Kepimpinan Rasulullah Membolehkan Syariat Diterapkan dan Dakwah Dilaksanakan dengan Lebih Mantap
Oleh: Aliya Ab Aziz
Aktivis Muslimah, Syafinaz Safar menegaskan bahawa kepimpinan Rasulullah SAW membolehkan syariat Islam diterapkan serta dakwah dilaksanakan dengan lebih mantap setelah baginda memperoleh kekuasaan.
“Kenapa saya fokuskan kepada kepimpinan sebab baginda sebagai pemimpin. Disebabkan baginda sebagai pemimpinlah baginda dapat menerapkan syariat Islam dan disebabkan kepimpinan bagindalah, baginda dapat berdakwah dengan lebih mantap. Sebab apa? Baginda dah dapat kekuasaan. Bila Islam ni dapat kekuasaan dalam kepimpinan negara, maka syariah Islam tu dapat diterapkan,” katanya dalam program dalam talian Open Circle Muslimah bertajuk Maulidur Rasul Bukan Sekadar Selawat pada Sabtu, 22 Ogos 2026.
Beliau menegaskan bahawa kepimpinan Rasulullah SAW berasaskan akidah dan syariah Islam dengan tujuan menegakkan hukum Allah serta menyebarkan syiar Islam.
“Kepimpinan baginda Sallallahu Alaihi Wasallam berdasarkan akidah dan syariah Islam seratus peratus, tidak lain hanyalah untuk menegakkan hukum Allah dan menyebarkan syiar Islam ke seluruh penjuru dunia,” katanya.
Syafinaz turut mengetengahkan keadilan sebagai antara ciri utama kepimpinan Rasulullah SAW apabila hukum diterapkan tanpa layanan istimewa, termasuk terhadap ahli keluarga baginda sendiri.
“Baginda mempraktikkan hukum secara adil, tidak ada keistimewaan hukum atau layanan yang berbeza walaupun terhadap ahli keluarga sendiri,” ujarnya.
Beliau menguatkan perkara itu dengan merujuk pendirian Rasulullah SAW dalam kes seorang wanita daripada Bani Makhzum yang mencuri, apabila baginda menolak perbezaan layanan berdasarkan kedudukan seseorang.
“Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya,” katanya memetik sabda Rasulullah SAW.
Menurut Syafinaz, kepimpinan Rasulullah SAW turut memberi perhatian kepada kepentingan, keamanan dan keselamatan umat, termasuk dalam urusan kehidupan seharian.
Jelasnya, “Kenapa Rasulullah yang terbaik? Sebab Rasulullah sebagai pemimpin menjaga keamanan dan keselamatan. Baginda memastikan keamanan umat, misalnya, agar tidak menjadi pelanggaran seperti penipuan dalam perniagaan, masalah lain dan jenayah lain. Baginda memang melayani kepentingan umat sebaiknya.”
Beliau seterusnya menyeru umat Islam, khususnya para pemimpin masa kini, supaya menjadikan kepimpinan Rasulullah SAW sebagai contoh dalam mengurus negara dan masyarakat.
Komennya, “Negara Islam pada waktu ni ada dalam lebih 50 buah negara tapi semuanya tak bersatu. Ada sebahagiannya yang boleh berkawan Yahudi, Zionis. Sebab apa? Tak ada ketakwaan. Apatah lagi nak menerapkan syariat Islam.”
Sehubungan dengan itu, Syafinaz turut berpesan bahawa sebagai seorang Muslim yang sudah mengetahui tentang hal ini, maka menjadi kewajipan bagi umat untuk memperjuangkan semula (kepimpinan Islam) bersama dengan jemaah menginginkan Islam kembali tinggi.
Beliau akhirnya memperingatkan umat agar tidak sekadar mengenang Nabi ketika sambutan Maulidur Rasul, tetapi turut menjadikannya sebagai momentum untuk merealisasikan sunnah terbesar Nabi SAW.
“Sambutan Maulidur Rasul seharusnya tidak hanya terbatas kepada rasa syukur dalam mengingati kelahiran serta kehebatan baginda semata-mata, tetapi lebih lagi memahami dan mempraktikkan sunah terbesar baginda,” tegasnya.
#MuhasabahMaulidurRasul #Kepimpinannabi #SunnahNabi #CintaRasul

