Site icon MuslimahHTM News

Antara Sahabiyah Yang Dididik Rasulullah SAW

Antara Sahabiyah Yang Dididik Rasulullah SAW

 

Penulis: Afifah Natasya

 

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْءَاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًا

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu, iaitu bagi orang yang mengharapkan (Rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” [TMQ Al-Ahzab (33): 21]

 

Rasulullah SAW merupakan pendidik umat yang diutus oleh Allah SWT untuk membimbing manusia keluar daripada kegelapan jahiliah menuju cahaya Islam. Baginda SAW membentuk kefahaman dan sahsiah para sahabat RA dan sahabiyah RA berasaskan wahyu Allah SWT sehingga mereka tunduk kepada syariat.

 

Apabila membicarakan tentang para sahabiyah, kita bukan sekadar mengenang sejarah kehidupan mereka, malah menelusuri bagaimana Rasulullah SAW mendidik mereka sehingga lahir Muslimah yang menjadikan redha Allah SWT sebagai matlamat kehidupan. Artikel ini memaparkan tiga contoh sahabiyah daripada ramai lagi Muslimah generasi awal Islam yang berbeza dari sudut umur, latar belakang dan peranan, namun disatukan oleh akidah yang kukuh, ilmu yang benar, akhlak yang mulia serta kesediaan berkorban demi agama Allah.

 

Saidatina Khadijah RA: Keimanan yang Melahirkan Pengorbanan

 

Saidatina Khadijah RA merupakan insan pertama yang beriman kepada kerasulan Muhammad SAW. Ketika Rasulullah SAW menerima wahyu pertama di Gua Hira’ dan pulang dalam keadaan gementar, Khadijah RA tidak sedikit pun meragui kebenaran yang dibawa oleh Baginda. Sebaliknya, beliau menenangkan Rasulullah SAW dengan menyebut sifat-sifat mulia Baginda serta membawa Baginda bertemu Waraqah bin Nawfal untuk mendapatkan penjelasan tentang peristiwa tersebut.

 

Keimanan Khadijah RA bukan sekadar pengakuan dengan lisan, malah diterjemahkan melalui pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Beliau menyerahkan seluruh harta dan kehidupannya bagi menyokong dakwah Rasulullah SAW. Ketika kaum Quraisy memulaukan Rasulullah SAW dan Bani Hasyim di Syi’b Abu Talib, Khadijah RA tetap bersama Baginda menghadapi kelaparan dan kesusahan sehingga kesihatannya merosot.

 

Daripada didikan Rasulullah SAW, Khadijah RA memahami bahawa kemuliaan seorang Muslimah bukan terletak pada kedudukan atau kekayaan, tetapi pada kesediaannya mengorbankan segala yang dimiliki demi memperoleh keredhaan Allah SWT. Beliau menjadi contoh bahawa seorang isteri yang solehah mampu menjadi peneguh hati suami dalam memikul amanah dakwah.

 

Saidatina Aisyah RA: Ilmu yang Memelihara Syariat

 

Jika Khadijah RA menjadi lambang pengorbanan, maka Saidatina Aisyah RA menjadi lambang kecintaan terhadap ilmu. Rasulullah SAW mendidik beliau secara langsung sehingga menjadi antara wanita yang paling faqih dalam kalangan umat Islam. Setiap perkataan, perbuatan dan keputusan Rasulullah SAW menjadi medan pembelajaran bagi beliau.

 

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, Aisyah RA menjadi rujukan utama para sahabat dalam pelbagai persoalan syariah. Menurut sebahagian ulama, beliau meriwayatkan lebih 2,000 hadis dan menjadi antara tokoh yang memainkan peranan penting dalam memelihara sunnah Rasulullah SAW daripada hilang ditelan zaman.

 

Didikan yang diterima oleh Aisyah RA menunjukkan bahawa Islam mengangkat kedudukan wanita sebagai penuntut dan penyampai ilmu. Ilmu syarie merupakan asas kepada pembentukan sahsiah Islamiah kerana dengannya seseorang mampu membezakan antara yang hak dan yang batil. Muslimah pada hari ini sewajarnya mencontohi kesungguhan Aisyah RA dalam mendalami ilmu agar setiap amal dan keputusan sentiasa berpandukan al-Quran dan al-Sunnah, sebagaimana disebut dalam sebuah hadis: “Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap Muslim.” [HR Ibn Majah]

 

Asma’ binti Abu Bakar RA: Amanah dan Keteguhan Jiwa

 

Asma’ binti Abu Bakar RA, yang turut dikenali dengan gelaran Zat al-Nitaqain (pemilik dua tali pinggang) sempena jasanya membekalkan makanan semasa peristiwa hijrah, merupakan antara Muslimah yang dibentuk oleh Rasulullah SAW dengan sifat amanah, keberanian dan tawakal kepada Allah SWT. Ketika peristiwa hijrah ke Madinah, beliau memainkan peranan penting menghantar bekalan makanan kepada Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA yang bersembunyi di Gua Thur. Keberanian beliau turut terserlah apabila Abu Jahal datang mencari Rasulullah SAW dan menampar wajahnya kerana enggan mendedahkan lokasi Baginda. Namun, Asma’ RA tetap teguh mempertahankan amanah yang dipikul.

 

Firman Allah SWT:

وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥٓ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَٰلِغُ أَمْرِهِۦ ۚ

“Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah tetap melaksanakan urusan-Nya.” [TMQ Al-Talaq (65): 3]

 

Asma’ RA mengajarkan bahawa didikan Rasulullah SAW melahirkan Muslimah yang bukan sahaja taat dalam ibadah, malah memiliki kekuatan jiwa untuk memikul amanah dan mempertahankan kebenaran.

 

Didikan Rasulullah SAW Melahirkan Muslimah Sepanjang Zaman

 

Ketiga-tiga sahabiyah ini memperlihatkan bahawa didikan Rasulullah SAW membentuk setiap individu mengikut potensi yang dikurniakan Allah SWT. Khadijah RA menyerlah dengan pengorbanannya, Aisyah RA dengan ilmunya, manakala Asma’ RA dengan amanah dan ketabahannya. Walaupun berbeza peranan, mereka berkongsi asas yang sama, iaitu akidah yang sahih, ketaatan kepada syariat, kecintaan kepada Rasulullah SAW dan keikhlasan mencari mardhatillah.

 

Muslimah hari ini berdepan pelbagai cabaran yang berbeza daripada zaman para sahabiyah. Namun, keperluan kepada didikan yang berasaskan al-Quran dan al-Sunnah tetap tidak berubah. Selagi seorang Muslimah menjadikan Rasulullah SAW sebagai qudwah hasanah, beriltizam dengan syariat Allah SWT dan sentiasa bermujahadah memperbaiki diri, maka jalan untuk melahirkan generasi Muslimah yang bertakwa akan sentiasa terbuka.

 

Wallahu’alam.

 

#srikanditeladan #sahabiyah #pendidikan

 

 

Exit mobile version