Site icon MuslimahHTM News

[Menjadi Ahli Politik Transformatif] Mengenali Potensi: Memahami Hakikat Diri (Bahagian 5/6)

[Menjadi Ahli Politik Transformatif] Mengenali Potensi: Memahami Hakikat Diri (Bahagian 5/6)

 

Penulis: MR Kurnia, dkk.

 

(Sambungan dari “Mengenali Potensi” Bahagian 4/6.)

 

Agar jawapan terhadap tiga persoalan terdahulu dapat memuaskan akal serta menenteramkan jiwa, yakni selaras dengan fitrah manusia, jawapan tersebut mestilah benar secara pasti. Jawapan yang pasti benar hanya dapat diperoleh daripada sumber yang juga pasti benar. Sumber tersebut ialah al-Quran yang autentik dan merupakan wahyu daripada Allah SWT. Oleh itu, segala yang dinyatakan oleh al-Quran adalah benar.

 

Sebaliknya, pemikiran spekulatif tidak mempunyai asas yang pasti. Nilainya mungkin benar dan mungkin juga salah. Namun, apabila telah wujud sumber yang pasti benar, maka pemikiran spekulatif mengenai hakikat kehidupan di dunia yang bercanggah dengan sumber tersebut pastilah salah.

 

Dengan demikian, bagi seseorang Muslim, jawapan yang benar tentulah jawapan yang bersumberkan wahyu, iaitu al-Quran dan sunnah. Namun, bagaimanakah kita dapat meyakini bahawa al-Quran benar-benar merupakan wahyu daripada Allah? Apakah buktinya?

 

Secara faktanya, al-Quran ialah sebuah kitab berbahasa Arab yang dibawa oleh Rasulullah Muhammad SAW. Oleh itu, secara rasional hanya terdapat tiga kemungkinan tentang asal-usul al-Quran, iaitu: (1) karangan bangsa Arab, (2) karangan Nabi Muhammad SAW, atau (3) berasal daripada Allah Taala.

 

Kemungkinan pertama, iaitu bahawa al-Quran merupakan karangan bangsa Arab, tidak dapat diterima. Hal ini demikian kerana bangsa Arab tidak pernah mampu menyahut cabaran untuk menghasilkan sebuah kitab yang setanding dengan al-Quran.

 

“Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang Al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surat (saja) yang semisal dengan Al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolong kalian selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar.” (TMQ Al-Baqarah: 23).

 

Kemungkinan kedua, iaitu bahawa al-Quran merupakan karangan Nabi Muhammad SAW , juga tidak dapat diterima. Mengapa? Terdapat dua sebab.

 

Pertama, Nabi Muhammad SAW ialah seorang daripada bangsa Arab. Sekiranya seluruh bangsa Arab tidak mampu menyahut cabaran untuk menghasilkan walaupun satu surah yang setanding dengan al-Quran, maka Nabi Muhammad SAW  yang ummi, iaitu tidak tahu membaca dan menulis, sudah tentu lebih tidak mampu melakukannya. Sekiranya Nabi Muhammad SAW  mampu menghasilkan al-Quran, sudah tentu orang Arab lain yang lebih mahir dan berpengetahuan daripada Baginda juga mampu menghasilkannya.

 

Kedua, gaya bahasa dalam pertuturan Baginda sebagaimana yang dirakamkan dalam hadis-hadis qauliyah ternyata berbeza daripada gaya bahasa al-Quran. Meskipun seseorang mungkin mampu bertutur menggunakan dua gaya bahasa yang berbeza, menghasilkan ungkapan secara berterusan dan dalam kekerapan yang tinggi sebagaimana yang berlaku dalam kehidupan harian Rasulullah SAW  merupakan sesuatu yang amat sukar untuk dilakukan.

 

Sekalipun seseorang berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukannya, persamaan antara kedua-dua gaya bahasa yang digunakannya pasti akan sering muncul. Namun, gaya bahasa al-Quran jelas berbeza daripada gaya bahasa hadis. Hal ini menunjukkan bahawa al-Quran bukanlah perkataan atau kalam Nabi Muhammad SAW  sendiri.

