Site icon MuslimahHTM News

[Perjanjian Antarabangsa] Definisi Perjanjian, Dalil-Dalil Pensyariatannya dan Pelaksanaannya (Bahagian 5/5)

[Perjanjian Antarabangsa] Definisi Perjanjian, Dalil-Dalil Pensyariatannya dan Pelaksanaannya (Bahagian 5/5)

 

Penulis: Iyad Hilal

 

[Sambungan daripada “Definisi Perjanjian” Bahagian 4/5.]

 

Allah SWT berfirman: “Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada Hari Akhirat. Mereka tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya serta tidak berpegang kepada agama yang benar, iaitu daripada kalangan orang-orang yang diberikan al-Kitab, sehingga mereka membayar jizyah dengan patuh dalam keadaan tunduk.” [TMQ al-Tawbah: 29]

 

Ayat ini tidak memansukhkan firman Allah SWT: “Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka cenderunglah kepadanya.” [TMQ al-Anfal: 61]

 

Ini kerana ayat dalam Surah al-Tawbah berkaitan dengan peperangan, manakala ayat dalam Surah al-Anfal berkaitan dengan perdamaian dan penghentian peperangan. Oleh itu, setiap ayat berkaitan dengan keadaan yang berbeza, maka tidak terdapat pertentangan antara kedua-duanya.

 

Dengan demikian, tidak berlaku nasakh. Setiap keadaan tetap terikat dengan hukumnya yang tersendiri dan berbeza antara satu sama lain.

 

Demikian juga ayat: “Janganlah kamu menjadi lemah dan meminta perdamaian, sedangkan kamulah yang lebih unggul.” [TMQ Muhammad: 35]

 

Ayat ini juga tidak memansukhkan firman Allah SWT: “Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian…” (Surah al-Anfal: 61)

 

Ini kerana ayat pertama yang termasuk surah al-qital melarang kaum Muslimin daripada menjadi pihak yang terlebih dahulu meminta perdamaian ketika mereka berada dalam keadaan kuat, kerana tindakan tersebut menunjukkan kedudukan yang rendah dan hina.

Adapun ayat dalam Surah al-Anfal menunjukkan keharusan mengadakan perjanjian damai apabila orang-orang kafir yang memintanya. Oleh itu, tidak terdapat pertentangan antara kedua-dua ayat tersebut. Tindakan tersebut tidak membawa kepada kehinaan sebagaimana yang dimaksudkan oleh ayat yang pertama, kerana dalam keadaan ini orang-orang kafir yang meminta perdamaian tersebut.

 

  1. Sesungguhnya metod ijtihad Ibnu Hazm yang berpegang kepada zahir nas telah menghasilkan pandangan yang melarang perjanjian dengan orang-orang musyrik. Ini kerana ayat-ayat yang beliau gunakan sebagai dalil ialah ayat-ayat yang membatalkan perjanjian dan perdamaian dengan orang-orang musyrik. Maka bagaimana mungkin perjanjian diadakan dengan mereka?

 

Oleh itu, hukum yang benar ialah perjanjian-perjanjian adalah harus kerana ayat-ayat yang dikemukakan oleh Ibnu Hazm bukan ayat-ayat yang menasakhkan, memandangkan tidak terdapat pertentangan antara ayat-ayat tersebut. Semua ayat yang mengharuskan perjanjian menunjukkan bahawa urusan membuat keputusan mengenai perjanjian diserahkan kepada Imam atau Khalifah untuk memutuskannya berdasarkan kemaslahatan kaum Muslimin dan kepentingan dakwah Islam.

 

Sudah tentu dengan syarat bahawa perjanjian tersebut menjauhkan kaum Muslimin daripada kehinaan dan kerendahan. Di samping itu, perlu juga mengambil kira ayat-ayat lain yang berkaitan dengan keadaan selain perdamaian, seperti peperangan atau ayat-ayat yang melarang kaum Muslimin mengambil inisiatif untuk mengadakan perjanjian ketika mereka berada dalam keadaan kuat. Ini kerana tindakan sedemikian dianggap sebagai suatu bentuk kehinaan dan kerendahan.

