Site icon MuslimahHTM News

Sedekah dan Kriteria Orang Kaya

Sedekah dan Kriteria Orang Kaya

 

Oleh: Ustaz Yahya Abdurrahman

 

«خَيْرُ الصَّدَقَةِ عَنْ ظَهْرِ غِنًى، وَالْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنَ الْيَدِ السُّفْلَى، وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ»

“Sebaik-baik sedekah adalah yang daripada orang yang berkecukupan. Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah. Mulailah dengan orang yang menjadi tanggunganmu.” (HR Muslim no. 1034, ad-Darimi no. 1693, Ahmad no. 15317, ath-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabîr no. 3120, ad-Daraquthni no. 3780).

 

Hadis ini diriwayatkan dari Hakim bin Hizam ra. Redaksi hadis ini juga diriwayatkan dari Abu Hurairah ra oleh Imam Ahmad no. 10172 dan 10785, ad-Darimi no. 1693, an-Nasa’i no. 2534, al-Bazzar no. 8357 dan Ibnu Hibban no. 4243.

 

Redaksi sedikit berbeza dari jalur Abu Hurairah ra sebagai berikut:

 

«خَيْرُ الصَّدَقَةِ مَا كَانَ عَنْ ظَهْرِ غِنًى، وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ»

”Sebaik-baik sedekah adalah daripada orang yang berkecukupan. Mulailah dengan orang yang menjadi tanggunganmu.” (HR al-­Bukhari no. 1426 dan 5356, Ahmad no. 9223, an-Nasa’i no. 2544, Ibnu Khuzaimah no. 2439, al-Bazzar no. 7753 dan ath-Thabarani dalam Mu’jam al-Awsâth no. 8731).

 

Kaya dan fakir berdasarkan syariah dinyatakan dengan lebih daripada satu makna. Hal itu dari sisi tasharruf mengikut keadaan. Imam Ibnu Qudamah menyatakan dalam Al-Mughnî, “Kaya itu berbeza-beza. Di antaranya: kaya yang mewajibkan sedekah; kaya yang menghalang atau melarang mengambil sedekah; dan kaya yang menghalang atau melarang meminta-minta”.

 

Hadis ini mengenai keadaan kaya (berkecukupan) yang memperbolehkan bersedekah, iaitu orang yang mempunyai harta yang melebihi keperluan asas untuk dia dan keluarganya.

 

Islam melarang individu menghibahkan, menghadiahkan atau menyedekahkan harta kecuali dalam apa yang mempertahankan atau meninggalkan kecukupan (al-ghinâ) untuk dirinya dan keluarganya. Jika dia memberikan harta tanpa mempertahankan kecukupan untuk dirinya dan keluarganya—setelah dia memberikan hibah, hadiah atau sedekah itu—maka hal itu di-fasakh semuanya.

 

Imam an-Nawawi (w. 676 H) dalam Al-Minhâj Syarhu Shahîh Muslim bin al-Hajâj menjelaskan, “Maksudnya: sedekah yang afdhal (utama) ialah setelah bersedekah, pelakunya masih memiliki kecukupan daripada harta yang ditinggalkan. Ukuran sedekah yang afdhal adalah yang setelahnya tetap mempertahankan al-ghinâ (kecukupan) yang menjadi sandaran pelakunya untuk kemaslahatan dan keperluannnya. Inilah sedekah yang paling afdhal, yang dinisbatkan kepada orang yang menyedekahkan semua hartanya. Ini kerana, orang yang menyedekahkan semua hartanya, pada lazimnya dia akan menyesal atau adakalanya menyesal apabila dia memerlukan harta tersebut dan berharap sekiranya dahulu dia tidak menyedekahkan semuanya. Keadaan ini berbeza dengan orang yang masih meninggalkan kecukupan untuk dirinya sehingga dia tidak akan menyesal atas sedekahnya, bahkan akan berasa gembira dengan sedekahnya.”

 

Al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Asqalani menjelaskan dalam Fathu al-Bârî, “Seolah-olah yang beliau (Imam al-Bukhari) inginkan adalah penjelasan hadis yang menyatakan bahawa syarat orang yang bersedekah ialah dia bukan orang yang memerlukan harta itu untuk dirinya sendiri atau orang yang nafkahnya menjadi tanggungannya, dan disertakan dengan bersedekah itu semua tabarru’ât (derma).”

