[Perjanjian Antarabangsa] Pengertian Jihad dalam Islam (Bahagian 2/5)
Penulis: Iyad Hilal
(Sambungan daripada “Pengertian Jihad” Bahagian 1/5.)
Kami membuat kesimpulan bahawa pandangan yang menyatakan jihad hanya dibenarkan dalam keadaan diserang (bersifat defensif semata-mata) merupakan pandangan yang muncul pada abad ke-13 Hijrah. Individu pertama yang mengemukakannya ialah Muhammad Abduh. Hal ini berlaku ketika orang-orang kafir menyedari kekuatan kaum Muslimin dan bahawa mereka tidak akan berundur dari medan peperangan.
Orang-orang kafir berusaha menyerang pemikiran jihad dengan harapan dapat menghalang kaum Muslimin daripada membawa risalah Islam ke seluruh dunia. Oleh itu, mereka berusaha menubuhkan pelbagai gerakan yang menyerang konsep jihad dengan mendakwa bahawa jihad telah dimansukhkan (dihapuskan hukumnya). Antara gerakan tersebut ialah gerakan Qadiani yang muncul di India, merupakan gerakan yang terkeluar daripada Islam (murtad).
Di tengah-tengah arus pemikiran tersebut, muncul juga Muhammad Abduh yang menyerukan pandangan berkenaan, kemudian diikuti oleh tokoh-tokoh lain selepasnya. Sebahagian daripada mereka didorong oleh niat yang baik, manakala sebahagian yang lain mempunyai niat yang sebaliknya. Mereka mula mempromosikan pandangan ini, antaranya Muhammad Darraz, Abdurrahman Azzam, Najib Armanazi, Subhi al-Mahmashani, Ali Manshur, Muhammad Abu Zahrah, al-Zuhayli dan ramai lagi.
Malah, sebahagian daripada mereka berani menyatakan secara terang-terangan: “Dengan pandangan ini, kita telah membebaskan diri daripada sesuatu yang boleh mencemarkan imej Islam di mata musuh-musuhnya.”
Sebab-Sebab yang Membawa kepada Pandangan yang Mengelirukan
Saya telah menghimpunkan beberapa sebab yang menjadi punca lahirnya pandangan tersebut dalam kalangan mereka yang berpegang dengannya. Sebab-sebab tersebut dapat dirumuskan seperti berikut.
- Berpunca daripada sikap ingin mempertahankan Islam
Apabila seseorang ingin membahaskan sesuatu hukum syarak, apa jua topiknya, maka wajib baginya membataskan perbahasan tersebut kepada dalil-dalil syarak semata-mata tanpa dipengaruhi oleh pandangan atau sikap pihak lain. Jika seseorang terpengaruh dengan tuduhan yang dilemparkan terhadap Islam, lalu berusaha mempertahankan Islam dengan cara tersebut, maka hal itu merupakan suatu pendekatan yang silap dan berbahaya. Kesannya, dia tidak lagi meneliti nas-nas syarak sebagaimana adanya berdasarkan petunjuk makna (dalalah) syarie dan bahasa.
Lebih daripada itu, sikap mempertahankan Islam dengan pendekatan sedemikian akhirnya boleh membawa kepada penafsiran nas-nas menurut kehendak para orientalis. Hal ini berpunca daripada rasa takut terhadap serangan mereka sehingga mendorong kepada kesimpulan-kesimpulan tertentu yang menyimpang daripada maksud asal nas.
Golongan yang mengambil kedudukan sedemikian, menurut gambaran Sayyid Qutb (semoga Allah meredainya), telah mengalami kekalahan dari sudut rohani dan pemikiran. Mereka berbicara dan menulis di bawah tekanan realiti yang menyedihkan yang menyelubungi umat Islam, sehingga yang tinggal daripada Islam dalam kehidupan mereka hanyalah namanya semata-mata.
Mungkin tujuan yang dinyatakan oleh Ibrahim Abdul Hamid merupakan contoh yang paling baik dalam perkara ini. Beliau cenderung kepada pandangan yang membataskan jihad kepada peperangan defensif sahaja kerana beranggapan bahawa pandangan tersebut dapat membebaskan umat Islam daripada tuduhan-tuduhan yang boleh mencemarkan imej Islam di mata musuh-musuhnya.
Dengan kata lain, matlamatnya adalah untuk melepaskan diri daripada tuduhan pihak lawan, bukan untuk memahami nas-nas syarak sebagaimana yang ditunjukkan oleh makna dan petunjuknya yang sebenar.
