Hukum Ila’ Lindungi Hak Isteri Daripada Digantung Tak Bertali
Ustazah Husna Suriani mengingatkan bahawa syariat Islam melindungi isteri daripada digantung tak bertali. Oleh itu, para muslimah juga hendaklah mengambil tahu tentang hukum terkait ila’.
“Islam tidak membenarkan seorang isteri digantung tanpa kepastian. Istilahnya digantung tanpa tali macam tulah. Tidak diberi kasih sayang, tidak diceraikan tetapi dibiarkan menderita. Jadi Al Quran datang menutup kezaliman dengan membataskan tempoh 4 bulan selepas isteri diila’kan. Jadi para isteri kena tahulah hukum ni ada dalam Islam,” Aktivis Muslimah HTM itu berkata demikian dalam siaran langsung Siri Tadabbur Ayat Al-Quran Pilihan, Surah Al-Baqarah ayat 224-227: Indahnya Hidup Bersyariat – Sumpah Bukan Mainan pada Sabtu (19/9/2026).
Menurut Ustazah Husna, ila’ ialah sumpah seorang suami untuk tidak menggauli isterinya atau tidak memberikan nafkah batin yang menjadi kewajipannya
“Syariat tidak membiarkan seorang isteri digantung tanpa kepastian. Sebaliknya, Allah meletakkan satu tempoh tertentu supaya masalah rumah tangga tersebut dapat diselesaikan, bukannya dibiarkan berlarutan,” jelasnya.
Berdasarkan Surah Al-Baqarah ayat 226 hingga 227, beliau menjelaskan bahawa suami yang bersumpah tidak mencampuri isterinya diberikan tempoh menunggu selama empat bulan. Selepas tempoh itu, konflik berkenaan perlu diselesaikan dengan keputusan yang jelas sama ada suami kembali menjalankan hubungan suami isteri atau memilih perceraian.
“Tempoh empat bulan itu merupakan had maksimum yang dibenarkan syarak untuk seorang suami menjauhkan diri daripada isterinya melalui sumpah ila’,” katanya ketika menghuraikan pandangan Imam al-Qurtubi.
Menurutnya, penetapan tempoh tersebut menunjukkan Islam mengiktiraf hak dan keperluan kedua-dua pasangan. Walaupun konflik rumah tangga boleh menyebabkan suami memerlukan masa untuk meredakan emosi, keadaan itu tidak boleh dibiarkan berpanjangan sehingga menzalimi isteri.
“Islam datang mengimbangi antara hak suami dan juga hak isteri. Para mufasir melihat penetapan tempoh ini sebagai bukti keadilan syariat,” ujarnya.
Selepas empat bulan, katanya, pilihan pertama ialah suami menarik kembali sumpahnya dan kembali menjalankan kehidupan sebagai suami isteri. Pilihan kedua ialah membuat keputusan untuk bercerai secara jelas, bukan membiarkan isteri dalam keadaan tidak mempunyai kepastian terhadap status rumah tangganya.
“Apabila seorang suami benar-benar memilih perceraian, maka keputusan itu hendaklah dibuat dengan jelas, bukan melalui sikap gantung tak bertali,” katanya.
Ustazah Husna menjelaskan bahawa sebelum kedatangan Islam, amalan ila’ boleh menyebabkan wanita ditinggalkan dalam tempoh yang sangat lama tanpa nafkah batin dan tanpa perceraian.
“Dahlah ditinggalkan, nafkah batin pastilah tak dapat. Apatah lagi nafkah zahir. Dan dibiarkan terlantar begitu tanpa penceraian, sedangkan boleh ia diceraikan. Jadi wanita tadi boleh kembali kehidupan yang baru tapi tidak. Ini menjadi satu bentuk kezaliman terhadap wanita,” terangnya.
Sambungnya lagi, “Maka bila Islam datang, Islam menghapuskan kezaliman tersebut dengan meletakkan batas yang jelas iaitu kalau disebut ayat Quran ni iaitu tarabbusu arbaati asyhur.”
Beliau menegaskan kedudukan sebagai suami tidak memberikan hak kepada seseorang untuk menzalimi isterinya. Prinsip yang terkandung dalam hukum ila’, katanya, tetap relevan walaupun bentuk sumpah tersebut mungkin jarang berlaku hari ini kerana masih terdapat keadaan isteri ditinggalkan dalam tempoh lama atau hidup tanpa perhatian dan kepastian daripada suami.
“Maka Islam tu memang tidak memenangkan sama sekali seseorang menggunakan kedudukannya sebagai suami, status suami tu untuk menzalimi isterinya.”
Ustazah Husna turut mengingatkan apabila keadaan berlarutan selepas tempoh yang ditetapkan, perkara itu boleh dirujuk kepada pihak yang berautoriti seperti kadi bagi menentukan penyelesaian dan status perkahwinan.
Ini kerana menurutnya,“Islam tidak menggalakkan perceraian, tetapi Islam juga tidak memaksa sebuah perkahwinan dipertahankan dengan cara yang zalim.”
Beliau seterusnya mengingatkan bahawa mukmin yang bertakwa tidak akan menindas pihak yang lebih lemah.
“Ingat ya. Ingat kita ada Allah tempat kita merujuk. Jadi menangguhkan penyelesaian membiarkan orang lain terus menderita atau menggunakan kuasa yang ada untuk menekan pihak yang lebih lemah bukan sifat seorang mukmin yang bertakwa,” nasihatnya. [] Aliya Ab Aziz
#keluargamuslim #suamiisteri #hukumila #sistempergaulandalamislam

