Site icon MuslimahHTM News

[Perjanjian Antarabangsa] Kesahan Perjanjian (Bahagian 3/4)

[Perjanjian Antarabangsa] Kesahan Perjanjian (Bahagian 3/4)

 

Penulis: Iyad Hilal

 

(Sambungan dari “Kesahan Perjanjian” Bahagian 2/4.)

 

Kesepakatan dan Penandatanganan Perjanjian

 

Setelah kedua-dua pihak yang berunding mencapai suatu bentuk perjanjian tertentu dan mereka sepakat, maka setiap wakil atau utusan kembali ke negara masing-masing dengan membawa hasil yang telah dicapai. Pada ketika itulah khalifah boleh menandatangani perjanjian tersebut atau menolaknya.

 

Penandatanganan khalifah terhadap sesuatu perjanjian atau pengesahan kesahihannya bukan sekadar perkara formaliti. Ini kerana, khalifah adalah pemimpin yang sebenarnya bagi sesebuah negara, bukan sekadar simbol. Berdasarkan hal ini, seorang khalifah kadang-kadang mempelajari polisi-polisi perjanjian itu satu demi satu sesuai dengan realiti perjanjian dan autoriti yang diberikan kepada wakil negara yang berunding dengan negara lain.

 

Namun, jika rundingan antara para pemimpin negara-negara tersebut selesai, biasanya penandatanganan perjanjian tersebut tercakup di dalamnya. Dalam Perjanjian Hudaibiyyah, persetujuan terhadap syarat-syarat perjanjian dicapai selepas rundingan panjang yang berlangsung antara Negara Islam dengan Quraisy.

 

Setelah tercapai kesepakatan, maka ditulislah watsiqah (dokumen perjanjian). Ali bin Abi Thalib yang menulis teks perjanjian tersebut, kemudian Rasulullah SAW dan wakil dari Quraisy serta saksi perjanjian itu menandatangani perjanjian tersebut. Penerimaan sesuatu perjanjian oleh pemimpin negara tidak memerlukan persetujuan (tentang perjanjian tersebut) dari Majlis Syura. Malah, adakalanya suatu perjanjian dipersetujui tanpa pengetahuan Majlis Syura.

 

Walau bagaimanapun, tidak ada sesiapa yang dapat menghalang Majlis Syura untuk mempelajarinya. Pendapat Majlis Syura dalam hal ini tidak mengikat. Rasulullah SAW telah menandatangani Perjanjian Hudaibiyyah walaupun kaum muslimin menentangnya. Bahkan, mereka membantah beberapa syarat dalam perjanjian tersebut. Dalam hal ini tidak boleh dikatakan bahawa perkara tersebut khusus bagi Rasulullah SAW.

 

Ini kerana sesuatu perbuatan yang dianggap sebagai khusus bagi Rasulullah SAW haruslah bertentangan (berbeza) dengan nas qath’ie yang lain. Jika tidak terdapat percanggahan antara perbuatan Rasulullah SAW dengan nas, perbuatan itu tidak dianggap sebagai pengkhususan bagi Rasulullah SAW. Contohnya, dalil syarak telah memetapkan bahawa jumlah isteri (maksima) adalah empat orang wanita. “Maka berkawinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain), dua, tiga atau empat.” [TMQ an-Nisa (4): 3].

 

Sementara itu, Rasulullah SAW mempunyai lebih daripada empat orang isteri. Hal ini dianggap sebagai pengkhususan bagi Rasulullah SAW. Oleh itu, haram bagi seorang muslim berkahwin lebih daripada empat orang wanita.

 

Dalam perkara ini, tidak terdapat satu dalil pun yang mengharuskan adanya persetujuan Majlis Syura terhadap sesuatu perjanjian agar kita kelompokkan bahawa apa yang dilakukan Rasulullah SAW dalam Perjanjian Hudaibiyyah itu merupakan pengkhususan bagi baginda. Dengan demikian, perkara ini bersifat umum.

 

Di samping itu, berdasarkan kedudukannya, khalifah adalah pihak yang mampu membatasi maslahat atau menetapkannya, serta menilai situasi dan keadaan yang merangkumi negara. Adakalanya khalifah tidak dapat menjelaskan perkara-perkara tersebut di hadapan Majlis Syura kerana tindakan itu boleh mendedahkan strategi ataupun taktik negara. Hal ini sama sekali tidak boleh dilakukan kerana boleh membahayakan politik luar negara. Seterusnya, keadaan ini boleh menjejaskan institusi negara, sekaligus membahayakan umat.

