Site icon MuslimahHTM News

Risywah (Rasuah) Haram dan Merosak Peradaban

Risywah (Rasuah) Haram dan Merosak Peradaban

 

Oleh: Tisna Asy-Syirbuni

 

Ironinya, di negara yang terkenal dengan populasi Muslim terbesar di dunia, rasuah telah menjadi amalan biasa dalam masyarakat.

 

Para ulama bersepakat bahawa risywah hukumnya haram. Imam Al-Qurtubi menegaskan ijmak ulama ini dalam tafsirnya:

 

وَلَا خِلَافَ بَيْنَ السَّلَفِ أَنَّ أَخْذَ الرِّشْوَةِ عَلَى إِبْطَالِ حَقٍّ أَوْ مَا لَا يَجُوزُ سُحْتٌ حَرَامٌ

“Tidak ada perbezaan pendapat di antara ulama salaf bahawa mengambil rasuah (risywah) untuk membatalkan suatu hak atau untuk sesuatu yang tidak diperbolehkan adalah harta yang diharamkan.” (Al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, [Kairo: Dar al-Kutub al-Mishriyyah, 1964], Juz 6, halaman 183)

 

Selain itu, Ibnu Hajar Al-Haitami juga menjelaskan bahawa rasuah atau risywah termasuk dalam kategori dosa besar, kerana terdapat ancaman keras dan laknat daripada Allah SWT bagi pelaku rasuah. (Az-Zawajir ‘An Iqtiraf Al-Kabair [Beirut: Darul Fikr, 1407 H/1987 M], Juz 2, halaman 312-313)

 

Keharaman risywah ini berdasarkan nas-nas dalam al-Quran dan hadis. Allah SWT berfirman:

وَلا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالإِثْمِ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

“Dan janganlah kamu memakan harta antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu memberi harta itu kepada para hakim dengan niat untuk mendapatkan sebahagian daripada harta orang lain dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahui.” [TMQ Al-Baqarah (2): 188]

 

Dari Abdullah bin `Amr, Rasulullah SAW bersabda:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ

“Rasulullah SAW melaknat orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah” (HR. At-Tirmidzi)

 

لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي

“Laknat Allah atas perasuah (ar-rasyi) dan penerima rasuah (al-murtasyi).” (HR. Ibnu Majah, Al-Hakim dan Ibnu Hibban)

 

الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي فِي النَّارِ

“Orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah tempatnya di neraka” (HR. Ath- Thabarani)

 

لَعَنَ اللهُ الرَّاشِيَ والمُرتَشيَ والرَّائِشَ الَّذي يَمْشي بيْنهُما

“Allah melaknat orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah serta melaknat ar raa’isy, iaitu orang yang menjadi perantara antara pemberi dan penerima rasuah” (HR. Al Hakim)

 

Namun disaat keadaan seorang Muslim memerlukan untuk mendapatkan hak atau untuk menolak kezaliman, terdapat ikhtilaf di antara para ulama hingga menjadi dua pendapat, iaitu:

 

Pendapat yang membolehkan rasuah (risywah) untuk mendapatkan hak atau untuk menolak kezaliman.

 

Pendapat yang menyatakan semua bentuk rasuah adalah haram (termasuk untuk mendapatkan hak atau untuk menolak kezaliman).

 

Pendapat pertama ini adalah pendapat jumhur ulama, iaitu membolehkan rasuah (risywah) untuk mendapatkan hak atau untuk menolak kezaliman. Pendapat ini adalah pendapat para ulama berbagai mazhab dari kalangan salaf (terdahulu) mahupun ulama khalaf (kontemporer). Di antaranya adalah pendapat Ibnu Hazm (Al Muhalla, Juz 8, halaman 118), Imam An-Nawawi (Raudhatu Ath-Thalibin wa Umdatu Al-Muftin, Juz 4, halaman 131), Imam As-Subki (Fatawa as-Subki, Juz 1, halaman 204), Imam Al Mawardi (Al-Hawi Al-Kabir, Juz 16, halaman 284), Syeikh Ibnu Taimiyah (Majmu’ Al Fatawa, Juz 29, halaman 252), hingga Syeikh Abdul Aziz bin Baz (Fatawa ad-Durus, no.154).