 

Penjelasan yang benar ialah bahawa perjanjian merupakan sesuatu yang diharuskan oleh syarak.

 

Selain itu, penting untuk menyerahkan urusan sama ada hendak mengadakan perjanjian atau tidak kepada Khalifah. Khalifahlah yang menetapkan apa yang dianggapnya baik serta melaksanakan apa yang telah diputuskannya. Hal ini selagi perkara tersebut membawa kemaslahatan dan membuka peluang kepada kaum Muslimin untuk menyebarkan dakwah Islam tanpa perlu merendahkan diri atau bersikap hina, serta tanpa melanggar hukum-hukum Islam dalam syarat-syarat perjanjian.

 

Hal ini berkaitan dengan gencatan senjata (hudnah). Adapun perjanjian-perjanjian lain seperti perjanjian perdagangan dan perjanjian hubungan baik dengan negara jiran, setakat yang saya ketahui, perjanjian-perjanjian seperti ini tidak dibincangkan secara berasingan. Perbincangannya dilakukan bersama-sama dengan perbahasan mengenai perdagangan dengan Dar al-Harb dan hukum-hukum yang berkaitan dengan musta’min.

 

Sesungguhnya keharusan bagi setiap jenis perjanjian tersebut berbeza-beza mengikut jenis perjanjian dan bentuk hubungan yang ingin diwujudkan berdasarkan kesepakatan dan perjanjian tersebut.

 

Apabila hubungan tersebut dibolehkan menurut syarak, maka kesepakatan mengenainya juga dibolehkan. Namun, apabila hubungan tersebut tidak dibenarkan, maka perjanjian yang dibuat mengenainya adalah haram. Oleh itu, dalil syarak bagi sesuatu perjanjian tertentu ialah dalil yang mengharuskan hubungan yang diatur oleh perjanjian tersebut. Ini kerana apa yang dibolehkan untuk dilakukan, maka dibolehkan juga membuat kesepakatan mengenainya. Adapun apa yang tidak dibolehkan untuk dilakukan, maka tidak dibolehkan juga membuat kesepakatan mengenainya.

 

Ini dari satu sudut. Dari sudut yang lain, sesungguhnya dalil-dalil yang mengharuskan gencatan senjata merupakan dalil-dalil yang bersifat umum dan menunjukkan keharusan perjanjian secara umum. Perkataan mithaq digunakan dalam bentuk umum, sebagaimana firman Allah SWT: “(Tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan, kecuali terhadap suatu kaum yang antara kamu dan mereka terdapat perjanjian.” [TMQ al-Anfal: 72]

 

Ini kerana isim nakirah dalam susunan ayat berbentuk penafian membawa makna umum. Dalam ayat tersebut terdapat perkataan mithaq dalam bentuk nakirah yang berada dalam susunan ayat penafian, maka perkataan itu dianggap bersifat umum.

 

Selain itu, perjanjian yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW bukan semuanya merupakan perjanjian gencatan senjata (hudnah). Malah, Perjanjian Hudaibiyah merupakan perjanjian gencatan senjata. Namun, perjanjian dengan orang-orang Yahudi di Madinah bukanlah perjanjian gencatan senjata, sebaliknya merupakan perjanjian bertetangga baik.

 

Dengan demikian, syarak membolehkan Negara Islam mengadakan perjanjian-perjanjian lain selain perjanjian gencatan senjata, dengan syarat perjanjian tersebut memenuhi syarat-syarat sah sesuatu perjanjian yang akan dijelaskan kemudian.

 

Sumber: Iyad Hilal, Perjanjian-Perjanjian Antarabangsa dalam Pandangan Islam.

 

#PerjanjianAntarabangsa #Darulkufur #DarulIslam

 

 

Exit mobile version