Site icon MuslimahHTM News

Benarkah Kisah Kritikan Seorang Muslimah terhadap Mahar kepada Khalifah Umar Adalah Dusta?

Benarkah Kisah Kritikan Seorang Muslimah terhadap Mahar kepada Khalifah Umar Adalah Dusta?

 

Penulis: Ummu Nashir N.S.

 

Beberapa ketika dahulu, timbul perbincangan yang hangat berkaitan adab menegur (atau memuhasabah) pemerintah. Sebahagian berpendapat bahawa Islam tidak membenarkan pemerintah ditegur secara bersemuka, manakala sebahagian yang lain membolehkannya. Salah satu dalil yang dijadikan hujah oleh pihak yang membenarkan ialah kisah pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab RA, apabila seorang muslimah pernah mengkritik beliau berhubung penetapan kadar mahar. Sementara itu, golongan yang mengambil pendapat pertama (tidak membenarkan) menganggap kisah tersebut adalah dusta, lalu tidak boleh dijadikan hujah. Benarkah demikian?

 

Adakah Kisah Tersebut Dusta?

 

Satu kisah yang cukup masyhur dalam kalangan umat Islam berkaitan muhasabah lil hukkam (menegur atau memuhasabah pemerintah) ialah kritikan seorang muslimah terhadap Umar bin al-Khattab RA mengenai penetapan kadar mahar. Ada yang berpendapat bahawa peristiwa ini adalah dusta kerana menilai periwayatannya ada yang terputus daripada salah seorang perawi. Mereka mengemukakan pendapat Syeikh Nashiruddin al-Albaniy yang menilai bahawa periwayatan ini terputus kerana salah seorang perawinya, iaitu Mujalid bin Sa‘id, bukan dalam kalangan perawi yang kuat.

 

Hakikatnya, dalam penilaian terhadap sesuatu riwayat, sama ada hadis mahupun atsar, para ulama hadis boleh sahaja berbeza pandangan dalam membuat kesimpulan terhadap hadis atau atsar yang sama. Ada ulama yang menerima sesuatu hadis atau atsar sehingga boleh diamalkan, manakala ulama lain pula menolaknya. Antara sebab sesuatu hadis atau atsar dinilai lemah ialah kerana sanadnya terputus, sama ada disebabkan terdapat perawi yang tidak dikenali (majhul) atau perawi yang lemah.

 

Namun begitu, sesuatu hadis atau atsar juga boleh diriwayatkan melalui ramai perawi dengan jalur sanad yang berbeza-beza. Oleh itu, boleh jadi satu jalur sanad tidak diterima, tetapi jalur sanad yang lain diterima. Begitu juga halnya dengan peristiwa kritikan seorang muslimah terhadap Umar bin al-Khattab RA. Ini kerana perawi-perawi bagi riwayat tersebut tidak sedikit pada setiap thabaqah (peringkat generasi perawi), sekali gus memungkinkan kisah itu diriwayatkan melalui jalur perawi atau sanad yang berbeza.

 

Disebutkan dalam kitab Alfu Qishah wa Qishah min Qishashi as-Shalihin wa as-Shalihat karya Hani al-Haji bahawa Umar bin al-Khattab RA pernah tersilap dalam membuat suatu keputusan, dan beliau sendiri mengakui kesilapan tersebut. Perkara itu berkaitan cadangan untuk menarik semula mahar yang telah diberikan kepada isteri.

 

Pada suatu hari, Umar bin al-Khattab RA pernah melarang orang ramai daripada memberikan mahar kepada bakal isteri mereka melebihi 40 ‘uqiyah (salah satu ukuran yang digunakan pada zaman itu; dianggarkan pada masa kini satu ‘uqiyah bersamaan kira-kira 200 gram emas). Sekiranya seseorang telah pun memberikan mahar melebihi 40 ‘uqiyah, mereka diperintahkan supaya menarik atau mengambilnya semula dan menyumbangkannya kepada Baitulmal.

