[Perjanjian Antarabangasa] Rukun dan Syarat Perjanjian (Bahagian 3/4)
Penulis: Iyad Hilal
(Sambungan dari “Rukun dan Syarat Perjanjian” Bahagian 2/4)
- 7. Perjanjian yang dibuat wajib bersifat sementara dengan jangka masa tertentu. Maka tidak boleh memutlakkan perjanjian tanpa penetapan jangka masanya. Ath-Thabari telah menyebutkan tentang ijmak seluruh fuqaha dalam hal ini. Seluruh fuqaha berpendapat bahawa haramnya perjanjian yang tidak ditentukan batas waktunya, kecuali beberapa pengarang moden seperti Wahbi az-Zuhaili dan Dr. Kamil ad-Daqs.
Orang-orang yang membolehkan perjanjian tanpa batas masa berdalil dengan menggunakan firman Allah SWT, “Tetapi jika mereka membiarkan kamu (dengan tidak mengancam atau mengganggu), serta mereka tidak memerangi kamu dan mereka menawarkan perdamaian kepada kamu, maka Allah tidak menjadikan bagi kamu sesuatu jalan (yang membolehkan kamu memerangi atau menawan) mereka.” [TMQ an-Nisa (4): 90].
Rasulullah SAW tidak menetapkan had masa dalam perjanjian damai atau gencatan senjata dengan Yahudi ketika tiba di Madinah al-Munawwarah. Bahkan Rasulullah SAW menjadikannya mutlak tanpa batas. Menurut pandangan mereka, hubungan asal kaum Muslim dengan pihak lain adalah as-salam (perdamaian), bukan al-harb (peperangan). Maka perjanjian hanya mengembalikan keadaan asalnya serta menghilangkan keadaan-keadaan yang mengecualikannya. Dari sinilah maka tidak perlu lagi memberikan batas masa atas perjanjian atau membatasinya dengan masa tertentu.
Hakikatnya, firman Allah SWT “Tetapi jika mereka membiarkan kamu (dengan tidak mengancam atau mengganggu), serta mereka tidak memerangi kamu dan mereka menawarkan perdamaian kepada kamu.” [TMQ an-Nisa (4): 90] tidak menunjukkan bolehnya membuat perjanjian tanpa had masa. Namun demikian, ayat tersebut hanya menunjukkan kebolehan untuk mengadakan perjanjian damai serta tidak menentang pihak yang datang menyerah. Adapun isu sama ada perlu atau tidak menetapkan had masa bagi sesuatu perjanjian merupakan perkara yang berbeza. Oleh itu, melakukan istidlal dengan menjadikan ayat tersebut sebagai hujah menyokong pendapat berkenaan adalah suatu bentuk penyimpangan makna, kerana memberikan tafsiran yang tidak terkandung dalam ayat tersebut.
Tindakan sedemikian tidak dibolehkan. Berhubung dengan perbuatan Rasulullah SAW, hal itu merupakan suatu perkara yang telah “fixed” bahawa baginda telah menetapkan had masa dalam perjanjian dengan penduduk Mekah di Hudaibiyyah. Perkara ini dilakukan setelah baginda mengadakan perjanjian dengan kaum Yahudi, dan ketika surah al-Bara’ah diturunkan yang menjelaskan bahawa orang-orang yang tidak mempunyai perjanjian dengan mereka atau yang mempunyai perjanjian dengan mereka diberikan tempoh batas pelaksanaan perjanjian selama empat bulan.
Ini merupakan pembatalan terhadap perjanjian-perjanjian yang bersifat tetap dengan digantikan oleh penetapan had masa sementara (mu’aqqatah) bagi perjanjian mereka. Adapun pandangan yang menyatakan bahawa asal hubungan kaum Muslim dengan selain mereka adalah as-salam (perdamaian), maka ia merupakan bentuk istidlal yang tidak tepat. Seperti yang telah dihuraikan sebelum ini, asal hubungan adalah al-harb (peperangan), bukan as-salam (perdamaian).