 

Realiti yang dapat kita saksikan di setiap negara mana pun di dunia bahawa negara hanya memaparkan perjanjian kepada Majlis secara simbolik (sekadar formaliti) untuk mendapatkan persetujuan daripada wakil-wakil atau kelompok-kelompok berpengaruh di parlimen. Fenomena ini berlaku di Kongres Knesset, Majlis Umum, Majlis Rakyat ataupun Majlis Umat, walaupun dengan nama yang berbeza-beza.

 

Pengumuman Perjanjian

 

Setelah persetujuan dicapai untuk memeterai perjanjian dan pengesahannya, maka perjanjian tersebut hendaklah diumumkan agar diketahui oleh umat Islam. Hal ini kerana, perjanjian itu akan mengikat umat dan mereka wajib mematuhinya. Setelah perjanjian diumumkan, maka perjanjian harus dilaksanakan.

 

Perlu diingat bahawa seseorang khalifah adakalanya melaksanakan langkah-langkah ini tanpa menjelaskan tujuannya kepada pihak lain atau kepada kaum muslim. Hal ini kerana, jika tujuan perjanjian didedahkan, kemungkinan ia akan menjejaskan keseluruhan usaha tersebut. Kadangkala Negara Islam berusaha untuk mengetahui pendirian negara lain terhadap sesuatu perjanjian tanpa mendedahkan hakikat tujuan sebenar kita kepada negara tersebut.

 

Ini kerana, berkemungkinan sahaja negara tersebut akan menolak perjanjian itu sekiranya mereka melihat bahawa kita terlalu berhasrat untuk memeterainya. Kekuatan politik terletak pada kebijaksanaan dalam menyembunyikan tujuan tanpa perlu berbohong, tentu disertai dengan segala kejujuran. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Baginda telah mengambil langkah-langkah yang membawa kepada termeterainya perjanjian damai dengan Quraisy di Hudaibiyyah.

 

Ketika Rasulullah SAW pergi untuk menunaikan umrah, Baginda mengirimkan utusan kepada Quraisy dengan menyembunyikan maksudnya. Quraisy menyangka bahawa tujuan Rasulullah SAW adalah memasuki kota Mekah sahaja. Hakikatnya, Rasulullah SAW tidak keluar, kecuali dengan memperoleh apa yang diinginkannya, iaitu membalas kekalahan dalam Perang Khaibar dan menyebarluaskan Islam di Jazirah, tempat di mana kekuatan dan kekuasaan ada di sana.

 

Apabila kaum Quraisy mengetahui bahawa Rasulullah SAW akan melaksanakan umrah, mereka berasa keberatan untuk membenarkan kaum muslimin memasuki kota Mekah. Kemudian Quraisy berusaha menghalangnya dengan pelbagai cara, antaranya membuat persetujuan dengan Rasulullah SAW untuk menangguhkan perkara tersebut sehingga tahun berikutnya. Hakikatnya, seluruh urusan berjalan sesuai dengan perancangan Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperoleh apa yang diinginkan dan mencapai keberhasilan yang luar biasa seandainya baginda mengungkapkan tujuan sebenar pada awal perundingan.

 

Seseorang yang mengkaji situasi politik antarabangsa pada waktu itu serta keadaan politik yang meliputi kaum muslimin akan melihat bahawa Rasulullah SAW yang mulia telah mengetahui bahawa aktiviti ketenteraan wajib ditujukan kepada pihak-pihak yang berada di sekitar Jazirah. Hal ini memerlukan suatu gencatan senjata dengan pihak Quraisy untuk sementara waktu agar perhatian dapat ditumpukan kepada perkara-perkara yang diinginkan oleh Rasulullah SAW.

 

Sumber: Iyad Hilal, Perjanjian-Perjanjian Antarabangsa dalam Pandangan Islam.

 

Bersambung ke “Sahnya Perjanjian” Bahagian 4/5.

 

#PerjanjianAntarabangsa #DarulIslam #DarulKufur

 

 

Exit mobile version