Site icon MuslimahHTM News

[Menjadi Ahli Politik Transformatif] Meningkatkan Valensi Diri (Bahagian 1/3)

[Menjadi Ahli Politik Transformatif] Meningkatkan Valensi Diri (Bahagian 1/3)

 

Penulis: MR Kurnia, dkk.

 

Seorang muslim yang telah memahami hakikat hidupnya di dunia telah memahami dengan benar dari mana dia berasal, untuk apa dia hidup, bagaimana dia perlu menjalani kehidupan, serta akan ke mana setelah mati. Tentu dia akan memahami juga bahawa meningkatkan valensi diri untuk menjalani kehidupan demi menggapai kebahagiaan dunia akhirat merupakan sebuah akibat.

 

Valensi adalah nilai diri yang berintikan pada kecekapan atau keunggulan diri sebagai hamba Allah Taala. Valensi dibina daripada sejumlah potensi hidup yang secara fitrah telah dilekatkan Allah saat penciptaan manusia. Bagaimana caranya? Huraian berikut menyajikannya.

 

Ibadah Mahdhah, Sebuah Tenaga

 

Muhammad SAW adalah Rasulullah. Baginda dan para sahabatnya melakukan rukuk dan sujud bersimpuh di hadapan Allah Taala. Sejak awal, baginda memang diperintahkan oleh Allah SWT, Sang Pencipta kita, untuk senantiasa dekat dengan-Nya. Ibadah mahdhah merupakan jalan penting bagi meraih kedekatan ini. Ternyata Rasulullah SAW beserta para sahabatnya memiliki keteguhan dalam mengharungi kehidupan memperjuangkan Islam. Keteguhan ini adalah buah daripada ibadah yang dilakukannya.

 

Mereka juga meraih kemenangan. Kehidupan mereka yang berat dapat diraih dengan gemilang. Sama seperti mereka, kehidupan kita juga berat, apatah lagi pada zaman sekarang. Contohnya, seorang pelajar mengadu bahawa pensyarahnya sukar dicari, mengakibatkan tesisnya tidak siap dengan segera. Ada juga graduan yang susah hati kerana kesukaran mencari pekerjaan, sedangkan godaan tidak terhitung banyaknya.

 

Di sisi lain, masyarakat banyak yang menghidap penyakit sikap acuh tidak acuh. Mereka sering kali tidak peka terhadap kesukaran yang dihadapi rakannya, sedangkan masalahnya begitu banyak. Jiran sebelah rumah sering membuat masalah. Kereta rosak teruk selepas orang yang tidak bertanggungjawab melanggarnya daripada belakang. Anak yang terus merengek minta makanan ringan, sedangkan wangnya sudah sangat sikit, bahkan kurang. Mungkin juga masalah interaksi dengan isteri atau suami yang tidak harmoni.

 

Wajar saja jika anda atau siapa pun orangnya akan merasa penat menghadapi pelbagai masalah hidup tersebut. Apatah lagi jika anda adalah seorang pendakwah. Walaupun masalah peribadi tidak dipandang sebagai masalah berat, tetapi masalah menyampaikan dakwah juga tidak selancar jalan tol. Ejekan, sikap sinis, tuduhan, label negatif, ancaman, propaganda, kerisauan akan dipenjaraakan, rekrutmen yang terhenti, diintip, tuntutan yang banyak sedangkan kemampuan terasa kurang, kewajipan lebih banyak daripada waktu 24 jam sehari yang dimiliki, dan pelbagai masalah lainnya.

 

Peribadi yang dapat kuat dalam menghadapi semua ini adalah peribadi yang memiliki kekuatan gergasi. Kekuatan itu bukanlah dorongan material berupa wang, populariti, hubungan atau banyak kenalan yang membantu. Bukan juga kekuatan maknawiyah berupa kasihan kepada orang lain, sayang membuang waktu, atau membela saudara.

 

Bukan, sekali lagi bukan itu kekuatan gergasi yang kukuh tersebut. Kekuatan gergasi itu tidak lain adalah kekuatan ruhiah berupa kesedaran akan hubungan kita sebagai makhluk dengan Allah SWT sebagai khalik (idrak shilah billah). Kekuatan raksasa ini wujud dalam bentuk ketaatan. Akhirnya menjelma menjadi kedekatan kita dengan-Nya.

