Site icon MuslimahHTM News

Fitnah Wanita

Fitnah Wanita

 

Oleh: Ustaz Arief B. Iskandar

 

Allah SWT menciptakan manusia dengan membawa naluri dan syahwat. Di antara syahwat terbesar yang ada dalam diri lelaki adalah ketertarikan terhadap wanita [QS Ali Imran (3): 14]. Kerana itu Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah aku tinggalkan sepeninggalku fitnah yang lebih berbahaya bagi lelaki daripada fitnah wanita.” (HR al-Bukhari dan Muslim).

 

Islam tidak menutup mata terhadap kenyataan ini. Islam tidak mengingkari adanya syahwat. Akan tetapi, Islam mengatur, mengarahkan dan menjaga syahwat agar tidak berubah menjadi fitnah yang menghancurkan agama, akhlak dan kemuliaan seorang hamba.

 

Fitnah wanita bukan hanya menimpa orang awam. Banyak ahli ibadah, ahli ilmu bahkan orang-orang yang sebelumnya dikenal soleh akhirnya tergelincir. Mereka tidak mampu menjaga pandangan, hati dan syahwatnya. Imam Ibnul Jauzi rahimahulLâh berkata, “Betapa banyak ahli ibadah yang dirosakkan oleh wanita.” (Ibnu al-Jauzi, Talbiis Ibliis, hlm. 290).

 

Oleh sebab itu para ulama salafus-soleh sangat tegas dalam menjaga diri daripada fitnah syahwat. Mereka memahami bahawa hati manusia itu lemah. Mereka takut terhadap diri mereka sendiri. Mereka tidak merasa aman daripada makar syaitan. Kerana itu para ulama salafus-soleh tidak bermain-main dengan fitnah syahwat.

 

Diriwayatkan bahawa Ahmad bin Hanbal sangat menjaga pandangannya. Bahkan beliau tidak suka berjalan di tempat-tempat yang di situ terdapat banyak kaum wanita. Imam al-Marrudzi berkata, Abu Abdillah (Imam Ahmad) sangat menjaga pandangannya.” (Ibnu al-Jauzi, Manâqib al-Imâm Ahmad, hlm. 221).

 

Imam Ahmad dan umumnya para ulama salafus-soleh sangat memahami bahawa pandangan adalah panah beracun daripada panah-panah iblis. Demikian sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Pandangan adalah panah beracun daripada panah-panah iblis.” (HR al-Hakim, Al-Mustadrak, 4/349).

 

Kerana itulah Allah SWT memerintahkan kita untuk menjaga pandangan [QS an-Nur (24): 30]. Pandangan yang dibiarkan liar akan melahirkan khayalan. Khayalan melahirkan syahwat. Syahwat melahirkan keinginan. Keinginan melahirkan dosa. Dosa akhirnya menghancurkan hati dan agama.

 

Kisah yang sangat masyhur adalah kisah Muhammad bin Idris asy-Syafii ketika dia mengadukan buruknya hafalan kepada gurunya, Imam Waki’. Dia berkata, “Aku pernah mengadukan kepada Waki’ tentang buruknya hafalanku. Kemudian dia membimbingku agar meninggalkan maksiat. Beliau memberitahuku bahawa ilmu itu cahaya. Cahaya Allah tidak diberikan kepada pelaku maksiat.” (Al-Baihaqi, Manâqib asy-Syâfii, 2/253).

 

Para ulama menjelaskan bahawa di antara sebab lemahnya hafalan Imam Syafie saat itu adalah kerana dia tanpa sengaja melihat betis seorang wanita.

 

Lihatlah betapa sensitif hati para ulama salaf. Pandangan yang menurut banyak orang hari ini dianggap “biasa” justeru membuatkan mereka gelisah, takut dan segera bertaubat.

 

Hari ini manusia justeru menikmati maksiat melalui skrin telefon di genggaman tangannya. Gambar-gambar aurat dilihat siang-malam. Video-video maksiat ditonton tanpa rasa malu. Lalu hati mengeras. Air mata mengering. Solat kehilangan kekhusyukan. Al-Quran terasa hambar. Doa terasa berat menembus langit.

