Jerebu : Sistem Berteraskan Kapitalisme Sekular Punca Kerosakan
Aktivis Muslimah HTM, Syafinaz Safar berkata bahawa kerosakan hari ini berakar daripada penerapan sistem ekonomi kapitalis sekular yang mengutamakan pertumbuhan ekonomi dan keuntungan material berbanding keselamatan nyawa serta kelestarian alam.
“Saya sebut pasal kapitalis ya, kerosakan sistem ini berakar daripada penerapan sistem ekonomi kapitalis sekular yang mendewakan pertumbuhan ekonomi dan keuntungan material berbanding keselamatan nyawa serta kelestarian alam,” ujarnya ketika mengulas punca sebenar krisis jerebu dalam program atas talian Open Circle bertajuk Bernafas dalam Jerebu pada Sabtu (12/9/2026).
Masalah jerebu ini menurut Syafinaz, tidak memadai dilihat hanya daripada sudut pembakaran hutan, sebaliknya perlu dikaitkan dengan dasar liberalisasi pasaran dan pembukaan tanah secara komersial tanpa kawalan ketat yang menurutnya membuka ruang kepada pengaruh oligarki perniagaan dalam pentadbiran.
“Oligarki ni apa? Sekumpulan kecil individu yang berkuasa, menguasai, mentadbir sebuah negara, organisasi, biasanya daripada golongan orang kaya, elit politik atau ada kedudukan. Mereka ni adalah satu kumpulan kecil tapi mereka ni ada kuasa yang besar. Mereka boleh main kroni, boleh main kronisme dan sebagainya,” jelasnya.
Beliau berpandangan pengaruh pemilik modal menjadi lebih bermasalah apabila keuntungan dijadikan keutamaan sehingga kos untuk membersihkan atau mengurus tanah dengan kaedah yang lebih mampan dianggap membebankan, manakala rakyat akhirnya menanggung kesan pencemaran yang terhasil.
“Bagi syarikat-syarikat kapitalis ni, mereka menggunakan hutan untuk keuntungan dan manfaat. Mereka menjalankan aktiviti pembakaran terbuka bagi mengurangkan kos pembersihan ladang ataupun nak menanam semula. Mereka nak kurangkan kos,” katanya.
Syafinaz menegaskan penyelesaian yang bersifat teknikal sahaja tidak akan mencabut akar masalah selagi pertimbangan keuntungan terus mengatasi kepentingan masyarakat dan alam sekitar.
“Pihak berkuasa sewajarnya menggunakan kawalan yang cukup ketat melalui penguatkuasaan undang-undang dalam memastikan pembakaran terbuka tidak dijalankan, tapi apa yang berlaku sebaliknya pula, tak ada kawalan yang cukup ketat,” ujarnya.
Bagi penyelesaian hakiki, beliau mengetengahkan pendekatan Islam yang melarang sebarang perbuatan yang membawa kemudaratan kepada individu dan masyarakat.
“Islam telah menetapkan kaedah fiqh yang murni iaitu ‘la darar wa la dirar’, tak boleh memudaratkan dan tidak boleh menimbulkan kemudaratan, yang menuntut supaya sebarang aktiviti ekonomi yang merosakkan kehidupan awam dihentikan semua serta-merta,” katanya.
Dalam kerangka itu, Syafinaz berkata negara mesti bertindak sebagai penjaga kepentingan masyarakat dengan memastikan nyawa, harta dan alam sekitar dipelihara, bukan menjadi pemudah cara yang mengutamakan kepentingan segelintir elit ekonomi.
“Dalam Islam negara bertindak sebagai ra’in yang bertanggungjawab menjaga harta, nyawa, alam sekitar demi kemaslahatan rakyat, bukannya berfungsi sebagai fasilitator kepentingan elit kapitalis,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa hutan dan sumber alam utama tidak seharusnya dieksploitasi atau dimonopoli oleh korporat demi keuntungan sendiri, sebaliknya perlu diurus oleh negara untuk kepentingan masyarakat secara keseluruhan.
“Hutan dan sumber alam utama tergolong dalam pemilikan umum yang tak boleh dimiliki secara rakus atau dimonopoli oleh sesetengah korporat untuk dirosakkan demi keuntungan atau manfaat sendiri. Hutan dan sumber alam utama ni adalah milik umat, negara atau pemerintah hanya menjadi tukang urus sahaja,” jelasnya.
Pendekatan tersebut meletakkan tanggungjawab pemerintah, keadilan dan penjagaan alam sebagai asas, sekaligus bertentangan dengan sistem hari ini yang menurutnya mengukur kecekapan ekonomi berdasarkan keuntungan semata-mata.
“Sudah tiba masanya untuk umat manusia kembali kepada sistem Islam yang menyeluruh, yang menempatkan ketakwaan, keadilan dan pemeliharaan alam sebagai teras tertinggi dalam memelihara kesejahteraan umat demi kemaslahatan kita semua,” simpulnya. [] Aliya Ab Aziz
#Jerebu #KapitalismeMerosakkanKehidupan

