Site icon MuslimahHTM News

[NF155] Krisis Kelahiran: Sistem Yang Gagal Menyokong Keluarga

[NF155] Krisis Kelahiran: Sistem Yang Gagal Menyokong Keluarga

 

Oleh: Hamimah Karmidi

 

Mukaddimah

 

Malaysia kini sedang berhadapan dengan satu perubahan demografi yang semakin membimbangkan. Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa Jumlah Kadar Kesuburan (Total Fertility Rate, TFR) negara kekal pada paras hanya 1.6 anak bagi setiap wanita pada tahun 2024, jauh lebih rendah daripada kadar gantian penduduk iaitu 2.1 anak bagi setiap wanita.

 

Jumlah kelahiran hidup turut merosot daripada 455,761 kelahiran pada 2023 kepada 414,918 sahaja pada 2024. Malah, pada suku pertama 2025, angka kelahiran terus menurun sebanyak 11.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun bagi sebelumnya. Ini bukan sekadar turun naik biasa, tetapi isyarat bahawa struktur demografi negara sedang berubah dan perubahan ini membawa kesan besar kepada masa hadapan.

 

Kegagalan Sistem Menyukarkan Pembinaan Keluarga

 

Jika melihat masalah berkaitan kesuburan, persoalan ini tidak wajar dipandang sebagai statistik atau sekadar pilihan peribadi setiap pasangan dalam menentukan saiz keluarga. Sebagai seorang Muslim, persoalan zuriat mempunyai kedudukan yang lebih besar kerana anak adalah amanah dan anugerah daripada Allah SWT, manakala keluarga pula merupakan asas penting dalam pembentukan masyarakat dan generasi.

 

Namun, realiti kehidupan hari ini memang tidak mudah. Kos sara hidup yang kian meningkat, tuntutan kerja, kesukaran memiliki rumah, kos pendidikan serta keperluan membesarkan anak menyebabkan ramai pasangan terpaksa berfikir panjang sebelum berkahwin atau menambah zuriat. Akhirnya keadaan ini boleh membentuk tanggapan bahawa memiliki anak adalah satu beban yang perlu dielakkan atau diminimumkan.

 

Justeru, persoalan yang lebih mendasar ialah apakah punca sebenar kemerosotan kadar kesuburan ini dan sejauh mana sistem kehidupan yang diamalkan hari ini telah mempengaruhi pembentukan institusi keluarga?

 

Realitinya, ramai pasangan muda yang berhajat untuk berkahwin dan membesarkan anak terpaksa menangguhkan hasrat kerana beban hidup yang kian berat sedangkan pendapatan yang diperoleh tidak seiring dengan kenaikan harga barangan.

 

Sistem ekonomi kapitalis pula banyak meletakkan keuntungan dan produktiviti sebagai ukuran pembangunan. Manusia akhirnya lebih banyak dinilai berdasarkan sumbangan ekonomi, sedangkan mereka juga mempunyai fitrah untuk membina keluarga dengan tenang. Suami isteri terpaksa bekerja keras untuk menampung kehidupan sehingga masa dan tenaga untuk keluarga semakin berkurang.

 

Data turut menunjukkan purata usia ibu ketika melahirkan anak pertama meningkat daripada 28 tahun pada 2023 kepada 28.3 tahun pada 2024. Keadaan ini boleh dilihat sebagai antara gambaran bahawa semakin ramai pasangan menangguh untuk membina keluarga akibat tekanan kehidupan.

 

Selain itu, sebahagian masyarakat mula menilai anak dari sudut kos dan beban kewangan. Kos bersalin, penjagaan, pendidikan, kesihatan dan keperluan harian menyebabkan sebahagian pasangan berasa tidak bersedia untuk menambah zuriat, malah keluarga besar mula dilihat sebagai komitmen yang membebankan.

 

Pemikiran ini turut dipengaruhi budaya materialistik sehingga nilai keluarga semakin terpinggir. Apabila kejayaan diukur berdasarkan rumah, pendapatan dan taraf hidup, keluarga besar mudah dianggap mengurangkan kemampuan mencapai standard tersebut.

 

Oleh itu, masalah ini tidak akan selesai hanya dengan seruan agar rakyat mempunyai lebih ramai anak. Yang lebih utama ialah meneliti sistem kehidupan yang menjadikan urusan perkahwinan dan membesarkan anak semakin berat bagi generasi muda hari ini, sedangkan Islam telah menetapkan aturan yang menyokong pembentukan dan kelangsungan institusi keluarga.