 

Kerana itu Sufyan ats-Tsauri pernah berkata, “Aku tidak pernah menghadapi sesuatu yang lebih berat daripada melawan diriku sendiri.” (Al-Ashbahani, Hilyah al-Awliyâ’, 7/62).

 

Beliau juga sangat takut terhadap fitnah wanita. Bahkan disebutkan bahawa beliau pernah segera berpaling arah ketika melihat seorang wanita yang lalu di hadapannya. Mengapa? Kerana beliau mengenali penyakit hati. Beliau tahu bahawa syaitan tidak pernah tidur.

 

Inilah benteng terbesar seorang Mukmin: rasa takut kepada Allah. Inilah yang melahirkan sikap murâqabah kepada Allah SWT. Bukan kamera CCTV. Bukan pengawasan manusia. Bukan imej.

 

Diriwayatkan bahawa Rabi bin Khutsaim rahimahulLâh pernah melalui jalan yang di sana terdapat para wanita. Beliau menundukkan pandangan dengan sangat kuat sehingga orang menyangka bahawa beliau buta. Beliau takut pandangannya mengkhianati hatinya (Adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubalâ’, 4/259).

 

Hari ini jusetru banyak manusia sengaja mencari tempat-tempat fitnah. Sengaja membuka pintu-pintu syahwat. Sengaja menikmati ikhtilâth tanpa keperluan. Sengaja bergurau dengan lawan jenis tanpa batasan. Bahkan sebahagian orang menganggap semua itu sebagai “kemajuan”, “pergaulan moden” atau “kedewasaan”.

 

Sedangkan hati manusia tidak diciptakan daripada besi. Imam Hasan al-Bashri berkata, “Kemuliaan seseorang akan terus hilang ketika dia mulai menganggap biasa perihal memandang wanita.” (Ahmad, Az-Zuhd, hlm. 104).

 

Generasi salafus-soleh bukan malaikat. Mereka manusia biasa. Akan tetapi, mereka sangat mengenali jalan-jalan syaitan. Mereka tidak merasa selesa dengan ilmu mereka. Mereka selalu takut jika syahwat merosakkan seluruh amal mereka.

 

Hari ini fitnah wanita jauh lebih dahsyat dibandingkan dengan masa lalu. Dulu orang perlu keluar rumah untuk melihat aurat. Sekarang aurat masuk ke dalam bilik-bilik kita melalui layar telefon. Dulu orang perlu mendatangi tempat maksiat. Sekarang tempat maksiat masuk ke dalam genggaman tangan kita. Dulu syaitan membisikkan maksiat secara perlahan. Sekarang syaitan bekerja melalui algoritma.

 

Oleh sebab itu benteng keimanan perlu diperkuatkan. Menjaga pandangan bukan lagi sunnah tambahan. Ia telah menjadi keperluan mendesak untuk menyelamatkan hati. Imam Ibnul Mubarak rahimahulLâh berkata, “Betapa banyak satu pandangan menanamkan syahwat dalam hati pemiliknya.” (Ibnul Jauzi, Shifat ash-Shafwah, 3/307).

 

Alhasil, jangan remehkan dosa pandangan. Jangan anggap ringan khalwat. Jangan biasakan bergurau dengan lawan jenis. Jangan merasa aman daripada fitnah syahwat. Satu pandangan haram boleh menjadi awal kehancuran panjang.

 

Betapa banyak rumah tangga hancur kerana chat haram. Betapa banyak aktivis dakwah jatuh kerana zina. Betapa banyak penuntut ilmu rosak kerana syahwat tersembunyi. Betapa banyak ahli ibadah kehilangan kemuliaannya kerana gagal menjaga mata dan hati.

 

Disebabkanlah itu para ulama zaman dulu lebih takut terhadap syahwat tersembunyi daripada musuh yang terlihat. Mereka menjaga hati mereka sebagaimana seseorang menjaga mahkotanya yang sangat berharga.

 

Wa mâ tawfîqî illâ bilLâh.

 

#jagapandangan #syahwat #muslimideal #jauhimaksiat #fitnah

 

 

Exit mobile version