 

Hakikat bahawa al-Quran bukan hasil karangan Nabi Muhammad SAW  turut dibuktikan melalui fakta-fakta ilmiah yang terkandung dalam sebahagian ayatnya. Fakta-fakta yang begitu kompleks dan terperinci itu hanya dapat dibuktikan pada zaman moden. Hal ini menunjukkan bahawa al-Quran tidak mungkin merupakan karangan Nabi Muhammad SAW  yang ummi. Dengan kata lain, al-Quran hanya berasal daripada Allah, bukan daripada selain-Nya.

 

Antara fakta ilmiah tersebut termasuklah perkara yang berkaitan dengan atmosfera bumi serta pertukaran siang dan malam yang berlaku dengan pantas.

 

“Dan Kami menjadikan langit itu sebagai atap yang terpelihara, sedangkan mereka berpaling dari segala tanda-tanda (kekuasaan Allah) yang terdapat padanya.” (TMQ Al-Anbiya: 32).

 

Para ilmuwan sekarang menjelaskan kepada kita bahawa “atap yang terpelihara” (saqfan mahfuzhan) dalam ayat di atas adalah lapisan atmosfera, iaitu udara yang berlapis-lapis di atas bumi. Seandainya atmosfera tidak ada, nescaya jutaan meteor yang setiap hari terbakar di angkasa akan jatuh mengenai kita dan membakar segala sesuatu di bumi.

 

Allah SWT telah menjadikan atmosfera sebagai atap yang kukuh untuk melindungi bumi serta seluruh makhluk hidup yang berada di dalamnya. Mengenai pertukaran siang dan malam yang berlaku dengan pantas, Allah SWT berfirman, “Dia menutupkan malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat.” (TMQ Al-A’raf: 54).

 

Maksud ayat di atas ialah siang dan malam saling berganti dengan cepat dan berterusan. Ayat tersebut mengandungi isyarat tentang putaran bumi pada paksinya yang menyebabkan berlakunya siang dan malam.

 

“Dia menutupkan malam kepada siang dan menutupkan siang kepada malam.” (TMQ Az-Zumar: 5).

 

“Dia memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam.” (TMQ Fathir: 13).

 

“Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing beredar menurut garis edarnya.” (TMQ Al-Anbiya: 33).

 

Angkasawan Rusia, Yuri Gagarin, ketika terbang ke angkasa lepas mengatakan bahawa beliau menyaksikan dengan mata kepalanya sendiri pertukaran antara kegelapan dengan cahaya yang berlaku dengan pantas di permukaan bumi akibat putaran bumi.

 

Inilah beberapa contoh ayat al-Quran yang turut membuktikan bahawa al-Quran berasal semata-mata daripada Allah SWT, dan bukannya hasil ciptaan manusia, termasuk Nabi Muhammad SAW. Pada zaman Nabi Muhammad SAW, ilmu pengetahuan yang menjelaskan hakikat ayat-ayat tersebut masih belum dikenal. Pengetahuan seperti ini hanya diketahui oleh manusia pada zaman moden.

 

Maha Benar Allah dengan firman-Nya, “Katakanlah, ‘Al-Quran itu diturunkan oleh (Allah) yang mengetahui rahsia langit dan bumi. Sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’” (TMQ Al-Furqân: 6).

 

Apabila kemungkinan pertama dan kedua tidak dapat dibuktikan, maka pastilah kemungkinan ketiga yang benar, iaitu bahawa al-Quran berasal daripada Allah Taala. Al-Quran ialah kalam Allah Taala.

 

Perlu dicatatkan bahawa seorang tokoh sasterawan Quraisy bernama al-Walid bin al-Mughirah pernah berkata, “Aku ialah orang yang paling mengetahui tentang syair Arab. Tiada seorang pun yang lebih mengetahui tentangnya selain aku. Sesungguhnya, apa yang dibaca oleh Muhammad itu bukanlah kata-kata manusia. Sesungguhnya ia sangat tinggi dan tiada sesuatu pun yang lebih tinggi daripadanya.”

 

Sumber: MR Kurnia, dkk, Merentas Jalan Menjadi Politisi Transformatif.

 

#MenjadiAhliPolitikTransformatif #PolitikIslam #PotensiManusia #HakikatManusia #UqdatulKubra

 

Exit mobile version