Sumpah Tidak Boleh Menjadi Penghalang Kepada Kebaikan
Aktivis Muslimah HTM, Ustazah Husna Suriani mengingatkan umat Islam supaya tidak menjadikan sumpah sebagai penghalang kepada kebaikan, dan usaha mendamaikan hubungan sesama manusia.
“Islam memelihara hubungan manusia dengan Allah SWT, serta memelihara kesucian nama Allah SWT, serta memastikan setiap sumpah dan ucapan itu tidak menjadi sebab terhalangnya kebaikan, kerosakan hubungan sesama manusia ataupun kezaliman dalam institusi keluarga,” katanya ketika mengupas Surah al-Baqarah ayat 224 hingga 227 dalam program Siri Tadabbur Ayat Al-Quran Pilihan bertajuk Indahnya Hidup Bersyariat – Sumpah Bukan Mainan, pada 19/9/2026 (Sabtu).
Sambungnya, Islam mengajar manusia supaya menjadi orang bertakwa dengan mengembalikan setiap perselisihan kepada panduan Allah dan Rasul.
“Jadi al-Quran membimbing manusia agar setiap tindakan kita ni dilakukan atas dasar ketakwaan. Kembalikan kepada Allah, bukan dipandu oleh hawa nafsu ataupun kepentingan peribadi,” katanya.
Beliau menjelaskan terdapat tiga perkara yang tidak boleh dihalang oleh sumpah, iaitu melakukan kebaikan (al-bir), ketakwaan kepada Allah dan usaha mendamaikan hubungan antara manusia.
“Semua kebaikan itu kena kita utamakan daripada mempertahankan sumpah yang terlepas tadi,” katanya.
Menurutnya, seseorang juga perlu mendahulukan perintah Allah dan meninggalkan perkara yang dilarang walaupun terdapat sumpah yang pernah dilafazkan.
“Janganlah bersumpah katakan, Allah larang minum arak tapi dia sumpah, ‘sumpah aku nak minum arak.’ Tak boleh begitu. Benda yang dilarang tu kena tinggalkan,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan umat Islam supaya tidak melafazkan sesuatu secara sewenang-wenangnya kerana setiap ucapan dipertanggungjawabkan.
“Kita kena bertanggungjawab dengan setiap apa yang kita lafazkan di bibir kita. Tak boleh suka-suka nak lepaskan perkataan begitu sahaja. Itu yang nak dikatakan anak Adam itu tidak tergelincir, diperhitungkan hisabnya walaupun sekecil mana pun akan diperhitungkan apatah lagi apa yang meluncur keluar daripada mulutnya,” ujarnya memperingatkan.
Ustazah Husna turut menjelaskan bahawa Allah membezakan antara sumpah yang dilafazkan tanpa sengaja dengan sumpah yang benar-benar lahir daripada niat seseorang.
Seterusnya, beliau menghuraikan Surah al-Baqarah ayat 225, “Allah tidak akan menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan, yakni yang lagwi, tetapi Dia menghukum kamu disebabkan apa yang diusahakan oleh hati-hati kamu.”
Menurutnya, Islam mengambil kira niat seseorang dalam menilai sumpah yang dilafazkan. Oleh itu menurutnya, kesedaran bahawa Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui sepatutnya mendorong seseorang lebih berhati-hati ketika melafazkan sumpah kerana Islam sangat memuliakan nama-Nya.
Beliau menekankan, “Islam sangat memuliakan nama Allah sehingga sumpah dengan nama Allah jangan dipermainkan.”
Selanjutnya beliau memperingatkan bahawa, sumpah tetap tertakluk kepada hukum syarak dan tidak boleh dipertahankan apabila ia menyebabkan seseorang meninggalkan kewajipan atau kebaikan.
“Islam tidak mengajar seseorang berpegang kepada sumpah secara membuta tuli. Ada ajaran yang dijelaskan dalam Islam. Nilai sumpah tu satu benda yang dinilai dan tertakluk kepada hukum syarak,” katanya.
“Nama Allah adalah pendorong kepada kita untuk kebaikan, ketakwaan dan perdamaian sesama manusia,” simpulnya. [] Aliya Ab Aziz
#sumpah #tadabburayatpilihan #takwa #kebaikan

