Site icon MuslimahHTM News

[Perjanjian Antarabangsa]  Rukun dan Syarat Perjanjian (Bahagian 1/4)

[Perjanjian Antarabangsa]  Rukun dan Syarat Perjanjian (Bahagian 1/4)

 

 

Penulis: Iyad Hilal

 

Sesungguhnya perjanjian merupakan salah satu bentuk akad. Oleh itu, segala hukum yang terpakai ke atas akad juga terpakai ke atas perjanjian. Perbahasan mengenai rukun perjanjian adalah sama seperti perbahasan mengenai rukun-rukun akad.

 

Rukun akad terdiri daripada al-‘aqidan (dua pihak yang berakad), mahallul ‘aqd (perkara yang menjadi objek atau subjek akad), dan sighatul ‘aqd, iaitu ijab dan kabul (lafaz persetujuan). Apabila semua rukun ini dipenuhi berserta syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak, maka akad tersebut dianggap sah.

 

Al-‘Aqidan ialah dua pihak yang mengikat sesuatu akad. Dalam konteks perjanjian, yang dimaksudkan dengan dua pihak yang berakad ialah dua buah negara atau beberapa buah negara yang menandatangani perjanjian tersebut.

 

Mahallul ‘aqd atau al-ma’qud ‘alaih pula ialah perkara yang menjadi objek atau subjek akad, iaitu perkara yang menjadi kesan dan tujuan sesuatu akad. Sebagai contoh, dalam akad jual beli, objek akad ialah barang yang diperdagangkan, manakala dalam akad ijarah (sewaan), objek akad ialah barang atau manfaat yang disewakan.

 

Oleh itu, dalam sesuatu perjanjian, mahallul ‘aqd merujuk kepada perkara atau isu yang dipersetujui oleh pihak-pihak yang berakad, seperti urusan perdagangan, gencatan senjata, penghentian peperangan atau perkara-perkara lain yang menjadi kandungan perjanjian.

 

Adapun Sighatul ‘aqd pula ialah lafaz ijab dan kabul, yang boleh dilakukan sama ada melalui ucapan atau sesuatu yang mempunyai kedudukan yang sama dengan ucapan menurut syarak, seperti penulisan. Sesuatu akad dianggap sah apabila berlaku sighah yang menunjukkan persetujuan antara kedua-dua pihak. Sebagai contoh, penjual berkata, “Aku telah menjual kereta ini,” dan pembeli menjawab, “Aku menerimanya.” Dalam konteks perjanjian, sighatul ‘aqd diterjemahkan dalam bentuk teks atau dokumen perjanjian yang mengandungi persetujuan bersama antara pihak-pihak yang berakad.

 

Sebagai contoh, dalam Perjanjian Hudaibiyah, Negara Islam di Madinah dan pihak Quraisy merupakan dua pihak yang mengikat perjanjian. Perkara yang dipersetujui dalam perjanjian tersebut, seperti penghentian peperangan selama tempoh sepuluh tahun serta syarat-syarat lain yang dipersetujui, merupakan mahallul ‘aqd bagi Perjanjian Hudaibiyah. Manakala sighatul ‘aqd bagi perjanjian tersebut ialah lafaz atau teks yang menyatakan persetujuan, yang dimulakan dengan ungkapan:

 

“Ini ialah perjanjian antara Muhammad bin Abdullah dengan Suhail bin ‘Amru…”

 

Syarat-Syarat Perjanjian

 

Syarat-syarat dalam sesuatu perjanjian hendaklah dipenuhi kerana syarat-syarat tersebut merupakan syarat in’iqad, iaitu syarat yang menentukan sah atau terbentuknya sesuatu perjanjian menurut syarak. Sekiranya syarat-syarat ini tidak dipenuhi, maka perjanjian tersebut dianggap batal.

 

Selain itu, terdapat juga syarat shihhah (syarat kesempurnaan atau kesahan pelaksanaan perjanjian). Sekiranya syarat ini tidak dipenuhi, perjanjian tersebut tidak semestinya terbatal, namun ia boleh menjejaskan kesempurnaan atau pelaksanaannya menurut hukum syarak. Perincian mengenai syarat ini akan dihuraikan dalam perbahasan seterusnya.

 

Syarat In’iqad (Sahnya) Perjanjian

 

Syarat in’iqad bagi sesuatu perjanjian pada asasnya adalah sama seperti syarat in’iqad bagi akad-akad yang lain. Berikut ialah syarat-syarat in’iqad bagi sesuatu perjanjian:

 

  1. Ijab dan kabul hendaklah dilakukan oleh negara yang mempunyai kelayakan untuk mengadakan perjanjian.

 

Oleh itu, tidak sah membuat perjanjian dengan sebuah negara yang menawarkan pampasan berupa suatu wilayah yang sebenarnya bukan miliknya. Hal ini kerana negara tersebut tidak mempunyai kuasa atau hak untuk berbuat demikian.

Kelayakan ini bukan sahaja menjadi syarat kepada sesebuah negara, malah turut menjadi syarat kepada wakil yang bertindak bagi pihak negara tersebut. Oleh itu, tidak sah sesuatu perjanjian dibuat oleh individu yang tidak diberi kuasa mewakili sesebuah negara tetapi bertindak atas namanya.

 

Begitu juga, tidak dibenarkan mana-mana individu daripada kaum Muslimin membuat perjanjian dengan negara lain atas nama Negara Islam, kecuali individu tersebut ialah Khalifah atau seseorang yang telah diberi kuasa oleh Khalifah untuk menguruskan urusan tersebut.

 

  1. Ijab dan kabul hendaklah sah serta bebas daripada sebarang kecacatan.

 

Ijab dan kabul mestilah dilakukan tanpa sebarang unsur yang boleh menjejaskan kesahannya, seperti kesilapan, penipuan dan paksaan.

