Site icon MuslimahHTM News

Rasulullah Seru Umat Membebaskan Diri daripada Penghambaan Sesama Manusia

Rasulullah Seru Umat Membebaskan Diri daripada Penghambaan Sesama Manusia

Oleh: Aliya

Aktivis Muslimah Malaysia, Farisha Aris berkata Rasulullah SAW menyeru manusia membebaskan diri daripada penghambaan sesama manusia dengan mengabdikan diri kepada Allah serta melepaskan diri daripada penguasaan manusia.

“Aku menyuruh kalian untuk menghambakan diri kepada Allah dan meninggalkan penghambaan kepada sesama hamba, yakni manusia. Aku pun menyuruh kalian agar berada dalam kekuasaan Allah dan melepaskan diri dari penguasaan oleh sesama hamba atau manusia,” ujarnya dalam program dalam talian Open Circle Muslimah bertajuk Ayuh! Merdekakan Diri dengan Islam Kaffah pada 29/8/2026 (Sabtu), membacakan seruan Rasulullah SAW dalam sebuah surat kepada penduduk Najran.

Dalam menjelaskan bagaimana Islam memerdekakan umat, Farisha menyebut ada empat cara Islam memerdekakan manusia:

Pertama, Islam membebaskan manusia daripada menjadikan kehidupan dunia sebagai matlamat utama dan mengarahkan pandangan mereka kepada kehidupan akhirat yang kekal.

“Bukan makna kata dunia sempit, tapi maksudnya dunia ni kita tahu hanya perhiasan, hanya tipu daya. Tapi itu yang didambakan ataupun yang dikejar-kejar oleh umat hari ni, padahal tempat kekal abadi kita adalah akhirat,” jelasnya.

Kedua, Islam memerdekakan manusia dengan mengeluarkan mereka daripada kezaliman kepada keadilan.

“Itu yang boleh dikatakan sebagai merdeka. Kezaliman dapat dihilangkan dengan keadilan, zalim ni lawannya adalah adil,”ujarnya.

Farisha seterusnya menyebut cara ketiga adalah dengan membawa manusia keluar daripada jahiliah sebagaimana berlaku pada fasa awal dakwah Rasulullah SAW di Mekah.

Dia berkata, “Datangnya Islam untuk membawa cahaya, untuk mengeluarkan mereka daripada kejahilan tu kepada Islam, kepada cahaya, daripada menyembah berhala kepada menyembah Allah.”

Cara keempat adalah dengan membebaskan manusia daripada penyembahan dan penghambaan kepada sesama makhluk menuju penyembahan kepada Allah.

“Merdeka tu mesti keluar daripada penyembahan. Bukan hanya menyembah sesama manusia, sesama makhluk. Menyembah ni, maksudnya sanggup menjadi hamba kepada kekayaan, kemewahan, harta benda. Itu [semua] ada juga yang berlaku kan?” terangnya.

Menurutnya, seseorang yang masih terikat dan diperhambakan oleh perkara-perkara tersebut sebenarnya belum mencapai kemerdekaan sebagaimana yang dimaksudkan dalam Islam.

Beliau turut memberikan gambaran penting misi Islam memerdekakan manusia melalui kisah seorang utusan yang dihantar menemui panglima Parsi, Rustum.

“Allah telah mendatangkan kami agar kami mengeluarkan siapa saja daripada penghambaan kepada hamba manusia menuju penghambaan hanya kepada Allah, daripada kesempitan dunia menuju kelapangannya, daripada kezaliman agama-agama selain Islam menuju keadilan Islam,” ungkapnya memetik dialog mashyur Panglima Rabi’ bin Amir.

Katanya lagi, inti pengabdian seorang Muslim ialah ketundukan, ketaatan dan kepatuhan yang ditujukan hanya kepada Allah, bukan kepada sesama manusia atau makhluk. Ini kerana manusia diciptakan di dunia ada tugas dan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah.

Beliau juga menegaskan bahawa kemerdekaan melalui Islam juga menuntut ajaran Islam diambil secara menyeluruh dan sempurna, bukan hanya pada bahagian yang mudah untuk dilaksanakan.

“Selagi kita tidak mengambil Islam secara keseluruhan, pilih-pilih sahaja, mana yang senang ambil, mana yang susah tak nak buat, tinggalkan, memang kita sentiasa dibelenggu oleh kongkongan Barat,” katanya.

Oleh itu, pengambilan Islam secara kaffah menurutnya, adalah bentuk pengabdian kepada Allah dan menjadi syarat untuk umat benar-benar memperoleh kemerdekaan.

“Kemerdekaan hakiki menurut Islam adalah mengabdikan diri secara keseluruhan kepada Allah dengan menjalani kehidupan yang diatur oleh hukum Islam secara kaffah, maksud mengambil Islam secara keseluruhan, bukan ambil sikit buang banyak, ambil sebahagian tinggal sebahagian,” tegasnya.


#merdeka #muhasabahmerdeka #merdekadenganislam

Exit mobile version