Generasi Muslim Mesti Mempunyai Kesedaran Politik Islam
Oleh: Ustazah Iffah Ainur Rochmah
Pengantar Redaksi:
Di tengah derasnya arus digital, generasi muda Islam sedang berhadapan dengan cabaran yang besar: pola fikir dan tingkah laku mereka dipengaruhi oleh algoritma kapitalis. Dalam wawancara bersama Wartawan Jemputan Al-Wa’ie, Ragil Rahayu, Aktivis Dakwah Indonesia, Ustazah Iffah Ainur Rochmah menegaskan bahawa generasi Muslim mesti mempunyai kesedaran politik Islam. Tujuannya ialah agar potensi yang mereka miliki dapat diarahkan untuk membentuk keperibadian Islam dan menjadi pengemban risalah Islam. Peranan ibu, keluarga dan seluruh komponen umat amat penting dalam memastikan kesinambungan pendidikan dan nilai-nilai Islam pada era digital. Berikut ialah wawancara lengkapnya.
Soalan: Ustazah, apakah cabaran dalam mendidik generasi muda pada era digital masa kini?
Banyak masalah baharu yang timbul akibat interaksi hebat generasi muda dengan dunia digital. Apa yang paling umum adalah ketagihan digital. Generasi muda menghabiskan masa terlalu lama di alam maya dan semakin kurang interaksi sosial di alam nyata, bahkan dengan keluarga sendiri. Juga terdapat lambakan maklumat (information overload) yang membawa kepada masalah kesihatan mental, kegelisahan (anxiety) sehingga bunuh diri. Begitu juga dengan buli siber (cyberbullying) dan jenayah siber (cybercrime).
Soalan: Apakah yang menyebabkan keadaan ini berlaku?
Platform digital dengan segala aturan mainnya pada hari ini hadir sebagai satu pakej bersama hegemoni kapitalisme. Pengendalinya ialah syarikat-syarikat korporat digital gergasi yang hanya berorientasikan keuntungan. Mereka tidak peduli terhadap kesan kerosakan kepada generasi.
Melalui enjin algoritma versi mereka, manusia didorong untuk menghabiskan banyak masa dan semakin sukar dipisahkan daripada dunia digital. Tanpa disedari, pola yang dibentuk serta kandungan yang dipaparkan secara berterusan menyerapkan nilai dan teladan tingkah laku sekular, kapitalistik, bahkan liberal. Sebaliknya, kandungan yang membincangkan Islam kâffah, Islam politik, khilafah, jihad dan seumpamanya pula sangat dibatasi, dikriminalisasi, malah dipadamkan.
Soalan: Bagaimana seharusnya ibu bapa, khususnya para ibu, menghadapi cabaran pengasuhan ini?
Hegemoni gergasi digital hanya dapat dihentikan sekiranya ada kekuatan negara yang mandiri dan bersedia membangunkan infrastruktur digital yang mampu menandingi kuasa-kuasa besar dunia pada hari ini, iaitu AS. Negara yang sedemikian itu lahir daripada kekuatan politik Islam yang kita kenali sebagai Khilafah Islam.
Sebelum Khilafah Islam tertegak, generasi Muslim yang terlibat dalam dunia digital perlu memiliki kesedaran politik Islam. Mereka wajib memahami bahawa algoritma media sosial saat ini mengarahkan pola fikir dan tingkah laku mereka agar selaras dengan kepentingan kapitalis. Mereka juga perlu sedar bahawa Islam tidak dapat difahami secara utuh melalui dunia maya sahaja. Generasi muda memerlukan pembinaan keperibadian Islam melalui institusi keluarga dan jamaah dakwah Islam kâffah.
Soalan: Bagaimanakah teladan daripada Rasulullah SAW dalam membina para Sahabat sehingga melahirkan generasi pejuang Islam?
Pertama: Rasulullah SAW menanamkan kefahaman bahawa Islam ialah sebuah ideologi/mabda’. Kedua: Para sahabat dibina sebagai pengemban mabda’ Islam sehingga keperibadian Islam mereka menjadi kuat, berpengaruh dan mampu memimpin atau menjadi teladan kepada yang lain. Ketiga: Membangunkan kesedaran politik dalam diri mereka, iaitu mereka melihat setiap peristiwa dengan tujuan untuk memenangkan risalah Islam agar terwujud rahmatan lil ’alamin.
Soalan: Lantas, menurut ustazah, bagaimanakah peranan ibu dalam melahirkan pejuang Islam di tengah-tengah hegemoni digital ini?
Para ibu mempunyai peranan utama dan sangat penting. Jika ibu turut terpengaruh dengan standard media sosial tentang ukuran kejayaan dan kebahagiaan, mereka akan mendidik anak menjadi soleh berdasarkan ukuran seperti taat, menjaga ibadah harian, membaca al-Quran dan memiliki adab yang baik. Manakala kejayaan dunia pula diukur berdasarkan materialistik.
Keadaan ini tentunya tidak mendorong para ibu untuk membentuk anak-anak mereka sebagai pejuang Islam. Ibu menganggap anak itu adalah miliknya sehingga potensi anak diarahkan hanya untuk kepentingan diri dan keluarganya sahaja.
Sebaliknya, jika seorang ibu memahami bahawa anak-anaknya adalah amanah Allah, maka segala potensi yang ada hendaklah dioptimumkan untuk jalan Allah pada era digital. Seorang ibu akan berasa bangga apabila dapat mewakafkan anak-anaknya untuk menjadi sebahagian daripada proses perubahan ke arah tertegaknya Islam kâffah.
Ibu akan mendidik putera-puterinya agar bersedia menjadi duta Islam kâffah serta mendorong mereka terlibat dalam jamaah Islam ideologi. Di situlah, generasi pejuang Islam yang terbaik dibentuk dengan kesedaran politik Islam dan mengarahkan potensi mereka untuk menjadi tonggak dalam membina kekuatan politik Islam.
Soalan: Mampukah ibu bersendirian melindungi generasi muda daripada hegemoni digital pada hari ini?
Semua komponen umat wajib terlibat. Selain ibu (umm), turut diperlukan juga penglibatan para pendidik generasi (murabbiyat ajyal), iaitu para pembimbing golongan muda, guru-guru dan pensyarah, tokoh-tokoh umat, pengurus institusi pondok, sekolah serta kampus, malah sangat penting juga ialah penglibatan bapa. Hal ini kerana peranan seorang bapa tidak dapat digantikan oleh ibu. Jangan sampai generasi umat ini kehilangan fungsi bapa (fatherless) meskipun terdapat pelbagai beban kehidupan akibat sistem kapitalisme yang semakin menghimpit.
Jangan sampai komunikasi dan penyampaian risalah serta keteladanan tingkah laku daripada generasi terdahulu terputus dan tidak tersambung dengan generasi muda. Walaupun berbeza generasi, semuanya memikul amanah yang sama, iaitu amanah untuk mengembalikan kehidupan Islam melalui kembalinya sistem Khilafah. Dua generasi, satu amanah.
Sumber: al-Wa’ie
#generasi #KesedaranPolitik #eradigital
Generasi Muslim Mesti Mempunyai Kesedaran Politik Islam

