Site icon MuslimahHTM News

[NF156] ANAK HILANG KELUARGA RESAH

[NF156] ANAK HILANG KELUARGA RESAH

 

Oleh: Ummu Zinnirah

 

Kes kehilangan kanak-kanak dan remaja bukanlah perkara kecil yang boleh dipandang ringan. Di sebalik setiap laporan kehilangan, terdapat ibu bapa dan ahli keluarga yang hidup dalam keresahan, menanti kepulangan anak tanpa mengetahui keadaan serta keberadaan mereka. Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 4,557 kes kehilangan kanak-kanak, termasuk remaja berusia bawah 18 tahun, dari 2021 hingga 2025. Sebanyak 594 kes direkodkan pada 2021, diikuti 903 kes pada 2022, 778 kes pada 2023, 1,063 kes pada 2024 dan 1,219 kes pada 2025 [Berita Harian, 30 Jun 2026]. Angka ini menunjukkan trend yang membimbangkan apabila jumlah kes terus meningkat, kecuali pada 2023. Persoalannya, mengapakah kes kehilangan kanak-kanak dan remaja terus berulang? Apakah faktor yang mendorong mereka melarikan diri dan sejauh manakah langkah pencegahan telah dilakukan? Situasi ini memperlihatkan kepincangan daripada pelbagai sudut yang perlu ditangani secara bersungguh-sungguh oleh keluarga, masyarakat dan negara.

 

Faktor Anak Hilangkan Diri

 

Untuk memahami kes ini, faktor yang mendorong remaja meninggalkan rumah perlu diteliti terlebih dahulu. Tindakan ini lazimnya berpunca daripada gabungan pelbagai tekanan dan pengaruh. Remaja yang sedang melalui fasa mencari identiti lebih mudah dipengaruhi  persekitaran, terutama apabila mereka berhadapan dengan masalah yang tidak mampu ditangani sendiri. Antaranya ialah konflik dengan keluarga, pengaruh rakan sebaya atau kekasih, keinginan untuk mencari kebebasan, tekanan emosi, hilang minat terhadap pelajaran serta kurang perhatian daripada keluarga. Penggunaan media sosial tanpa pemantauan turut mendedahkan mereka kepada pujukan, manipulasi dan eksploitasi oleh individu yang tidak dikenali.

 

Realiti kehidupan hari ini mendedahkan anak-anak kepada pelbagai pengaruh yang merosakkan pemikiran dan akhlak. Media massa dan media sosial terus mempromosikan gaya hidup bebas melalui hiburan serta keseronokan tanpa batas. Sistem pendidikan pula lebih menekankan pencapaian akademik dan kebolehpasaran sehingga pembentukan syakhsiah Islam anak-anak sering terpinggir. Tekanan ekonomi turut menyebabkan sebahagian ibu bapa terpaksa bekerja lebih masa sehingga masa untuk mendidik dan mendampingi anak semakin terbatas.

 

Keadaan ini tidak boleh dipisahkan daripada penerapan sistem sekular yang mengetepikan aturan Allah SWT dalam kehidupan. Daripada sistem tersebut lahir fahaman materialisme dan liberalisme yang menjadikan keseronokan, kebebasan individu serta pencapaian kebendaan sebagai ukuran kehidupan. Anak-anak yang belum memiliki asas akidah dan syakhsiah Islam yang kukuh mudah terpengaruh apabila berhadapan dengan tekanan atau konflik.

 

Langkah Pencegahan Menurut Islam

 

Islam tidak memandang ringan soal keselamatan dan kebajikan anak-anak. Anak ialah amanah Allah SWT yang wajib dipelihara, dididik dan dilindungi. Tanggungjawab ini bermula dalam keluarga, diperkukuh oleh masyarakat dan disempurnakan melalui peranan negara.

 

Keluarga perlu menjadi benteng perlindungan yang paling awal bagi anak-anak. Ibu bapa bukan sekadar bertanggungjawab menyediakan makanan, pakaian dan pendidikan, bahkan perlu memberikan perhatian terhadap perkembangan emosi, pergaulan dan kehidupan mereka. Didikan agama adalah perkara wajib yang perlu diterapkan dalam diri mereka sejak mereka kecil. Penekanan terhadap peranan iman, rasa tanggungjawab, ketaatan, dan kesediaan untuk berkorban amat penting dalam membentuk keluarga yang mendapat keredhaan Allah SWT.

