Serangan Pemikiran Asing Menyebabkan Kerapuhan Rumahtangga dan Kecetekan Pendidikan Islam
Oleh: Syamsiyah Jamil
Mantan Edupreneur Pendidikan Awal Kanak-kanak, Puan Siti Zaidah Mohammad berpendapat bahawa kerapuhan rumahtangga dan kecetekan pendidikan Islam berlaku dalam masyarakat disebabkan oleh serangan pemikiran asing.
“Kapitalisme ini asasnya adalah sekularisme yang mana memisahkan agama daripada kehidupan. Jadi, dia masuk secara halus dalam pemikiran kita yang kemudiannya membuatkan kita mengatakan bahawa agama itu sekadar ritual,” ujarnya dalam Talkshow ‘Be An Amazing Ummah’ di Putrajaya pada Sabtu (4/7/2026).
“Kesannya akan membawa kepada kekeliruan identiti atau pun identity crisis. Dan inilah yang berlaku kepada ramai wanita muda hari ini yang mana kebanyakan wanita muda hari ini terperangkap dengan acuan pemikiran Barat,” lanjutnya.
Beliau menerangkan bahawa wanita hari ini diajarkan bahawa kemuliaan atau nilai diri seorang wanita itu diukur secara luaran.
“Seorang wanita yang bekerja, kedudukan dia lebih tinggi daripada orang lain atau pun jawatan dia, kalau lebih tinggi itu lebih bagus. Atau pun kalau rumah, ada rumah besar, ada rumah mewah, itu lebih bagus daripada orang lain.
Seterusnya beliau menjelaskan bahawa pemikiran tersebut menyebabkan wanita memandang peranan wanita yang sebenar sebagai ummu wa rabbatul bait (ibu dan pengurus rumahtangga) sebagai kelas kedua.
“Kita nampak, dia dah memandang benda itu jadi kelas kedua. Sedangkan itulah peranan yang paling mulia di sisi Allah SWT,” tegasnya.
Beliau menganalogikan masyarakat yang rapuh iaitu masyarakat yang cetek pendidikan agama sebagai sebuah rumah yang mempunyai bata-bata yang retak.
“Bata-bata yang retak, retak-retak halus ini kita biarkan, lama-lama rumah itu akan jatuh, akan runtuh juga,” ujarnya.
Jadi, beliau mengutarakan bahawa masyarakat Islam yang ideal mesti dibentuk oleh asas yang satu iaitu aqidah Islam.
“Kalau kita nak membentuk satu masyarakat ideal yang Islam, masyarakat Muslim, maka semuanya mesti berasaskan kepada satu iaitu aqidah Islam,” katanya
Beliau juga memetik kata-kata Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani yang mengatakan bahawa masyarakat itu bukan terdiri daripada masyarakat yang kosong atau pun individu-individu yang terpisah tetapi mereka terikat dengan tiga perkara.
“Yang pertama adalah afkar iaitu pemikiran yang sama. Lepas tu masyair, perasaan yang sama. Dan kemudian yang ketiga adalah anzimah iaitu sistem yang mengawal kita semua. Jadi, sesuatu masyarakat yang ideal itu, kesemua ini mesti sama,” ucapnya.
#MasyarakatMuslimIdeal #AmazingUmmah #PemikiranIslam

