HENTIKAN BUDAYA MEROSAKKAN AKAL
Oleh : Nurul Ilmi
Sekilas Oktoberfest
Oktoberfest dikaitkan dengan perayaan di Munich, Jerman yang bermula pada tahun 1810. Tradisi itu beralih tumpuan pada tahun 1910 kepada hidangan arak dan festival funfair kerana dianggap menarik perhatian ramai golongan. Selama 16-18 hari syarikat arak menjalankan promosi dan menjual produknya dengan harga murah. Acara ini telah berjaya menarik lima hingga enam juta pengunjung setiap tahun ke Jerman. Pada 2018, Oktoberfest dijenamakan semula sebagai German Cultural Festival dan dipromosikan sebagai platform pertukaran budaya. Dengan perkataan lain, Oktoberfest juga mempromosikan pergaulan bebas, pembaziran, gangguan ketenteraman, budaya asing, hiburan berlebihan, selain arak itu sendiri.
Oktoberfest 2026 dijangkakan akan tetap berlangsung walaupun petisyen bantahan dihantar setiap tahun. Namun, sebagai orang beriman, kita wajib mengambil sikap yang benar dalam berdepan isu ini demi kebaikan masyarakat. Walaupun Malaysia sebuah negara dengan majoriti muslim dan terletak ribuan kilometer dari Jerman, ada pihak yang berhasrat menjadikan Oktoberfest sebagai agenda tahunan di sini. Persoalannya, wajarkah agenda maksiat ini dibiarkan dalam sebuah negara umat Islam?
Pertelagahan dan Kebimbangan
Pihak yang bersetuju beralasan Malaysia merupakan sebuah negara majmuk dan golongan bukan Islam berhak menikmati minuman keras. Mereka berharap tiada sekatan dari mana-mana pihak memandangkan pihak penganjur telah meyakinkan bahawa mereka tidak akan melibatkan orang Islam dan hanya melakukannya di premis yang tertutup.
Pihak yang menolak Oktoberfest pula menggesa agar dibuat pertimbangan yang lebih menyeluruh. Walaupun penganjurannya tertutup, pihak media masih boleh menyiarkannya ke serata tempat dalam sekelip mata. Tiada jaminan umat Islam tidak terhasut. Bahana arak juga menyebabkan kecelakaan di jalan raya, pergaduhan, keganasan rumah tangga, penderaan serta keruntuhan akhlak. Rasulullah SAW bersabda, “Khamar (arak) adalah ibu kepada segala kejahatan. Barang siapa yang meminumnya, maka tidak diterima solatnya selama 40 hari, dan jika dia mati sedangkan dalam perutnya (ada arak), dia mati dalam keadaan jahiliyyah (sebelum Islam).” [HR At-Thabrani dalam Mu’jam al-Awsad 3667, Daraquthni dalam As-Sunan 4610]
Statistik rasmi menunjukkan kes memandu di bawah pengaruh alkohol mencatat peningkatan ketara. Mengikut undang-undang sedia ada, pemandu mabuk boleh didenda RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan. Sedangkan apabila berlaku kematian, adakah undang-undang ini adil bagi mangsa dan seluruh keluarga yang ditinggalkannya?
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menyatakan alkohol menjadi punca kematian bagi 3 juta orang di serata dunia pada setiap tahun. Jumlah ini melebihi jumlah keseluruhan mereka yang meninggal dunia akibat AIDS dan kemalangan jalan raya. Tambahan pula, kesan daripada minum arak dikaitkan dengan lebih 200 masalah kesihatan. Menurut WHO, tiada tahap selamat bagi minuman alkohol selepas penemuan mendapati lebih separuh punca kanser adalah minum alkohol pada tahap minimum dan sederhana. Faktanya, alkohol merupakan bahan karsinogen tahap satu sama seperti asbestos yang berbahaya untuk kesihatan.
Arak di Malaysia
Isu Oktoberfest memicu perbezaan pandangan ahli-ahli politik, malahan sebahagian mereka menghadirinya secara terang-terangan. Realiti ini menjadi tamparan kepada umat Islam dan pihak-pihak yang mengutamakan kepentingan awam. Polemik ini sebenarnya lebih teruk daripada yang dibayangkan kerana arak sememangnya dijual sepanjang tahun secara terbuka di ribuan premis, malah kilangnya beroperasi tanpa gangguan.
Pengaturan Arak dalam Daulah Islam
Islam membezakan undang-undang untuk warganegara Muslim dan ahlu zimmah (rakyat bukan Islam). Muslim secara mutlak dilarang terlibat dengan proses pembuatan, perniagaan dan pengambilan arak. “Rasulullah SAW melaknat 10 golongan dalam hal khamar: yang memerahnya, yang minta diperahkan, yang meminumnya, yang mendatangkannya, yang minta dibawakan, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang memakan harganya, yang membelinya dan yang minta dibelikan untuknya” [HR at-Tirmidzi dan Ibn Majah].
Adapun ahlu zimmah, hukumnya berbeza. Dalam mazhab Syafie, Imam Nawawi berpendapat orang kafir tidak dikenakan hukuman kerana minum arak melainkan jika ada larangan agama mereka. Namun, jika mereka menzahirkannya, hendaklah dihukum takzir kerana menzahirkan kemungkaran dalam negara Islam [Muhazzab II:256]. Tiada larangan bagi individu bukan Islam, tetapi ditegah melibatkan orang lain. Namun begitu, tiada sesiapa dibenarkan membina kilang arak, menjualnya di kedai secara terbuka, mengadakan pesta yang menghidangkan arak, dan memandu secara mabuk sehingga menyebabkan kemalangan. Kesemua kesalahan ini merupakan kesalahan jenayah yang harus dikenakan tindakan yang tegas.
Bukan hanya arak, Daulah juga mengharamkan bahan lain yang merosakkan akal, seperti tuak, air ketum, marijuana, dan dadah kerana hadirnya Islam ke dunia ini bertujuan untuk membawa rahmat ke sekalian alam dengan mewujudkan kemaslahatan dan mencegah kerosakan. Tujuan ini hanya dapat dicapai melalui penerapan hukum syarak yang menyeluruh oleh negara Khilafah.
#TolakOktoberfest #ArakMerosakkan #ArakHaram

