Site icon MuslimahHTM News

Hijrah dan Kewajipan Mendirikan Negara Islam!

Hijrah dan Kewajipan Mendirikan Negara Islam!

 

Oleh: Farid Wadjdi

 

Kita kembali memasuki tahun baru Hijrah. Perkara ini mengingatkan kita pada salah satu peristiwa terbesar dalam sejarah Islam, iaitu hijrah Rasulullah SAW dari Mekah menuju Yathrib (Al-Madinah Al-Munawwarah). Hijrah bukan sekadar perpindahan tempat. Hijrah adalah peristiwa yang mengubah arah sejarah umat manusia. Hijrah tidak dapat dipisahkan daripada penegakan Negara Islam di Madinah.

 

Hijrah Rasulullah SAW adalah perintah Allah SWT. Hijrah adalah awal fasa baru perjuangan dan buah perjuangan dakwah Rasulullah SAW. Baginda telah menjalani fasa dakwah yang panjang di Mekah. Baginda menghadapi pelbagai bentuk penolakan, gangguan, penyeksaan, bahkan usaha pembunuhan. Akan tetapi, baginda tetap sabar dan istiqamah dalam menyampaikan risalah Islam. Hijrah bukanlah pelarian dan bukan cerminan rasa takut. Hijrah adalah bentuk ketaatan pada perintah Allah serta langkah persiapan menuju fasa baru dalam perjuangan Islam. Oleh sebab itu, perintah Allah SWT, apa pun risikonya, tetap dilaksanakan, termasuk jika perlu menghadapi kematian.

 

Allah SWT memuliakan orang-orang yang berhijrah. Demikian sebagaimana firman-Nya (yang bermaksud): ”Orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, kemudian mereka terbunuh atau meninggal dunia, nescaya Allah akan memberi mereka rezeki yang baik. Sungguh, Allah adalah sebaik-baik Pemberi rezeki. Sungguh, Dia akan memasukkan mereka ke tempat masuk (syurga) yang mereka redhai. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun.” [TMQ al-Hajj (22): 58–59]

 

Hijrah bukan sekadar perpindahan dari Mekah ke Madinah. Hijrah adalah perpindahan daripada keadaan tertindas menuju kejayaan, daripada perpecahan suku menuju persatuan umat, daripada kegelapan jahiliah menuju cahaya Islam. Daripada peristiwa itulah bermulanya salah satu peradaban terbesar yang dikenal sejarah sebagai penegakan Negara Islam. Inilah negara yang kemudian menjelma menjadi negara kuasa besar dunia, Negara Khilafah.

 

Sayangnya, mendirikan Negara Islam yang merupakan pesanan politik penting daripada hijrah Rasulullah SAW sering dilupakan. Sedangkan hijrah Rasulullah SAW boleh disebut merupakan tonggak awal kewujudan sebuah negara. Hal ini ditegaskan Syeikh Wahbah az-Zuhaili dalam kitabnya, Al-Fiqh al-Islâmi wa Adillatuhu: “Hijrah Nabi SAW menuju Al-Madinah Al-Munawwarah (Yathrib) dan peristiwa sebelumnya, iaitu Baiat Aqabah Pertama dan Baiat Aqabah Kedua, merupakan asas dalam kelahiran atau pembentukan Negara Islam (Ad-Dawlah al-Islamiyyah), atau Darul Islam, menurut istilah yang ada di kalangan fuqaha.”

 

Keberadaan Negara Islam, sebagaimana yang didirikan Rasulullah SAW, sangat penting dan hukumnya wajib. Hal ini seperti yang disampaikan oleh Ibnu Khaldun dalam Al-Muqaddimah: “Sesungguhnya pengangkatan imam (ketua Negara Islam) itu wajib. Kewajipannya dalam syariah telah diketahui berdasarkan Ijmak Sahabat dan Tâbi‘în. Para Sahabat Rasulullah SAW, ketika baginda wafat, segera membaiat Abu Bakar RA dan menyerahkan urusan mereka kepada beliau. Begitu juga pada setiap masa setelah itu.”

