[Perjanjian Antarabangsa] Definisi Perjanjian, Dalil-Dalil Pensyariatannya dan Pelaksanaannya (Bahagian 3/5)
Penulis: Iyad Hilal
(Sambungan daripada “Definisi Perjanjian” Bahagian 2/5.)
Pelaksanaan undang-undang antarabangsa terhadap negara-negara di dunia memerlukan kekuatan. Pelaksanaan ini mustahil datang daripada kekuatan dan kekuasaan antarabangsa kerana hakikatnya idea dunia antarabangsa itu tidak wujud. Malah, idea ini merupakan suatu khayalan. Jika pelaksanaan itu datang daripada sekumpulan kecil negara-negara adidaya atau negara-negara besar, maka hal tersebut merupakan suatu bentuk permusuhan dan tidak dianggap sebagai pelaksanaan undang-undang antarabangsa.
Sekiranya salah sebuah negara kuasa besar melakukan pelanggaran terhadap undang-undang ini, negara-negara lain tidak mampu mengenakan sekatan terhadapnya. Apabila negara-negara besar itu berselisih sesama mereka, siapakah yang akan melaksanakan undang-undang tersebut ke atas negara-negara itu? Sudah tentu tidak ada sebuah negara pun. Inilah realiti yang berlaku pada masa kini. Pelaksanaan resolusi-resolusi PBB tidak akan dilakukan melainkan apabila Amerika memandang perkara itu selaras dengan kepentingannya. Sementara itu, negara-negara lain, antaranya Rusia, tidak dapat campur tangan untuk menghalang kehendak Amerika.
Amerika membungkus resolusi tersebut dengan imej antarabangsa untuk menutup sifat permusuhan dan campur tangannya. Hal ini seperti yang berlaku ketika Amerika campur tangan di Lubnan pada awal tahun 1980-an. Pada waktu itu, Amerika menghantar tenteranya atas nama pasukan multinasional, sedangkan pengaruh Amerika sangat ketara dalam pembentukan dan pengaturan pasukan-pasukan tersebut.
Berdasarkan hal ini, tidak boleh berhukum kepada undang-undang antarabangsa kerana idea asasnya adalah salah. Selain itu, hukum yang terkandung dalam undang-undang ini ialah hukum kufur, sedangkan syarak melarang kita berhukum dengannya. Tidak boleh berhukum kepada selain hukum Islam.
Adapun adat kebiasaan (‘urf) antarabangsa yang telah dikenali oleh banyak kelompok manusia sejak dahulu lagi, ia telah wujud sebelum adanya undang-undang antarabangsa. Antara adat kebiasaan antarabangsa tersebut ada yang bersifat umum, seperti larangan membunuh utusan dan duta. Ada juga yang bersifat khusus, seperti yang dikenali oleh orang-orang Arab, iaitu larangan menghalang seseorang daripada menziarahi Masjid al-Haram.
Adat-adat yang bersifat umum dan khusus ini memang wujud, tetapi ia tidak termasuk dalam undang-undang antarabangsa dan tidak ada larangan untuk berhukum dengannya.
Rasulullah SAW pernah menolak untuk membunuh dua orang utusan Musailamah al-Kazzab sambil bersabda kepada mereka: “Demi Allah, sekiranya bukan kerana para utusan tidak boleh dibunuh, nescaya aku akan memenggal leher kamu berdua.”
Hal ini menunjukkan keterikatan kepada adat kebiasaan antarabangsa yang berlaku pada ketika itu, iaitu larangan membunuh utusan, duta dan orang-orang yang seumpama mereka.
Demikian juga ketika Rasulullah SAW berhasrat pergi ke Makkah untuk menunaikan umrah, tetapi orang-orang Quraisy menghalang kaum Muslimin daripada memasuki kota Makkah untuk melaksanakan umrah. Rasulullah SAW menentang pandangan umum Quraisy apabila mereka melanggar kebiasaan yang berlaku, iaitu tidak boleh menghalang seseorang daripada menziarahi Masjid al-Haram.
Meskipun tidak dibenarkan berhukum kepada undang-undang antarabangsa, namun tidak ada larangan untuk mempelajari buku-bukunya dengan tujuan memahami realiti dan mengambil manfaat daripada aspek-aspek teknikal yang terkandung di dalamnya. Antaranya ialah kaedah penyusunan bab, pengaturan susunan dan pendefinisian pelbagai fakta.
