Site icon MuslimahHTM News

Adab Berbeza Pendapat

Adab Berbeza Pendapat

Oleh: Ustaz Arief B. Iskandar

Perbezaan pendapat adalah suatu kenescayaan. Ia lahir dari keterbatasan manusia dalam memahami nas, keluasan bahasa dan dari kedalaman metode istinbâth.

Namun begitu, perkara yang sering hilang dalam kalangan generasi terkemudian bukanlah perbezaan itu sendiri. Sebaliknya, yang hilang ialah adab dalam menyikapi perbezaan tersebut. Sedangkan para ulama terdahulu telah mewariskan teladan yang sangat agung. Mereka sering berbeza pendapat, bahkan dalam perkara besar. Namun, hati mereka tetap bersih. Lisan mereka tetap terpelihara dan ukhuwah mereka tetap utuh.

Imam Abu Hanifah rahimahulLâh, misalnya. Beliau dikenali sebagai seorang yang sering berdiskusi dan berdebat dengan ulama yang lain. Akan tetapi, adabnya luar biasa. Ketika berbeza pendapat dengan ulama lain, beliau berkata, “Pendapat kami ini benar, tetapi mungkin mengandungi kesalahan. Pendapat orang lain salah, tetapi mungkin sahaja mengandungi kebenaran.” (Ibnu ‘Abd al-Barr, Al-Intiqâ’, hlm. 145).

Kalimat ini merupakan puncak kerendahan hati dalam keilmuan. Dia tidak ”menuhankan” pendapatnya sendiri, dan pada masa yang sama tidak pula merendahkan pendapat orang lain.

Dalam riwayat lain, Imam Malik bin Anas rahimahulLâh pernah diminta oleh Khalifah Abu Ja‘far al-Manshur untuk menjadikan Kitab Al-Muwaththa’ sebagai satu-satunya rujukan umat Islam. Namun, beliau menolak dengan lembut permintaan tersebut dan berkata, “Amirul Mukminin, jangan lakukan itu. Sesungguhnya para sahabat Rasulullah SAW telah tersebar ke pelbagai negeri. Setiap kaum telah mengambil ilmu daripada mereka. Memaksakan satu pendapat akan menimbulkan fitnah.” (Ibnu ‘Abd al-Barr, Al-Intiqâ’, hlm. 80).

Betapa agungnya pandangan ini. Imam Malik tidak memaksakan kebenaran versinya. Beliau memahami bahawa perbezaan merupakan suatu rahmat yang perlu dipelihara, bukannya diseragamkan dengan kuasa.

Adab yang sama juga ditunjukkan oleh Imam Syafie rahimahulLâh. Beliau adalah salah seorang murid terbaik Imam Malik. Beliau tidak pernah mencela ulama lain hanya kerana berbeza pendapat. Diriwayatkan bahawa Imam Syafie pernah berkata, “Jika aku berdialog atau berdebat dengan seseorang, aku tidak pernah berharap dia salah. Aku berharap dia diberi taufik.” (Adz-Dzahabi, Siyar A‘lam an-Nubalâ’, 10/ 28).

Bandingkanlah dengan keadaan pada hari ini. Ramai orang berdiskusi bukan untuk mencari kebenaran, tetapi untuk menjatuhkan pihak lawan. Apa yang dicari bukan hidayah, sebaliknya kemenangan.

Imam Syafie juga sering berbeza pendapat dengan Imam Ahmad bin Hanbal rahimahulLâh dalam pelbagai masalah. Namun begitu, hubungan antara kedua-duanya begitu erat. Imam Syafie berkata, “Aku tidak pernah berdebat dengan seseorang kecuali aku berharap kebenaran tampak melalui lisannya.” (Abu Nu‘aim, Hilyah al-Awliyâ’, 9/118).

Sebaliknya, Imam Ahmad, yang merupakan salah seorang murid terbaik Imam Syafie, juga memiliki adab yang luar biasa, sebagaimana gurunya. Mengenai Imam Syafie, Imam Ahmad pernah berkata, “Tidak ada seorang pun yang lebih aku cintai daripada Imam Syafie.” (Ibnu Abi Ya‘la, Thabaqaat al-Hanaabilah, 1/283).

Imam Ahmad juga sentiasa mendoakan orang yang berbeza pendapat dengannya. Diriwayatkan bahawa Imam Ahmad dan Imam Syafie, walaupun sering berbeza pendapat dalam banyak perkara, tetap saling mendoakan. Imam Ahmad selalu mendoakan Imam Syafie dalam solatnya selama puluhan tahun. Beliau berkata, “Sejak aku mengenali Imam Syafie, aku tidak pernah meninggalkan doa untuk beliau.” (Al-Baihaqi, Manâqib asy-Syâfi‘i, 2/254).