 

Mengingat pentingnya kewajipan mengangkat khalifah (ketua Negara Khilafah), perkara ini bahkan lebih diutamakan berbanding menguburkan jenazah Rasulullah SAW. Hal ini sebagaimana yang disampaikan oleh Ibnu Hajar al-Haitami dalam Ash-Shawâ‘iq al-Muhriqah: “Ketahuilah pula bahawa para Sahabat RA telah bersepakat bahawa mengangkat imam (khalifah), setelah masa kenabian berakhir, adalah wajib. Bahkan mereka menjadikan hal itu sebagai kewajipan terpenting sehingga mereka sibuk mengurus hal itu sebelum pemakaman Rasulullah SAW.”

 

Kewajipan itu ditegaskan juga oleh Imam al-Haramain Al-Juwaini: “Telah terjadi ijmak atas kewajipan mengangkat seorang khalifah yang memerintah dan memutuskan perkara di antara manusia berdasarkan Islam.”

 

Senada dengan itu, Imam an-Nawawi berkata dalam Syarh Shahîh Muslim: “Para ulama telah berijmak bahawa kaum Muslim wajib mengangkat seorang khalifah.”

 

Apa tugas-tugas penting yang, mahu tidak mahu, mutlak memerlukan negara ditegaskan oleh Jamaluddin al-Ghaznawi dalam Ushûl ad-Dîn: “Kaum Muslim perlu memiliki seorang imam (khalifah) yang menguruskan kemaslahatan mereka, seperti menjalankan hukum-hukum mereka, menegakkan hudûd, mempersiapkan pasukan, mengambil zakat mereka dan menyalurkannya kepada yang berhak. Sebab, jika mereka tidak memiliki imam (khalifah), maka hal itu akan menyebabkan munculnya kerosakan di muka bumi.”

 

Singkatnya, dalam penuturan Imam Al-­Mawardi, Negara Islam atau Khilafah Islam itu diperlukan untuk menjaga agama dan mengatur urusan-urusan dunia kaum Muslim dan manusia berdasarkan Islam. Al-Mawardi berkata dalam Al-Ahkâm as-Sulthâniyyah: “Imamah (Khilafah) ditetapkan sebagai pengganti tugas kenabian dalam menjaga agama dan mengatur urusan dunia berdasarkan agama itu.”

 

Satu petikan daripada artikel karya pemikir Palestin Dr. Ghazi Taubah, yang berbicara tentang kewajipan mengembalikan Khilafah kepada realiti kehidupan, adalah penting untuk kita perhatikan. Di antara ucapannya, “Jelas bahawa keruntuhan Khilafah Uthmaniyah memiliki kesan yang menggoncang umat Islam dan menghasilkan kesan-kesan yang sangat buruk. Sikap yang dituntut oleh syariah yang diwajibkan Islam atas umat adalah kewajipan berjuang menegakkan negara (Khilafah), mengangkat imam (khalifah), dan menerapkan syariah.”

Alhasil, cukuplah petikan perkataan para ulama terkemuka itu menegaskan kepada kita pentingnya Khilafah ‘alâ Minhâj an-Nubuwwah bagi umat. Ini menegaskan kembali bahawa Khilafah adalah bahagian daripada syariah Islam dan menjadi keperluan umat saat ini. Oleh sebab itu, penting bagi umat ini untuk bersama-sama memperjuangkan penegakan Kembali Khilafah ‘alâ Minhâj an-Nubuwwah, tidak berdiam diri. Sebab, hal itu bermaksud melalaikan kewajipan yang agung yang dapat menjerumuskan seorang Muslim ke dalam dosa besar.

 

Pesanan penting tentang kewajipan menegakkan kembali Khilafah ‘alâ Minhâj an-Nubuwwah perlu kembali kita tegaskan. AlLâhu Akbar!

 

 

#Hijrah #TegakKhilafah #TegakDaulahIslam #DakwahIslamKaffah

 

 

Exit mobile version