 

Apabila mendengar perintah Umar bin al-Khattab RA supaya mahar yang telah diberikan oleh seorang suami kepada isterinya melebihi 40 ‘uqiyah ditarik semula, tiba-tiba terdengar suara seorang wanita membantah kenyataan Umar tersebut. Wanita itu berkata, “Mengapa kamu berbuat demikian?” Umar menjawab, “Mengapa pula?” Wanita itu lalu berkata lagi, “Mengapa engkau membuat keputusan sedemikian, sedangkan Allah ‘Azza wa Jalla telah berfirman dalam Surah an-Nisa ayat 20: “Dan jika kamu ingin menggantikan isterimu dengan isteri yang lain, sedangkan kamu telah memberikan kepada salah seorang daripada mereka harta yang banyak (sebagai mahar), maka janganlah kamu mengambil kembali sedikit pun daripadanya. Apakah kamu hendak mengambilnya dengan cara membuat tuduhan yang dusta dan dengan menanggung dosa yang nyata?” [TMQ an-Nisa (4): 20]

 

Sebaik sahaja mendengar bantahan wanita tersebut yang turut membacakan ayat al-Quran itu, Umar bin al-Khattab RA segera mengakui kesilapannya dan membenarkan bantahan tersebut. Beliau berkata: “Imra’atun aṣābat wa rajulun akhṭa’a.” “Wanita itu benar, manakala seorang lelaki telah melakukan kesilapan.” Sikap yang ditunjukkan oleh Sayyidina Umar RA ini membuktikan bahawa beliau merupakan seorang pemimpin yang berpegang teguh kepada kebenaran. Beliau tidak berasa segan atau malu untuk menerima pandangan orang lain di hadapan khalayak ramai.

 

Dalam tafsir beliau terhadap Surah an-Nisa ayat 20, Imam Ibnu Kathir menjelaskan bahawa Umar RA pernah melarang kaum lelaki daripada memberikan mahar melebihi 400 dirham. Riwayat ini diriwayatkan oleh Abu Ya’la daripada Abu Khaythamah, daripada Ya’qub bin Ibrahim, daripada Muhammad bin Abdurrahman, daripada al-Sya’bi, daripada Masruq. Menurut riwayat tersebut, Umar RA pernah berkhutbah di atas mimbar dan menyampaikan larangan itu. Setelah beliau turun dari mimbar, datang seorang wanita lalu berkata: “Wahai Amirul Mukminin, tidakkah engkau mendengar apa yang telah difirmankan oleh Allah dalam al-Quran?” Kemudian wanita itu membacakan ayat ke-20 daripada Surah an-Nisa’. Mendengar ayat tersebut, Umar RA berkata: “Ya Allah, ampunilah aku. Semua orang lebih memahami daripada Umar.” Selepas itu, Umar RA naik semula ke atas mimbar dan menarik balik keputusan yang telah dibuatnya. ]Imam Ibnu Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, jil. 2, hlm. 146].

 

Melalui jalur riwayat yang berbeza, Ibnu al-Munzir meriwayatkan daripada Ishaq bin Ibrahim, daripada Abdurrazzaq, daripada Qais bin Rabi’, daripada Abu Husain, daripada Abu Abdurrahman as-Sulami bahawa Umar bin al-Khattab RA pernah memerintahkan agar mahar tidak diberikan secara berlebihan. Lalu seorang wanita berkata kepada beliau sambil membantah, “Itu bukan urusanmu (bukan hakmu), wahai Umar.” [Imam Ibnu Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, jil. 2, hlm. 146–147].

 

Sementara itu, Imam Ali as-Shabuni dalam tafsirnya ketika menghuraikan Surah an-Nisa ayat 20 menjelaskan bahawa seorang wanita telah mengingatkan Umar bin al-Khattab RA tentang ayat tersebut ketika beliau menetapkan had tertentu bagi mahar, iaitu tidak boleh melebihi 12 ‘uqiyah. Setelah mendengar ayat itu, Umar RA berkata, “Wanita ini benar, dan Umar telah tersilap.” [Muhammad Ali as-Shabuni, Safwatut Tafasir, hlm. 245; al-Kasysyaf, jil. 1, hlm. 379].