 

Namun perlu dicatat, jumhur ulama (pendapat pertama) bersepakat bahawa kebolehan rasuah (risywah) untuk mendapatkan hak atau untuk menolak kezaliman ini hanyalah berlaku bagi pemberi rasuah, adapun untuk yang menerima rasuah tetap haram dan berdosa. Sebagaimana dijelaskan dalam kitab Al Mausu’ah Al Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyah bahawa: “Haram hukumnya meminta, memberi, dan menerima rasuah, sebagaimana haram hukumnya menjadi perantara pemberi dan penerima rasuah. Hanya saja, menurut jumhur ulama, boleh bagi seseorang merasuah untuk mendapatkan hak atau untuk menolak kezaliman atau kemudharatan, dan dosanya dipikul oleh penerima rasuah, sedang pemberi rasuah tidak berdosa.” (Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyah, Juz 22, halaman 222).

 

Pendapat kedua memandang semua bentuk rasuah (risywah) adalah haram. Di antara ulama yang berpendapat risywah haram secara mutlak adalah Imam Asy-Syaukani dalam kitabnya Nail al-Authar dan Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani dalam kitab Asy-Syakhshiyah Al-Islamiyyah.

 

Imam Asy-Syaukani menyatakan: “Adapun mengkhususkan orang yang menuntut hak dengan membolehkan dirinya memberikan rasuah kepada hakim, saya tidak mengetahui apa dalil yang dapat mengkhususkan (keumuman tersebut). Maka pendapat yang benar adalah keharaman secara mutlak, berdasarkan keumuman hadis.” (Muhammad bin `Ali Asy-Syaukani, Nail al-Authar, Cet. Ke-1, [Kairo: Dar Ibnu Affan, 1426 H/2005 M], Juz 10, halaman 531)

 

Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani merinci hujahnya sebagai berikut: Semua nas-nas yang datang dalam pengharaman rasuah tidak menyebutkan ‘illat (alasan) atas pengharamannya. Dan tidak ada satu pun nas, baik di dalamnya mahupun di luar itu, yang boleh kita istinbath daripadanya sebuah ‘illat untuk pengharaman rasuah. Oleh sebab itu, pengharamannya adalah kerana adanya nas yang sharih tanpa disebutkan ‘illatnya, maka ia tidak memiliki ‘illat sama sekali.

 

Dan tidak boleh dikatakan: “Jika seorang hakim menunaikan hak dari pemiliknya dengan rasuah maka itu boleh, kerana dia mengambil harta untuk melakukan pekerjaan yang halal, iaitu menunaikan hak”. Hal itu tidak boleh dikatakan demikian, kerana nas-nas yang mengharamkan rasuah datang dalam bentuk umum, maka ia tetap di atas keumumannya mencakup semua jenis rasuah.

 

Jika ingin mentakhshish atau mengecualikan sebahagian jenis rasuah, maka perlu ada nas lain yang mentakhshishnya. Kerana suatu nas tidak boleh ditakhshish kecuali dengan nas dari Al-Quran atau Sunnah. Dan tidak ada nas yang datang, maka ia tetap umum tanpa pengecualian.

 

Adapun terkait hadis dari Abu Hurairah dia berkata:

لَعَنَ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ الراشِيَ والمرْتَشِيَ في الحكْمِ

“Rasulullah SAW telah melaknat perasuah (ar-râsyi) dan penerima rasuah (al-murtasyi) dalam pemerintahan.” (HR. Ahmad)

 

Hadis ini difahami sebagai muqayyad (dibatasi haramnya rasuah) dalam pemerintahan, sehingga dibawalah nas yang muthlaq (tanpa batasan) kepada nas yang muqayyad.

