukan pemantauan antarabangsa terhadap stok yang sedia ada, bukannya pembongkaran sepenuhnya program tersebut.
Walaupun Trump menggambarkan MoU tersebut sebagai suatu kesepakatan yang kukuh, pada masa yang sama beliau mengakui sifat sementara kesepakatan itu dan memberi amaran bahawa tindakan ketenteraan boleh disambung semula sekiranya rundingan gagal. Keadaan yang bercanggah ini mendedahkan betapa rapuhnya perjanjian tersebut dan menunjukkan bahawa ia sebahagian besarnya hanyalah usaha untuk menyelamatkan maruah dan tidak memberikan keuntungan strategik yang setimpal kepada Amerika Syarikat, yang semakin tidak mampu mengabaikan atau menahan tekanan domestik yang kian meningkat. Sebaliknya, fasa perang saat ini telah berpihak pada Iran.
Pada saat komentar ini ditulis, Iran mengumumkan bahawa mereka telah menutup semula Selat Hormuz kerana serangan berulang kali oleh entiti Yahudi terhadap Lubnan, meskipun terdapat MoU dengan Amerika Syarikat. Entiti Yahudi berusaha menggagalkan rundingan AS-Iran demi agenda politik dan ketenteraannya, seiring dengan usaha meluaskan lagi pendudukan Lubnan.
Kesimpulannya, meskipun berada dalam keadaan yang sangat tidak seimbang, namun penentangan yang berdisiplin dan berterusan mampu menghasilkan kesan yang nyata. Perang ini telah menunjukkan bahawa pengaruh bukan sahaja ditentukan oleh kekuatan material semata-mata, tetapi juga oleh kemampuan untuk bertahan menghadapi tekanan serta kekal sebagai pihak yang relevan dan mandiri. Selain itu, rakyat Amerika Syarikat tidak lagi bersedia menyokong agenda imperialis dengan mengorbankan ketidaknyamanan domestik lebih besar. Sayangnya, jerat negara-bangsa yang mengikat Iran hanya menyebabkan kemunduran bagi Amerika Syarikat dan tidak akan membawa kepada kemenangan yang sebenar. Ingat, bahawa hanya dengan Khilafah dunia akan menyaksikan kemunculan suatu pencabar ideologi yang bukan sahaja menentang, bahkan juga berkembang, mencabut akar, dan memberikan alternatif global yang bertujuan untuk menyelamatkan umat manusia daripada cengkaman yang dianggap tidak berperikemanusiaan sehingga Amerika Syarikat akhirnya terpaksa berundur dengan ekor di antara kedua kakinya, yakni dengan hina dan dihinakan.
Sumber: hizb-ut-tahrir.info, 25/6/2026.
#KonflikTimurTengah #PerangIranAs