 

Daripada penjelasan ini, sekurang-kurangnya terdapat dua kitab tafsir muktabar, iaitu Tafsir Ibnu Kathir dan Safwatut Tafasir karya Imam as-Shabuni, yang menjelaskan kehujahan hadis atau atsar tersebut. Maksudnya, terdapat riwayat lain yang boleh diterima sehingga membolehkan kesimpulan dibuat bahawa peristiwa seorang wanita Muslim mengkritik Khalifah Umar bin Khaththab secara langsung di hadapan umat Islam bukanlah suatu pendustaan (rekaan).

 

Hal ini membuktikan bahawa Islam tidak melarang pemerintah ditegur secara berhadapan. Sekalipun ada yang menganggap kisah ini tidak sahih, hakikatnya masih terdapat banyak dalil lain yang menjelaskan kewajipan melaksanakan amar makruf nahi mungkar, termasuk mengkritik pemerintah. Allah SWT berfirman: “Kamu ialah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia. Kamu menyuruh kepada yang makruf, mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah.” [TMQ Ali Imran (3): 110].

 

Selain itu, terdapat hadis-hadis Rasulullah SAW yang menguatkan perkara ini. Antaranya sabda baginda: “Ketahuilah, sesungguhnya (pahala) jihad yang paling utama ialah menyampaikan kalimah yang benar (haq) di hadapan pemerintah yang zalim.” [HR Abu Dawud, at-Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad].

 

Lebih daripada itu, terdapat banyak lagi hadis lain yang menjelaskan perkara ini, malah Rasulullah SAW memberikan pujian kepada mereka yang berani mengkritik pemerintah.

 

Mengkritik Pemerintah Adalah Aktiviti yang Dipuji oleh Rasulullah SAW

 

Kritikan terhadap pemerintah dalam Islam adalah sesuatu yang pasti. Ia merupakan sebahagian daripada dakwah, amar makruf nahi mungkar, dan nasihat yang wajib dilakukan bagi memastikan Islam terus tegak secara menyeluruh. Begitu juga umat Islam di negara ini, meskipun terdapat risiko dan cabaran, istiqamah dalam menyampaikan kebenaran adalah suatu kemuliaan dan dengan izin Allah akan membawa kebaikan kepada negara ini serta umat secara keseluruhannya. Seorang pemerintah yang ideal seharusnya berlapang dada menerima kritikan, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh para pemimpin Islam pada zaman tegaknya Islam.

 

Dalam sistem Islam, pemerintah bertugas melaksanakan Islam secara praktikal, manakala rakyat berkewajipan melakukan pengawasan terhadap pemerintah. Pengawasan atau kawalan rakyat terhadap pemerintah ini disebut sebagai muhasabah lil hukkam, dan hukumnya adalah wajib.

 

Muhasabah terhadap pemerintah boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk. Secara individu, ia boleh dilakukan dengan menyampaikan kritikan atau nasihat. Secara berkumpulan juga boleh menyampaikan kritikan kepada pemerintah, misalnya melalui parti politik yang menggalas tugas secara kolektif untuk mengawasi pemerintah.

 

Selain itu, kritikan atau muhasabah terhadap pemerintah juga boleh dilakukan secara institusi. Dalam Islam terdapat Majlis Umat, iaitu sebuah institusi yang dianggotai oleh wakil-wakil umat (lelaki, wanita dan Muslim) yang mempunyai tugas syura (memberikan pandangan) dan muhasabah. Manakala orang bukan Islam pula boleh mengemukakan aduan sekiranya mereka merasakan diri dizalimi. Di samping itu, terdapat Mahkamah Madzalim, iaitu badan kehakiman yang mengendalikan pertikaian antara rakyat dan pemerintah. Qadi (hakim) Mahkamah Madzalim, walaupun dilantik oleh khalifah, tidak boleh diberhentikan ketika sedang mengendalikan kes yang melibatkan khalifah dan rakyatnya, sekali gus menjamin objektiviti sesuatu keputusan.