 

  1. Mahallul mu’ahadah (objek perjanjian) hendaklah wujud ketika perjanjian ditandatangani serta menepati hukum syarak.

 

Oleh itu, tidak dibenarkan membuat perjanjian untuk membahagikan wilayah yang tidak berada di bawah penguasaan kedua-dua pihak.

 

Begitu juga, tidak dibenarkan menandatangani perjanjian bagi tujuan mengeksport atau mengimport minuman keras atau daging babi ke dalam atau keluar dari Negara Islam kerana kedua-duanya diharamkan oleh syarak. Justeru, segala bentuk transaksi yang melibatkan kedua-dua barangan tersebut juga adalah haram.

 

  1. Semua syarat yang diwajibkan dalam akad-akad lain hendaklah turut dipenuhi.

 

Antara syarat tersebut ialah:

 

Demikianlah syarat-syarat in’iqad bagi sesuatu perjanjian. Pandangan yang dikemukakan ini adalah selaras dengan syarat-syarat in’iqad yang dikenakan terhadap akad-akad yang lain menurut hukum syarak.

 

Syarat-Syarat Sahnya Perjanjian

 

  1. Negara yang diajak mengadakan perjanjian bukanlah sebuah negara yang berstatus muhariban fi’lan.

 

Negara yang ingin mengadakan perjanjian dengan Negara Islam hendaklah bukan sebuah negara yang berstatus muhariban fi’lan, iaitu negara yang sedang berperang secara langsung dengan Negara Islam. Oleh itu, tidak dibenarkan mengadakan akad perjanjian dalam bidang perdagangan dengan negara yang berstatus muhariban fi’lan, kerana tujuan sesuatu perjanjian adalah untuk memelihara nyawa dan harta kedua-dua pihak. Sebaliknya, keadaan peperangan membolehkan tindakan yang bertentangan dengan tujuan tersebut.

 

Pengecualian kepada larangan ini ialah perjanjian gencatan senjata. Hal ini kerana gencatan senjata bukan merupakan keadaan asal dalam hubungan antara dua negara, sebaliknya ia hanya berlaku apabila dua negara yang sedang berperang bersetuju untuk menghentikan peperangan bagi suatu tempoh tertentu. Setelah perjanjian gencatan senjata dimeterai antara negara-negara yang berstatus muhariban fi’lan, maka dibolehkan untuk mengadakan pelbagai bentuk perjanjian yang lain dengan mereka.

 

Sekiranya sesebuah negara berstatus muhariban hukman dan bukannya muhariban fi’lan, maka dibenarkan mengadakan apa jua bentuk perjanjian dengannya. Rasulullah SAW sendiri telah mengadakan banyak perjanjian dengan negara-negara yang berstatus muhariban hukman.

 

Perlu dijelaskan bahawa dalam keadaan peperangan, apabila sesebuah negara telah mengisytiharkan perang atau operasi ketenteraan sedang berlangsung di medan perang, maka negara tersebut dianggap berada dalam keadaan perang yang sebenar terhadap kaum Muslimin, sama ada pertempuran telah berlaku ataupun belum. Sebagai contoh yang dikemukakan oleh penulis ialah Israel, yang dianggap berada dalam keadaan perang sebenar dengan kaum Muslimin.

 

  1. Perjanjian baharu tidak boleh bercanggah dengan perjanjian yang telah dimeterai sebelumnya.

 

Sesuatu perjanjian yang hendak dimeterai tidak boleh bertentangan dengan kewajipan Negara Islam terhadap negara lain yang telah terikat melalui perjanjian terdahulu. Hal ini kerana setiap perjanjian yang telah dimeterai wajib dipatuhi dan dilaksanakan. Sekiranya pelaksanaan perjanjian baharu menyebabkan perjanjian yang terdahulu dilanggar atau terbatal, maka keadaan tersebut adalah tidak dibenarkan menurut syarak.

 

  1. Semua perkara yang berpotensi menimbulkan perselisihan hendaklah dinyatakan dengan jelas.

 

Setiap perkara yang boleh menimbulkan pertikaian sekiranya tidak dijelaskan hendaklah dinyatakan secara terperinci dalam perjanjian. Ini kerana tujuan sesuatu perjanjian adalah untuk mengatur hubungan tertentu antara pihak-pihak yang berakad. Oleh itu, tidak boleh wujud sebarang kelalaian terhadap perkara-perkara penting yang boleh mencetuskan perselisihan pada masa hadapan.

 

Sebagai contoh, jumlah bayaran yang perlu dibuat oleh sesebuah negara kepada Negara Islam hendaklah dinyatakan dengan jelas. Begitu juga, tarikh kuat kuasa sesuatu perjanjian hendaklah ditetapkan secara khusus. Kegagalan menjelaskan perkara-perkara seperti ini boleh mengakibatkan pertikaian antara pihak-pihak yang terlibat.

 

Oleh yang demikian, sesuatu perjanjian hendaklah disusun dengan penuh ketelitian dan penelitian. Penggunaan ungkapan yang kabur, istilah yang kurang jelas atau ayat yang berbelit-belit hendaklah dielakkan kerana boleh menimbulkan pelbagai tafsiran, perbezaan pendapat serta kekeliruan terhadap kandungan perjanjian, sehingga menjejaskan kejelasan maksud yang hendak dicapai.

 

Sumber: Iyad Hilal, Perjanjian-Perjanjian Antarabangsa dalam Pandangan Islam.

 

Bersambung: “Rukun dan Syarat Perjanjian” Bahagian 2/4.

 

#PerjanjianAntarabangsa #DarulIslam #DarulKufur

 

 

Exit mobile version