 

Al-‘Allamah Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam An-Nizhâm al-Iqtishâdî fî al-Islâm menjelaskan hadis di atas, “Maksud larangan bersedekah dalam hadis tersebut ialah bahawa orang fakir yang keperluan-keperluan asasnya yang belum dipenuhi tidak boleh bersedekah dengan harta yang dharûriy (mendesak) untuk memenuhi keperluan-keperluan asasnya. Hal ini kerana sedekah hanya daripada orang yang mempunyai kecukupan (‘an zhahri ghinâ), iaitu orang yang tidak memerlukan orang lain dalam memenuhi keperluan-keperluan asasnya. Adapun orang yang mempunyai harta melebihi daripada keperluan-keperluan asasnya, kemudian setelah keperluan asas itu dipenuhi dia memandang perlu untuk memenuhi kepentingannya lebih daripada keperluan asas, iaitu memenuhi keperluan pelengkap, maka mandûb (boleh) bagi dia untuk mengutamakan orang fakir daripada dirinya. Maksudnya, dia mendahulukan orang-orang fakir berbanding dirinya sendiri walaupun dia juga memerlukan harta tersebut untuk memenuhi keperluan pelengkapnya.”

 

Al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam Fathu al-Bârî mengutip penjelasan Imam al-Qurthubi, “Makna yang terpilih daripada hadis tersebut, yakni bahawa sedekah yang afdhal adalah yang dikeluarkan setelah pelaksanaan hak-hak diri sendiri dan keluarganya, iaitu orang yang bersedekah itu, dia tidak memerlukan bantuan sesiapa pun setelah dia mengeluarkan sedekahnya. Jadi, makna kaya dalam hadis ini ialah memiliki harta yang mencukupi keperluan asas (al-hâjah adh-dharûriyyah) seperti makanan ketika lapar yang amat sangat, pakaian untuk menutup aurat dan segala keperluan yang dapat menghindarkan dirinya daripada bahaya. Dalam keadan seperti ini, dia tidak boleh mengutamakan orang lain, bahkan haram. Hal ini kerana, jika dia mengutamakan orang lain, sehingga perkara itu akan menyebabkan kebinasaan atau membahayakan dirinya, atau menyebabkan auratnya tidak tertutup. Maka, menjaga hak diri sendiri lebih diutamakan dalam semua keadaan. Jika kewajipan ini gugur maka mengutamakan orang lain adalah sah atau dibolehkan dan sedekahnya adalah lebih afdhal kerana dia sanggup menanggung kepayahan kefakiran dan kesempitan hidup.”

 

Memang terdapat sebuah riwayat yang masyhur dalam Sîrah daripada Umar bin al-Khattab ra bahawa Abu Bakar ra mendermakan semua hartanya. Ketika itu Rasulullah SAW bertanya kepada beliau:

 

«يَا أَبَا بَكْرٍ مَا أَبْقَيْتَ لأَهْلِكَ؟ قَالَ: أَبْقَيْتُ لَهُمُ اللَّهَ وَرَسُولَهُ»
“Wahai Abu Bakar, apa yang engkau tinggalkan untuk keluargamu?” Beliau menjawab, “Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan Rasul-Nya.” (HR ad-Darimi no. 1701, Abu Dawud no. 1678, at-Tirmidzi no. 3675 dan al-Hakim no. 1510).

 

Imam at-Tirmidzi mengatakan, “Hadis ini hasan sahîh.” Imam al-Hakim berkata, “Ini adalah hadis sahîh menurut syarat Muslim tetapi mereka berdua tidak men-takhrîj hadis tersebut.”

 

Imam ath-Thabari menjelaskan, “Jumhur mengatakan bahawa orang yang menyedekahkan semua hartanya dalam keadaan sihat tubuh badan dan sempurna akalnya, tidak ada hutang terhadapnya dan dia mampu bersabar menanggung kesusahan yang bakal dihadapi, serta tidak mempunyai keluarga, atau mempunyai keluarga yang juga mampu bersabar, maka itu dibolehkan.”

 

Adapun kaya yang mewajibkan zakat ialah orang yang memiliki nisâb daripada harta zakat; memiliki lebihan daripada hutangnya, makanan, tempat tinggal dan pakaiannya serta keluarganya dan orang yang berada dibawah tanggungan nafkahnya, iaitu memiliki lebihan daripada keperluan-keperluan asas dan pelengkap mereka. Ini juga merupakan asas untuk beban kewangan yang lain seperti membayar dharîbah, penyertaan dalam membayar diyat dan sebagainya.

 

Adapun seseorang yang memiliki harta selain harta zakat dan atau harta zakat yang belum mencapai nisab yang memenuhi dan mencukupi keperluan asas dirinya dan keluarganya maka dia juga dikira sebagai orang kaya dan boleh bersedekah walaupun dia tidak wajib membayar zakat.

 

WalLâh a’lam wa ahkam.

 

 

#hadispilihan #sedekah #orangkaya

Exit mobile version