 

Dalil-dalil yang berkaitan dengan muhasabah, atau menegur pemerintah, adalah sangat banyak. Antaranya ialah sabda Rasulullah SAW: “Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.”

 

Nabi SAW juga memberikan pujian khusus kepada mereka yang menasihati pemerintah yang zalim dengan gelaran afdhalul jihad. Baginda bersabda: “Afdhalul jihād kalimatun ‘adlin ‘inda sulṭānin jā’ir.” Maksudnya: “Jihad yang paling utama ialah menyampaikan kalimah yang benar di hadapan pemerintah yang zalim.” [HR Abu Dawud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah].

 

Hadis ini menunjukkan bahawa menyampaikan kebenaran kepada pemerintah merupakan suatu amalan yang sangat mulia dalam Islam. Malah, dalam hadis yang lain dijelaskan bahawa sekiranya seseorang terbunuh ketika menjalankan aktiviti menasihati pemerintah, Nabi SAW menyamakan kedudukannya dengan penghulu para syuhada, iaitu Hamzah bin Abdul Muttalib.

 

Rasulullah SAW bersabda: “Penghulu para syuhada ialah Hamzah bin Abdul Muttalib dan seorang lelaki yang berdiri di hadapan seorang pemerintah yang zalim, lalu dia memerintah kepada yang makruf dan melarang daripada yang mungkar. Kemudian pemerintah yang zalim itu membunuhnya.” [HR al-Hakim dalam al-Mustadrak].

 

Hadis yang lain juga menegaskan kepentingan menasihati dan mencegah kemungkaran. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa dalam kalangan kamu yang melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, maka dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu, maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman.” [HR Muslim].

 

Hadis yang lain pula menyatakan, daripada Abu Ruqayyah Tamim bin Aus ad-Daari RA, beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda: “Agama itu adalah nasihat.” Kami bertanya, “Untuk siapa?” Baginda menjawab: “Untuk Allah, untuk KitabNya, untuk para rasulNya, untuk para pemimpin kaum Muslimin, dan untuk seluruh umat Islam.” [HR al-Bukhari dan Muslim].

 

Jika kita meneliti hadis-hadis ini, ia bersifat mutlak, iaitu tanpa menyebut batasan tertentu mengenai cara mengkritik pemerintah, entah secara terbuka atau secara tertutup. Oleh itu, hukum mengkritik pemerintah secara terbuka adalah harus berdasarkan kemutlakan dalil-dalil tersebut, selaras dengan kaedah usul fiqh: “Al-iṭlāq yajrī ‘alā iṭlāqihi mā lam yarid dalīl yadullu ‘ala at-taqyīd.” Maksudnya: Dalil yang bersifat mutlak kekal dalam kemutlakannya selagi tidak terdapat dalil yang menunjukkan adanya batasan atau syarat. (M. Abdullah al-Mas’ari, Muhasabah al-Hukkam, hlm. 60). Walau bagaimanapun, Islam juga menjelaskan adab yang perlu dipelihara ketika melakukan teguran terhadap pemerintah.

 

Adab Memuhasabah Pemerintah dalam Islam dan Relevansinya dalam Kehidupan Moden

 

Dalam Islam, hubungan antara rakyat dengan pemimpinnya berasaskan sikap saling reda, saling mengasihi dan saling mendoakan; bukannya saling melaknat atau saling membenci. Sokongan rakyat terhadap pemerintah bukan sekadar dengan mendoakan mereka, bahkan juga dengan mentaati serta melaksanakan segala perintah dan dasar yang ditetapkan, selagi tidak memerintahkan kepada maksiat atau bercanggah dengan hukum syarak. Pada masa yang sama, rakyat, lebih-lebih lagi para ulama, wajib melaksanakan amar makruf nahi mungkar serta sentiasa melakukan muhasabah lil hukkam (memuhasabah pemerintah) bagi memastikan pemerintah sentiasa berjalan selaras dengan syariat Islam.