- Kekeliruan dalam memahami nas-nas Islam mengenai pengharaman pemaksaan akidah dengan metod Islam dalam menghancurkan kekuatan politik yang bersifat fizikal yang menghalang sampainya Islam kepada manusia
Sesungguhnya kedua-dua perkara ini tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain dan tidak boleh dicampuradukkan. Hal ini berpunca daripada dominasi persepsi Barat terhadap agama, iaitu agama dianggap sekadar suatu akidah yang tersimpan dalam dada, bukan sebagai metod tertentu dalam kehidupan.
Akibatnya, dominasi persepsi yang mengelirukan ini telah memberikan pengaruh yang sangat besar terhadap pemikiran sebahagian golongan. Mereka tidak mampu membezakan antara haramnya memaksa seseorang menerima akidah dengan metod Islam dalam menghapuskan kekuatan politik yang bersifat fizikal (yang menghalang sampainya dakwah Islam kepada manusia).
Lalu mereka menyangka bahawa jihad bermaksud memaksa orang lain memeluk akidah Islam, sedangkan perkara tersebut sememangnya diharamkan dalam Islam. Daripada persepsi inilah lahir pandangan yang mengelirukan, iaitu pandangan yang membataskan jihad hanya kepada keadaan mempertahankan diri (defensif) semata-mata.
Sesiapa yang meneliti nas-nas syarak secara mendalam akan dapat memahami perbezaan antara kedua-dua perkara tersebut. Jihad tiada lain adalah bertujuan untuk menghapuskan kekuatan politik yang bersifat fizikal yang menghalang sampainya Islam kepada bangsa-bangsa dan umat-umat lain. Tujuannya ialah agar mereka hidup di bawah sistem pemerintahan Islam, sambil diberikan kebebasan kepada setiap individu untuk menganut akidah yang diyakininya, tanpa dipaksa meninggalkan kepercayaannya dan memeluk Islam.
Sesiapa yang meneliti ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang berkaitan dengan jihad akan mendapati bahawa nas-nas tersebut berbicara tentang memerangi orang-orang kafir sebagai suatu jamaah, bukan sebagai individu-individu. Hal ini sebagimana firman Allah SWT: “Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak pula kepada Hari Akhirat…” [TMQ al-Tawbah: 29]
Demikian juga sabda Rasulullah SAW: “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan: ‘Lā ilāha illā Allāh.’” [HR al-Bukhari dan Muslim, serta Ahmad dengan lafaz riwayat Muslim]
Nas-nas tersebut, serta banyak lagi nas yang lain, memerintahkan agar peperangan dilakukan terhadap bangsa-bangsa dan umat-umat sebagai suatu entiti kolektif, bukan terhadap individu-individu secara perseorangan. Tujuan peperangan tersebut adalah untuk menundukkan bangsa-bangsa dan umat-umat itu kepada hukum Islam, bukan kepada tujuan yang lain.
Adapun berkaitan individu-individu, terdapat ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW yang lain yang menjelaskan pengharaman memaksa mereka memeluk agama Islam. Ini sebagaimana firman Allah SWT: “Tidak ada paksaan dalam agama.” [TMQ al-Baqarah: 256]
Demikian juga firman-Nya: “Maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur, biarlah dia kufur.” [TMQ al-Kahfi: 29]
Nas-nas tersebut menjelaskan perbezaan antara pengharaman memaksa individu memeluk Islam dengan metod Islam dalam menghapuskan dan meruntuhkan segala halangan politik yang menghalang bangsa-bangsa daripada berhukum dengan Islam serta menghalang sampainya Islam kepada mereka.
Apatah lagi Islam telah menetapkan bahawa penerimaan seseorang terhadap Islam bergantung pada pengakuannya terhadap kebenaran akidah Islam, iaitu suatu pengakuan yang lahir daripada proses berfikir. Dalam hal ini, tidak terdapat perintah untuk memaksa seseorang memeluk Islam dengan pedang (kekuatan senjata).
Oleh itu, wajib membezakan antara dalil-dalil syarak dan tidak menggunakan sesuatu dalil untuk perkara yang tidak berkaitan dengan konteks perbahasannya. Jadi, tidak boleh menggunakan ayat: “Tidak ada paksaan dalam agama.” [TMQ al-Baqarah: 256]
Sumber: Iyad Hilal, Perjanjian-Perjanjian Antarabangsa dalam Pandangan Islam.
Bersambung ke: “Pengertian Jihad” Bahagian 3/5.
#PerjanjianAntarabangsa #DarulIslam #DarulKufur #JihadMenurutSyariat