 

Tidak dapat dikatakan demikian, kerana lafaz yang dianggap sifat tertentu sebagai qayad (batasan) adalah lafaz muthlaq, bukan lafaz ‘âm (umum). Sedangkan lafaz ‘âm, yang berlaku padanya adalah pengkhususan (takhshîsh), bukan pembatasan (taqyîd). Jika bersama lafaz ‘âm tersebut disebutkan qayad, maka itu adalah pernyataan nas atas salah satu dari anggotanya, bukan pembatasan. Di sini lafaz ar-râsyi (perasuah), al-murtasyi (penerima rasuah) dan ar-râ`isy (perantara) adalah lafaz ‘âm, bukan lafaz muthlaq. Dengan demikian, perkataan “dalam pemerintahan” bukanlah qayad (batasan), sehingga hadis-hadis lainnya dibawa kepadanya. Tetapi itu adalah pernyataan nas (tanshîsh) atas salah satu anggota lafaz tersebut, iaitu pemerintahan. Sehingga hadis-hadis tersebut seluruhnya tetap ‘âm (umum), dan tetap pada keumumannya. Jadi semua rasuah haram dalam segala bentuk, baik yang diberikan kepada pemerintah mahupun yang bukan pemerintah. (Taqiyuddin An-Nabhani, Asy-Syakhshiyah Al-Islamiyyah, Cet. Ke-5, [Beirut: Dar al-Ummah, 1424 H/2003 M], Juz 2, halaman 331-332)

 

Penulis memilih pendapat yang kedua kerana kuatnya hujah yang menyatakan semua bentuk rasuah adalah haram. Di sisi lain adanya toleransi terhadap rasuah atau risywah ini telah terbukti menghancurkan peradaban, berapa banyak hakim, ahli politik hingga parti-parti politik yang tunduk terhadap keinginan pemilik modal (kapitalis) kerana suara dan kehendaknya telah dibeli dengan rasuah. Dan risywah saat ini bukan hanya terjadi pada individu-individu, namun sudah dilakukan secara kolektif atau berjamaah, sehingga bukan rahsia lagi rasuah ini diduga kuat terjadi saat pengesahan suatu undang-undang, pemilihan ketua umum parti hingga pemimpin rakyat.

 

Kalaupun ada yang memilih pendapat yang pertama, iaitu boleh memberikan rasuah untuk mendapatkan hak atau untuk menolak kezaliman, maka para ulama sepakat kebolehan-nya hanyalah berlaku bagi pemberi rasuah, sedangkan untuk yang menerima rasuah tetap berdosa kerana telah melakukan keharaman. Dan dari banyaknya kes yang ditangani di Indonesia misalnya, banyak yang menerima rasuah ini dari kalangan para menteri, ahli politik dan anggota dewan terhormat, bahkan yang lebih menyedihkan lagi yang menerima rasuah adalah orang-orang yang digelar sebagai ulama.

 

Di sisi lain saat ideologi kapitalisme diterapkan dan para kapitalis dan oligarki berkuasa, maka frasa “untuk mendapatkan hak atau untuk menolak kezaliman” mengalami multi tafsir menurut pendapat dan kepentingan masing-masing, sehingga akhirnya dengan mudah melakukan rasuah dengan alasan telah dibolehkan oleh agama melalui pendapat jumhur ulama.

 

Jadi jika anda mahu budaya rasuah hilang dari sesebuah negara, penyelesaiannya adalah dengan membuang dan membuang sejauh mungkin ideologi kapitalisme liberal di kalangan rakyat. Ideologi ini telah memusnahkan peradaban kerana daripada ahli politik hinggalah kepada ulama ia telah didorong dan dikuasai oleh pemilik modal, dan menggantikan ideologi kapitalisme liberal dengan melaksanakan hukum Islam secara kaffah.

 

Wallahu `a’lam bish shawab.

 

 

#rasuah #HukumFikh #MusuhPeradaban #TolakRasuah

Exit mobile version