 

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka tetap melakukan apa yang diperintahkan”. [TMQ At-Tahrim (66):6].

 

Selain itu, komunikasi yang baik antara ibu bapa dan anak juga penting. Anak perlu mempunyai ruang untuk berkongsi masalah, ketakutan dan pengalaman mereka tanpa terus dihukum atau dimarahi. Pada masa yang sama, ibu bapa perlu mengetahui lingkungan sosial dan rakan-rakan anak, termasuk aktiviti mereka di alam maya. Anak-anak mesti dididik agar menjaga batas pergaulan serta menjauhi hubungan yang boleh membawa kepada maksiat. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Isra’ [17]:32, “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk.”

 

Masyarakat juga perlu membina budaya prihatin dan saling menjaga. Keselamatan anak-anak bukan hanya urusan ibu bapa. Jiran, guru, saudara mara dan anggota masyarakat mempunyai peranan untuk mewujudkan persekitaran yang selamat. Sekiranya terlihat perlakuan yang mencurigakan, membahayakan anak atau melanggar syariat, masyarakat tidak boleh berdiam diri. Maklumat yang berkaitan perlu disalurkan kepada keluarga atau pihak berkuasa agar tindakan sewajarnya dapat diambil. Firman Allah SWT,

 

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Merekalah orang-orang yang berjaya,” [TMQ Ali Imran (3):104].

 

Dalam era digital pula, masyarakat perlu bertanggungjawab ketika menyebarkan maklumat mengenai anak yang hilang supaya tidak menimbulkan fitnah, kekeliruan dan membahayakan mangsa. Guru, kaunselor dan anggota masyarakat juga boleh memainkan peranan melalui pendidikan keselamatan kepada kanak-kanak dan remaja, termasuk mengajar mereka supaya tidak mudah mempercayai orang yang tidak dikenali.

 

Seterusnya negara perlu menyediakan sistem perlindungan kanak-kanak yang kukuh melalui penguatkuasaan undang-undang syariah, dan kerjasama antara agensi berkaitan. Pendidikan berkaitan keselamatan diri, bahaya eksploitasi, jenayah terhadap kanak-kanak dan keselamatan di alam maya juga perlu diperkasakan. Pihak yang melakukan penculikan, penderaan atau eksploitasi wajar dihukum. Tidak cukup dengan ini, negara juga perlu mengatur sistem pendidikan, media, pergaulan dan ekonomi berdasarkan syariat Islam. Sistem pendidikan mesti membentuk syakhsiah Islam, manakala media tidak boleh dibiarkan menyebarkan gaya hidup bebas. Dalam bidang ekonomi pula, negara wajib menjamin keperluan asas rakyat agar tekanan hidup tidak menyebabkan tanggungjawab terhadap anak-anak terus terabai.

 

Semua ini menuntut penggantian sistem demokrasi kapitalis dengan sistem pemerintahan Islam yang menerapkan syariat secara kaffah. Dalam sistem Islam, negara berfungsi sebagai perisai yang memelihara akidah, kehormatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Sistem hukum Islam pula memenuhi fungsi zawajir, iaitu mencegah manusia daripada melakukan jenayah, dan jawabir, iaitu menjadi penebus dosa bagi pelaku yang menerima hukuman di dunia.

 

Khatimah

 

Kes kehilangan kanak-kanak dan remaja tidak seharusnya hanya mendapat perhatian apabila poster kehilangan mereka tular di media sosial. Setiap kes perlu menjadi peringatan bahawa keselamatan anak-anak menuntut perhatian dan tindakan berterusan daripada semua pihak. Usaha satu pihak sahaja tidak mencukupi jika pihak yang lain terus mengabaikan tanggungjawab.

 

Oleh itu, penyelesaian yang menyeluruh ialah penerapan Islam secara kaffah dalam keluarga, masyarakat dan negara. Dengan penerapan Islam, lahirlah sebuah persekitaran yang membantu ibu bapa melaksanakan amanah mereka dan melindungi anak-anak daripada pengaruh serta ancaman yang merosakkan. Setiap anak ialah amanah Allah SWT. Menjaga mereka bererti menjaga generasi dan masa depan umat.

 

Rujukan

Exit mobile version