Ini kerana perkara-perkara tersebut merupakan uslub (cara) yang boleh diambil, dengan syarat tidak bercanggah dengan mana-mana hukum syarak.
Dengan demikian, kami akan mempelajari definisi perjanjian menurut undang-undang antarabangsa kerana definisi ini berkaitan dengan penjelasan realiti perjanjian. Sebagaimana diketahui, kita tidak dapat mengetahui hukum syarak yang berkaitan dengan sesuatu fakta atau peristiwa tanpa terlebih dahulu menentukan dan mengkaji fakta tersebut, atau tahqiq al-manat menurut istilah para ulama usul.
Dalam hal ini, tidak menjadi masalah untuk mendapatkan bantuan daripada sesiapa sahaja dalam meneliti sesuatu realiti atau peristiwa, kemudian mengkaji realiti tersebut secara mendalam. Sebagaimana syarak membenarkan kita mengambil hasil analisis kimia terhadap bahan-bahan tertentu daripada para juruteknik atau pakar, sama ada Muslim mahupun bukan Muslim. Contohnya, untuk mengetahui komposisi kimianya, kandungan alkoholnya dan sebagainya.
Setelah itu, perbahasan hendaklah dibataskan kepada dalil-dalil syarak sahaja, bukan selainnya. Hal ini bertujuan untuk menjelaskan hukum syarak berkaitan penggunaan bahan tersebut. Oleh itu, kajian kita terhadap definisi-definisi perjanjian bertujuan untuk menetapkan suatu definisi tertentu bagi perjanjian supaya kita dapat mengkaji hukum syarak yang berkaitan dengannya.
Terdapat pelbagai definisi mengenai perjanjian dalam undang-undang antarabangsa. Antaranya, perjanjian ditakrifkan sebagai suatu kesepakatan atau perjanjian yang dimeterai oleh dua buah negara atau lebih sebagai sebahagian daripada undang-undang antarabangsa umum yang diatur oleh kaedah-kaedah undang-undang tersebut serta segala implikasinya.
Perjanjian juga ditakrifkan sebagai kesepakatan yang dimeterai oleh negara-negara dan bertujuan untuk mengatur hubungan rasmi yang telah ditetapkan serta menentukan kaedah-kaedah yang mengawal hubungan tersebut.
Ada juga yang mendefinisikan perjanjian sebagai kesepakatan yang berbentuk perjanjian antara negara-negara atau institusi-institusi pemerintahan sehingga mewujudkan hak-hak yang sah di sisi undang-undang dan mengikat setiap pihak yang terlibat. Perjanjian juga ditakrifkan sebagai suatu kesepakatan antarabangsa, tanpa mengira bentuk dan namanya, yang dibuat secara bertulis serta diatur oleh kaedah-kaedah undang-undang antarabangsa, dan dimeterai oleh dua buah negara atau oleh wakil-wakil undang-undang antarabangsa daripada negara-negara lain yang mempunyai kelayakan untuk menandatangani perjanjian.
Kesepakatan ini ditulis dalam satu atau beberapa dokumen yang saling berkaitan sehingga membentuk satu kesatuan.
Dengan meneliti definisi-definisi tersebut, jelaslah bahawa definisi yang tepat bagi perjanjian antarabangsa ialah suatu kesepakatan yang dibataskan dengan tempoh masa tertentu dan dimeterai oleh Negara Islam dengan negara lain, atau oleh jemaah-jemaah yang mempunyai kedudukan setara dengan negara. Tujuannya adalah untuk mengatur hubungan yang sah dan tertentu antara kedua-dua pihak dengan menetapkan kaedah-kaedah atau syarat-syarat yang mengatur hubungan tersebut.
Definisi ini mengandungi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Islam agar sesuatu perjanjian itu sah menurut syarak.
Sumber: Iyad Hilal, Perjanjian-Perjanjian Antarabangsa dalam Pandangan Islam.
Bersambung ke: “Definisi Perjanjian” Bahagian 4/5.
#PerjanjianAntarabangsa #DarulIslam #DarulKufur