 

Anak Adalah Amanah

 

Islam amat menganjurkan perkahwinan dan zuriat yang ramai kerana ia adalah fitrah yang mulia di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda, “Nikahilah wanita yang penyayang dan subur, kerana sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya umatku.[HR Abu Dawud dan Ahmad, dinilai hasan sahih].

 

Baginda SAW juga tidak mengaitkan perkahwinan dengan syarat kemewahan harta. Sebaliknya, baginda menganjurkan para pemuda yang berkemampuan untuk segera berkahwin sebagaimana sabda Baginda SAW, “Wahai para pemuda, sesiapa di antara kamu yang berkemampuan, hendaklah dia berkahwin…[HR Bukhari dan Muslim].

 

Ini menunjukkan bahawa Islam meletakkan kemudahan, bukan kesukaran, dalam urusan membina keluarga.

 

Lebih indah lagi, Allah SWT berfirman, “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.[TMQ an-Nur (24): 32].

 

Ayat ini menjadi penenang bahawa rezeki adalah dalam ketentuan Allah SWT. Namun, ia juga tidak bermakna kesukaran ekonomi harus dibiarkan tanpa penyelesaian. Sedangkan Islam membawa pandangan yang jauh berbeza terhadap zuriat. Allah SWT berfirman,

 

Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan. Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu.[TMQ al-Isra’(17): 31].

 

Firman Allah SWT ini mengingatkan bahawa kemiskinan tidak seharusnya menjadi alasan untuk memandang anak sebagai kesusahan. Rezeki berada di tangan Allah SWT, manakala anak adalah amanah yang perlu dijaga dan dididik dengan sebaiknya.

 

Negara Bertanggungjawab Melindungi Keluarga

 

Islam mengajar bahawa keluarga bukan sekadar unit kecil dalam rumah tangga, tetapi tunjang utama kepada masyarakat dan negara. Apabila keluarga kukuh, maka kukuhlah masyarakat. Apabila keluarga rapuh, maka terjejaslah pembentukan generasi. Allah SWT berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka.” [TMQ at-Tahrim(66): 6].

 

Allah SWT juga berfirman, “Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang sekiranya meninggalkan di belakang mereka keturunan yang lemah, yang mereka bimbang terhadap kesejahteraannya.” [TMQ an-Nisa’(4): 9].

 

Namun, tanggungjawab ini tidak diletakkan semata-mata di atas bahu ibu bapa. Rasulullah SAW bersabda,

 

Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Imam (pemerintah) adalah pemimpin ke atas manusia dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya.[HR Bukhari].

 

Hadis ini menunjukkan bahawa pemerintah juga mempunyai amanah terhadap rakyat. Kehidupan keluarga memerlukan rasa aman, makanan yang mencukupi, kesihatan, pendidikan dan keperluan asas yang terjamin. Apabila semua perkara ini dipenuhi, pasangan lebih mampu membina keluarga dengan tenang.

 

Justeru, negara perlu memainkan peranan dalam menerapkan sistem ekonomi Islam yang menyediakan peluang pekerjaan bagi kaum lelaki. Selain itu, negara perlu menyediakan perkhidmatan kesihatan percuma bagi rawatan ibu dan anak-anak. Keperluan pendidikan anak-anak juga wajib dijamin oleh negara dengan menerapkan sistem pendidikan Islam yang disediakan secara percuma dan berkualiti secara adil tanpa mengenal status ekonomi keluarga.

 

Khatimah

 

Suami dan isteri tidak boleh dibiarkan berjuang sendirian untuk melahirkan zuriat demi menambah tahap kelahiran semata-mata. Anak yang lahir bukan sekadar cahaya mata, tetapi amanah Allah yang perlu dijaga bersama oleh ibu bapa, masyarakat dan pemerintah. Apabila ketiga-tiga pihak menjalankan tanggungjawab masing-masing dan saling bekerjasama, maka generasi anak-anak dapat dibesarkan dalam kehidupan yang baik dan sejahtera. Wallahualam.

 

Rujukan:

  1. https://www.mkn.gov.my/web/ms/2025/11/06/trend-demografi-malaysia-kadar-kelahiran-menurun-penduduk-menua-semakin-ketara/
  2. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/10/1276428/kadar-kelahiran-malaysia-merosot-mendadak
  3. https://malaysiagazette.com/2025/11/20/bilangan-perkahwinan-perceraian-di-malaysia-meningkat/
  4. https://www.dosm.gov.my/uploads/release-content/file_20260319123633.pdf

 

#KeluargaMuslimIdeal #Generasi #KadarKelahiran

 

Exit mobile version