 

Setiap bentuk ketaatan dapat mendekatkan diri kepada Allah Pencipta Alam. Siapa pun dapat meraihnya, termasuk kita. Di antara cara untuk mencapai kedekatan tersebut adalah dengan melakukan ibadah mahdhah secara sungguh-sungguh kepada-Nya. Yakinlah bahawa Allah SWT Maha Dekat kepada siapa pun yang ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

 

Berkaitan dengan hal ini, Rasulullah SAW bersabda dalam suatu hadis qudsi bahawa Allah SWT berfirman, “Apabila seseorang mendekat kepada-Ku sejengkal, maka Aku akan mendekat kepadanya sehasta. Apabila dia mendekat kepada-Ku sehasta, maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Apabila dia datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku datang kepadanya dengan berlari.” (HR. Bukhari)

 

Mendekatkan diri dengan memperkuatkan ibadah mahdhah ini amatlah penting. Buktinya, Nabi SAW melakukan hal tersebut. Baginda adalah orang yang paling banyak kebaikannya. Kepadatan aktiviti dakwahnya juga tidak ada yang dapat tandingi. Akan tetapi, baginda tetap melakukan ibadah mahdhah dengan penuh kesungguhan.

 

Alkisah, seperti biasanya pada suatu malam, Rasulullah Muhammad SAW bersama isterinya, ‘Aisyah, bangun untuk solat Tahajud. Kelihatan bahawa kedua kaki baginda bengkak. Keadaan tersebut mendorong ‘Aisyah bertanya kepadanya, “Wahai Rasulullah, kenapa tuan berbuat seperti itu (solat Tahajud tanpa henti), sedangkan Allah telah mengampuni segala dosa tuan, baik dosa yang lampau mahupun dosa yang akan datang?” Baginda menjawab, “Adakah tidak selayaknya aku menjadi seorang hamba Allah yang bersyukur?” (HR. Bukhari dan Muslim).

 

Peristiwa di atas menunjukkan betapa Rasulullah SAW mengajarkan kita untuk senantiasa berterusan dan bersungguh-sungguh mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan pelbagai ibadah, termasuk ibadah mahdhah. Dengan demikian, tidak ada alasan bagi siapapun yang mencintai Rasul dan hendak mencontohinya, untuk mengabaikan ibadah mahdhah tersebut.

 

Apabila anda sibuk berdakwah, itu perkara yang bagus. Namun, jika kesibukan tadi dijadikan dalih untuk meninggalkan aktiviti mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui ibadah mahdhah, jiwa akan hampa dan kedekatan kepada-Nya juga menjadi hambar. Yakinlah, ibadah mahdhah merupakan pengecas bateri yang lemah agar ia terus bertenaga. (Silakan menghayati makna QS Al-Furqan: 64).

 

Meniti Jalan Ibadah

 

Kalau kita memikirkan bagaimana jalan ibadah daripada pangkal hingga ke akhirnya, kita akan mengetahui bahawa jalan tersebut bukanlah jalan yang mudah. Siapapun pasti pernah merasakan hal ini. Sebagai contoh, boleh jadi ada di antara kita yang masih berat melakukan solat, apatah lagi solat tahajud. Dorongan untuk melakukannya tidak terasa kuat.

 

Membaca Al-Quran juga sering kali dilupakan apabila tidak dipaksakan. Sedangkan Al-Quran adalah kitab yang kita serukan sebagai sistem kehidupan. Bukan mustahil ada di antara kita yang abai mengamalkan zikir-zikir yang diajarkan Rasulullah atau sudah lupa akibat lama tidak diamalkan. Saya yakin kita semua merasakan bahawa perjalanan ibadah demikian jauh. Banyak bukit yang perlu didaki, berat ujiannya, banyak halangannya, sedikit manusia yang mahu memahaminya, dan sedikit juga di antara manusia yang berjaya melaluinya.

 

Gambaran seperti ini bukanlah bermaksud bahawa ibadah itu berat dan memberatkan. Akan tetapi, memang diperlukan pelbagai modal untuk menempuhnya agar seorang hamba berjaya melalui jalan ibadah itu dengan baik. Satu kata kunci dalam hal ini adalah kesungguhan/keistiqamahan.

 

Suatu ketika ada seorang sahabat yang bertanya, “Ya Rasul, beri aku satu nasihat yang dengan nasihat itu aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain tentang Islam.” Rasul yang mulia pun menjawab, “Qul amantu billâhi tsummastaqim! (Katakanlah, aku beriman kepada Allah, lalu beristiqamahlah).” Istiqamah bermaksud teguh pendirian dalam menjalankan dan melaksanakan suatu keyakinan.

 

Sumber: MR Kurnia, dkk, Meretas Jalan Menjadi Politisi Transformatif.

 

(Bersambung ke ”Meningkatkan Valensi Diri” (Bahagian 2/3)

 

#MenjadiAhliPolitikTransformatif #PolitikIslam #IslamPolitik #PotensiDiri

 

Exit mobile version