Site icon MuslimahHTM News

Dua Golongan Manusia yang Disebut dalam Al-Quran

Dua Golongan Manusia yang Disebut dalam Al-Quran

 

Penulis: K.H. Rokhmat S. Labib

 

Terdapat dua golongan manusia yang dijelaskan dalam Al-Quran. Pertama, orang beriman atau mukmin yang disebutkan dalam Surah Al-Baqarah ayat 3:

 

“(Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.”

 

Kedua, orang kafir yang disebutkan dalam Surah Al-Baqarah ayat 6:

 

“Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman.”

 

Begitu juga dalam Surah At-Taghabun ayat 2, Allah SWT berfirman, “Dialah yang mengaturkan kejadian kamu; maka ada sebahagian daripada kamu yang kafir dan ada sebahagian daripada kamu yang beriman; dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan.”

 

Jadi, hanya ada dua golongan, iaitu mukmin dan kafir. Bagi orang mukmin disediakan syurga, manakala bagi orang kafir disediakan neraka. Lalu bagaimana pula dengan orang munafik? Tidak ada golongan orang munafik. Dalam Surah Al-Baqarah ayat 8, Allah SWT berfirman, “Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat”, padahal mereka sebenarnya tidak beriman.”

 

Ertinya, kalau bukan orang beriman, maka apa? Kafir, cuma ada antara mereka yang mengaku dirinya beriman, sedangkan hatinya tidak beriman.

 

Golongan mukmin dan kafir dibezakan berdasarkan iman yang berada di dalam hati. Orang munafik, hatinya tidak beriman, tetapi hanya lisannya. Inilah yang disebut sebagai munafik i’tiqadi (keyakinan), bukan munafik ‘amali (perbuatan).

 

Jika ingin disebut sebagai mukmin, maka mesti ada keyakinan dalam hatinya serta pengakuan secara lisan. Jika hatinya sahaja yang beriman, sedangkan lisannya tidak beriman, dia juga tidak boleh disebut sebagai mukmin. Jadi, iman itu mestilah al-‘itiqadu bil-qalbi al-iqraru bil-lisan, iaitu keyakinan dalam hati dan diikrarkan melalui lisan.

 

Moderasi Beragama

 

Dalam moderasi beragama dikatakan bahawa semua penganut agama akan masuk ke dalam syurga kerana Tuhannya adalah sama. Memang benar, Allah SWT itu Rabbul ‘alamin, Tuhan semesta alam, Tuhan bagi seluruh manusia, termasuk orang kafir tadi. Allah SWT juga yang mematikan dan memberikan rezeki kepada mereka.

 

Namun, persoalannya ialah: Adakah Allah SWT itu dijadikan sebagai Tuhan oleh mereka? Jelas tidak! Di sinilah sebenarnya letaknya perbezaan antara iman dan kufur.

 

Dalam Surah Al-Kafirun ayat 2 dijelaskan لَآ اَعْبُدُ مَا تَعْبُدُوْنَ. Ertinya, “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.” Persoalannya, adakah sembahan orang mukmin dan orang kafir berbeza? Ya, berbeza! Orang mukmin menyembah Allah, manakala orang kafir menyembah selain Allah.

 

Kemudian, adakah terdapat ayat Al-Quran yang mengatakan bahawa orang kafir akan masuk ke dalam syurga? Sebaliknya, Allah mengharamkan syurga bagi mereka. Tempat tinggal mereka ialah neraka. Maklumat tentang syurga dan neraka ini bersumberkan Al-Quran.

 

Suatu ketika, semasa diskusi antara agama, di sebelah saya ada seorang pendeta. Saya berterus terang mengatakan bahawa orang kafir akan masuk ke dalam neraka selama-lamanya sehingga saya mengajak pendeta tersebut memeluk Islam. “Pak, masuklah Islam. Kalau saya tidak ingatkan sekarang, saya risau nanti saya akan dituntut di akhirat, ‘Mengapa kamu tidak mengajaknya memeluk Islam?’”

 

Itulah keyakinan mutlak dalam Islam bahawa Islam merupakan satu-satunya agama yang benar. Namun, umat Islam tidak boleh memaksa orang kafir untuk memeluk Islam. Apa yang boleh dilakukan hanyalah menyampaikan agar mereka juga selamat.

 

Ironinya, dalam moderasi beragama, umat Islam yang menyatakan bahawa Islam ialah satu-satunya agama yang benar justeru dilabel sebagai fanatik, dianggap menimbulkan sikap intoleran, ekstremis dan sebagainya.

 

Hakikatnya tidak seperti itu. Keyakinan adalah keyakinan, dan dakwah adalah dakwah. Inilah yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW dan diikuti oleh umat Islam.

 

Sumber: muslimhahnews

 

#moderasiagama #munafik

 

Exit mobile version