 

Nilai-nilai Islam menekankan bahawa hubungan antara pemimpin dan masyarakat hendaklah berasaskan sikap saling mengingatkan demi mewujudkan pemerintahan yang adil dan bertanggungjawab. Dengan adanya kawalan daripada masyarakat, diharapkan pemerintah dapat melaksanakan amanahnya dengan lebih baik. Ibnu Taimiyah dalam karya beliau mengenai politik Islam menjelaskan bahawa tujuan kepimpinan ialah merealisasikan keadilan dan kemaslahatan umat. Oleh itu, masyarakat mempunyai kewajipan untuk mengingatkan pemerintah sekiranya berlaku penyimpangan daripada tujuan tersebut.

 

Islam memberikan panduan tentang bagaimana rakyat seharusnya menyampaikan kritikan, nasihat atau muhasabah kepada pemerintah agar matlamat pembaikan dapat dicapai. Kritikan hendaklah dilakukan dengan tujuan memperbaiki keadaan, bukan untuk kepentingan peribadi atau menjatuhkan mana-mana pihak. Selain itu, penyampaiannya hendaklah dilakukan dengan cara yang bijaksana dan berhemah. Islam menganjurkan agar nasihat disampaikan dengan hikmah dan kelembutan. Oleh yang demikian, fitnah dan provokasi yang boleh menimbulkan kerosakan sosial serta memberi kesan buruk kepada kemaslahatan umum hendaklah dielakkan.

 

Para ulama juga menegaskan bahawa kritikan terhadap pemerintah hendaklah dilakukan dengan cara yang bijaksana serta tidak menimbulkan kerosakan yang lebih besar. Mengingatkan pemerintah bukanlah suatu tindakan pemberontakan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada tanggungjawab seorang Muslim. Imam al-Ghazali dan Ibnu Taimiyah turut menekankan kepentingan memberikan nasihat kepada pemerintah sebagai usaha memelihara keadilan dan mencegah kerosakan dalam masyarakat. Sementara itu, Wahbah az-Zuhaili menjelaskan bahawa amar makruf nahi mungkar termasuk dalam tanggungjawab sosial umat Islam yang bertujuan memelihara kestabilan dan menegakkan keadilan dalam masyarakat.

 

Jelaslah bahawa amar makruf nahi mungkar, termasuk di dalamnya menasihati dan memuhasabah pemerintah, merupakan suatu amalan yang mulia serta diperintahkan oleh Allah dan RasulNya. Perkara ini dijelaskan dalam ayat-ayat al-Quran dan banyak hadis Rasulullah SAW. Terdapat juga beberapa riwayat daripada zaman para sahabat dan para khalifah yang menunjukkan bahawa rakyat pernah menasihati pemerintah secara terbuka.

 

Sebagai contoh, Ubadah bin as-Samit RA pernah menasihati Mu’awiyah secara terbuka dalam isu riba fadhl (lihat Riwayat Muslim). Abu Sa’id al-Khudri RA pula pernah memuhasabah Marwan, Amir Madinah, secara terbuka dalam isu solat Hari Raya (lihat Riwayat al-Bukhari). Begitu juga dengan peristiwa yang berlaku kepada Umar bin al-Khattab RA, apabila beliau pernah ditegur secara terbuka oleh seorang wanita berhubung isu pembatasan mahar (lihat Imam Ibnu Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, hlm. 146–147).

 

Wallahu a’lam bi al-shawab.

 

#MuhasabahPemimpin #PolitikMuslimah #Mahar

Exit mobile version