Site icon MuslimahHTM News

Islam Mengajarkan Hukum Sebab-Akibat

Islam Mengajarkan Hukum Sebab-Akibat

 

Sesungguhnya Allah ﷻ telah mengajarkan kepada kita untuk menghubungkan sebab dengan akibat, dan menjadikan sebab itu menghasilkan akibat. Maka, api itu membakar dan tidak akan terjadi pembakaran tanpa adanya api, serta pisau itu memotong dan tidak akan terjadi pemotongan tanpa adanya pisau. Allah ﷻ juga menciptakan manusia dan menanamkan kemampuan di dalam dirinya untuk melakukan sesuatu perbuatan, serta memberikannya pilihan mutlak dalam melakukan perbuatan-perbuatannya: Dia makan bila-bila masa yang dia mahu, berjalan bila-bila masa dia mahu, mengembara bila-bila masa dia mahu, belajar sehingga dia menjadi tahu, membunuh sehingga dia dihukum, meninggalkan jihad sehingga dia menjadi hina, dan berdiam diri daripada berusaha mencari rezeki sehingga dia menjadi miskin. Kerana itu, tidak ada ruang bagi fahaman fatalisme ghaib (qadariyyah ghaybiyyah) dalam kenyataan hidup, tidak pula dalam syariat Allah ﷻ.

 

Orang yang mengkaji dengan cermat akan menemukan bahawa idea fatalisme ghaib ini tidak dikenali pada masa para sahabat. Mereka tidak pasrah pada takdir kemudian berkata, “Apa yang ditakdirkan pasti terjadi, sama ada aku berusaha untuknya mahupun tidak!”

 

Namun, kaum Muslim di masa lalu yang memahami kebenaran telah menyedari: bahawa benteng tidak akan runtuh kecuali dengan pedang, musuh tidak akan kalah kecuali dengan kekuatan, rezeki perlu diusahakan dengan bekerja, penyakit perlu dicegah, seorang Muslim yang meminum khamar perlu disebat, pencuri perlu dipotong tangannya, pemimpin perlu diperbetulkan (muhasabah), dan manuver politik mutlak perlu dilakukan dalam menghadapi musuh.

 

Mereka tidak mungkin meyakini selain hal itu, apatah lagi mereka sudah menyaksikan pasukan kaum Muslim yang dipimpin oleh Rasulullah ﷺ sendiri sempat kalah dalam Perang Uhud kerana pasukan pemanah mengingkari perintah pemimpin. Mereka juga melihat bagaimana pasukan Muslim pada Perang Hunain yang sempat kucar-kacir kerana takut akan hujan panah, akhirnya berjaya meraih kemenangan disebabkan oleh kembalinya mereka untuk bertempur setelah Rasulullah ﷺ –yang tetap bertahan dengan teguh bersama segelintir orang– memanggil mereka.

 

Sumber: “Al-Fikr al-Islâmiy” – Muhammad Muhammad Ismail

 

 

#muhasabah #usaha #perbuatan #sebabakibat

 

Exit mobile version