Dr Fika Komara: Geopolitik itu Menjaga Ruang Publik (Umum) Dengan Iman
Oleh: Rahmah
Pengarah Institut Muslimah Negarawan (IMuNe), Dr Fika Komara menyatakan bahawa geopolitik adalah menjaga ruang public (umum) dengan keimanan.
“Jadi kalau kita bercakap tentang geopolitik, sebenarnya sederhana. Menjaga ruang umum kita, tanah kita dan keluarga kita dengan iman,” ujarnya dalam program Talkshow ‘Being an Amazing Ummah Today’ di Putrajaya, Sabtu (4/7/2026).
Menurut beliau, pemahaman tersebut dapat dilihat melalui pengalaman Muslimah di Gaza yang terus mempertahankan tanah air, membesarkan anak-anak dan memelihara kehidupan masyarakat dengan tauhid dan iman meski pun berhadapan peperangan yang dahsyat.
“Kalau kita belajar daripada Muslimah Gaza, mereka menjaga tanah mereka dengan iman, menjaga anak-anak mereka dengan iman dan menjaga ruang-ruang umum mereka dengan iman,” katanya.
Tambahnya lagi, generasi muda perlu mempunyai kesedaran terhadap ruang dan geopolitik kerana konsep tersebut tidak seharusnya difahami hanya dalam konteks hubungan antarabangsa, sebaliknya turut dilihat daripada sudut geografi politik yang mengatur ruang kehidupan masyarakat.
“Generasi muda harus mempunyai kesedaran ruang, kesedaran geopolitik. Memang makna geopolitik itu seringkali dimaknai dengan international relation. Geografi politik itu adalah bagaimana politik menata ruang,” terangnya.
Beliau menjelaskan dalam perspektif Islam, politik ialah riayah syuunil ummah iaitu mengurus urusan umat yang berlaku dalam pelbagai ruang kehidupan seperti di pasar, sekolah dan tempat umum.
“Kalau kita kaitkan dengan definisi Islam, para ulama menggariskan politik adalah riayah syuunil ummah. Bagaimana mengurus urusan-urusan umat, kan urusan umat terjadi di sebuah ruang, ke pasar ada mallnya, kita hantar anak ke sekolah ada ruang sekolahnya, perjalanan ke sekolah, itu semua ada ruang-ruangnya kita berjalan, beraktiviti melakukan urusan-urusan kita sebagai sebahagian daripada umat Muhammad SAW,” katanya.
Menurut Dr. Fika, keimanan Muslimah Gaza wajar diteladani kerana dalam keadaan penuh penderitaan, ruang kehidupan mereka terus dipertahankan dengan keimanan.
“Menurut saya, keimanan mereka itu tiga dimensi. Kalau masih memikirkan diri sendiri, itu hanya satu dimensi,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa keimanan tidak boleh terbatas kepada ibadah ritual individu, tetapi perlu diterjemahkan melalui tanggungjawab menjaga keluarga, masyarakat dan ruang umum. Kesedaran ini penting kerana ruang kehidupan hari ini semakin dipengaruhi oleh sistem sekular dan kapitalis yang memisahkan agama daripada kehidupan.
Beliau mengungkapkan keadaan masyarakat moden yang menurutnya tergambar pola kehidupan masyarakat bandar yang bekerja keras dan memerlukan ruang untuk relaks selepas bekerja.
“Dalam teori bandar kapitalis ada dinamakan work hard, play hard,” ujarnya.
Menurut beliau, budaya tersebut menjadikan manusia berputar mengelilingi pusat pertumbuhan ekonomi sehingga memerlukan ruang ketiga seperti pusat hiburan dan rekreasi untuk melepaskan tekanan selepas bekerja.
Menanggapi hal tersebut, Dr Fika mengungkapkan bahawa Islam memerintahkan untuk berjalan (bukan sekadar healing) dengan memerhati dan menilai perubahan yang berlaku di sekeliling.
Menurutnya, rumah, tanah, dan ruang umum merupakan amanah yang perlu dijaga kerana setiap tindakan terhadap ruang tersebut memberi kesan terhadap nilai kehidupan dan generasi akan datang.
“Sedangkan dalam Islam kita diperintah untuk observasi (pemerhatian). Tanah kita, ruang umum kita, rumah kita itu harus kita jaga dengan iman. Al-Quran, dalam surah Ar-Rum ayat 42 menyebut, berjalanlah kamu di muka bumi dan lihatlah apa akibat perbuatan orang-orang musyrik. Apa akibat ketika tanah ini dibangun untuk tempat maksiat, apa akibatnya untuk anak-anak kita, ada kesannya satu hari nanti,” ungkapnya.
Dalam mensikapi ruang baharu iaitu ruang digital pula, Dr. Fika menjelaskan bahawa ini adalah medan geopolitik baharu yang dipengaruhi kuasa teknologi dan algoritma.
“Generasi muda dan Muslimah Malaysia harus tahu semakin banyak ruang-ruang baru termasuk ruang digital yang sangat mempengaruhi akhlak, keperibadian generasi kita hari ini. Ruang-ruang digital ini dikendalikan oleh apa yang disebut algoritma, sayangnya algoritma ini tidak dikendalikan oleh kaum Muslimin,” kesalnya.
#MasyarakatMuslimIdeal #AmazingUmmah #KesedaranGeopolitikIslam #AyuhUmatBangkit