Perhatikan. Perbezaan tidak melahirkan kebencian. Sebaliknya, ia mengukuhkan rasa hormat. Hal ini kerana yang dicari bukanlah kemenangan diri tetapi apa yang dicari ialah kemenangan kebenaran.

Imam Ahmad juga sering berbeza pendapat dengan sebahagian ulama yang lain. Akan tetapi, beliau tetap menjaga lisannya. Ketika ditanya tentang orang yang menyelisihi beliau, beliau berkata, “Aku tidak suka menyebut mereka kecuali dengan kebaikan.” (Ibn Muflih, Al-Adab asy-Syar‘iyyah, 1/186).

Inilah adab. Berbeza pendapat tidak bererti mencaci. Berselisih pandangan tidak bererti memutuskan ukhuwah.

Teladan yang lain turut ditunjukkan oleh Sufyan ats-Tsauri rahimahulLâh. Beliau tidak pernah memusuhi ulama lain yang berbeza pendapat dengannya. Beliau pernah berkata, “Jika engkau melihat seseorang mengamalkan suatu amalan yang diperselisihkan, janganlah engkau melarang dia.” (Al-Khatib al-Baghdadi, Al-Faqîh wa al-Mutafaqqih, 2/69).

Ini bukanlah sikap berkompromi terhadap kebenaran. Sebaliknya, ini adalah pemahaman yang mendalam terhadap keluasan syariat Islam. Mereka berbeza dalam pelbagai masalah. Namun, cinta kerana Allah jauh lebih besar daripada perbezaan pendapat di antara mereka.

Seterusnya ialah Imam an-Nawawi rahimahulLâh. Beliau merupakan salah seorang ulama mu’tabar Mazhab Syafie. Dalam banyak karya beliau, beliau sering menyatakan perbezaan ulama tanpa mencela. Beliau berkata, “Para ulama telah bersepakat bahawa perbezaan dalam masalah cabang (furu‘) tidaklah mengharuskan adanya pengingkaran.” (An-Nawawi, _Al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab,_ 1/93).

Ini adalah kaedah emas. Tidak semua perbezaan pendapat perlu disikapi dengan keras. Ada ruang toleransi dalam perkara ijtihadi.

Begitu juga Imam Ibnu Taimiyah rahimahulLâh. Beliau sentiasa menunjukkan keluasan hati sebagai seorang mujtahid. Beliau pernah berkata, “Tidaklah seseorang mencela orang lain dalam masalah ijtihad kecuali dia sendiri lebih layak dicela.” (Ibnu Taimiyah, Majmû‘ al-Fatâwâ, 20/207).

Pernyataan ini seperti tamparan halus. Siapakah kita sehingga berani mencela pihak yang berbeza pandangan dengan kita, sedangkan para ulama besar sendiri saling menghormati dalam perbezaan pendapat?

Teladan yang lain ialah Imam adz-Dzahabi rahimahulLâh. Beliau terkenal dengan sikap adil. Beliau pernah menasihati, “Jika engkau melihat seorang alim memiliki kesalahan dalam ijtihadnya, janganlah kesalahan itu membuat dirimu menjatuhkan seluruh kebaikannya.” (Adz-Dzahabi, Siyar A‘lam an-Nubalâ’, 14/40).

Betapa kerap pada hari ini kita melihat seseorang dijatuhkan hanya kerana satu kesalahan. Sedangkan para ulama terdahulu justeru menilai manusia dengan penuh keadilan yang luar biasa.

Kisah-kisah ini bukan sekadar catatan sejarah. Sebaliknya, ia merupakan cermin yang memperlihatkan betapa jauhnya kita daripada adab yang telah ditunjukkan oleh para ulama terdahulu.

Hari ini, perbezaan sering kali melahirkan caci-maki. Perbincangan pula berubah menjadi medan untuk saling merendahkan. Malah, tidak sedikit yang merasakan dirinya paling benar, lalu dengan mudah menuduh orang lain sebagai bodoh, sesat, bahkan kafir. Sedangkan para ulama yang terdahulu—yang ilmunya jauh lebih tinggi daripada kita—sentiasa bersikap penuh tawaduk ketika berhadapan dengan pihak yang berbeza pandangan. Inilah adab dalam menuntut dan menyampaikan ilmu. Inilah hasil daripada rasa takut kepada Allah SWT.

Oleh itu, jika ilmu yang kita pelajari akhirnya melahirkan kesombongan, melahirkan cacian dan merosakkan ukhuwah, maka barangkali yang salah bukan pada ilmunya, tetapi pada hati kita yang belum bersedia memikul cahaya ilmu tersebut.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita adab para ulama: berlemah lembut dalam perbezaan, jujur dalam mencari kebenaran dan ikhlas dalam menjaga persaudaraan.

Wa mâ tawfîqî illâ bilLâh.

#adab #berbezapendapat #nafsiyah

Exit mobile version