Dengan demikian, sesuatu perjanjian sepatutnya terikat dengan had masa tertentu, serta tidak bersifat kekal dan mutlak. Hal ini kerana Rasulullah SAW telah memeterai Perjanjian Hudaibiyyah dalam jangka masa tertentu dan tidak menjadikannya mutlak. Ayat surah At-Taubah juga telah membatalkan perjanjian yang bersifat kekal dengan menetapkan had masa selama empat bulan kepada golongan yang memiliki perjanjian sedemikian. Setelah tempoh itu berakhir, perlakuan terhadap mereka adalah sama seperti perlakuan terhadap golongan yang tidak mempunyai perjanjian dengan kaum Muslim.
Ayat ini mengakui perjanjian yang bersifat sementara. Sesungguhnya menjadikan sesuatu perjanjian berlaku secara kekal tanpa had masa akan mengakibatkan kelalaian terhadap jihad. Hal ini tidak boleh berlaku kerana jihad terus berlanjutan hingga Hari Kiamat, dan tidak dapat dibatalkan oleh kezaliman orang-orang yang zalim mahupun keadilan orang-orang yang adil, sebagaimana terdapat dalam hadis-hadis yang mulia. Meninggalkan jihad kerana terikat dengan suatu perjanjian yang bersifat kekal adalah tidak dibolehkan menurut syarak.
Adapun pandangan yang mengatakan tentang bolehnya memutlakkan perjanjian meskipun dengan syarat tidak menjadikannya bersifat kekal dengan alasan bahawa yang dilarang oleh syarak hanyalah menjadikannya kekal, bukan memutlakkannya atau membatasinya dengan masa tertentu, maka pandangan tersebut adalah salah. Hal ini kerana memutlakkan perjanjian bererti juga menjadikannya kekal. Oleh itu, perjanjian tidak boleh dimutlakkan, bahkan wajib diikat dengan had masa tertentu.
Mengenai syarat penting untuk membatalkan perjanjian-perjanjian yang bersifat mutlak apabila telah memiliki kemampuan, atau syarat yang menyebutkan bahawa seorang pemimpin atau Muslim yang adil boleh membatalkan perjanjian pada bila-bila masa, maka syarat ini tidak dapat menjadikan perjanjian yang bersifat mutlak dan kekal itu dibolehkan. Hal ini kerana syarat-syarat tersebut tidak bernilai dan bertentangan dengan perjanjian itu sendiri. Bahkan ia boleh melemahkan perjanjian dan menjadikan perjanjian tersebut berada di bawah penguasaan seorang Muslim. Dengan demikian, bagaimana keadaan Negara Khilafah sekiranya seorang Muslim boleh membatalkan perjanjian yang dibuat oleh negara? Sejauh mana kepercayaan terhadap negara dan perjanjian-perjanjian yang dibuatnya?
Adapun istidlal bahawa perjanjian-perjanjian yang dibuat oleh Rasulullah SAW adalah perjanjian yang dibolehkan dan tidak mengikat. Maka, perjanjian yang bersifat mutlak dan bukan sementara, perjanjian istidlal seperti ini tidak dibolehkan. Hal ini kerana surah al-Bara’ah telah membatalkan setiap akad dan perjanjian, kecuali perjanjian yang bersifat sementara dengan had masa yang telah ditetapkan.
Daripada penjelasan di atas jelas bahawa pandangan yang benar ialah wajib membatasi tempoh perjanjian dan tidak boleh memutlakkannya atau menjadikannya kekal. Hal ini seumpama membuat perjanjian dengan had masa 100 atau 99 tahun sebagaimana yang berlaku dalam perjanjian kontrak minyak dan gas, atau perlombongan. Sesungguhnya tempoh yang terlalu panjang itu termasuk dalam kategori kemutlakan dan kekekalan.
Meskipun para fuqaha telah sepakat untuk menetapkan had masa bagi perjanjian, namun mereka berbeza pendapat tentang lamanya tempoh yang boleh ditentukan dalam perjanjian.
Para ulama Syafi’iyyah berpendapat bahawa tidak boleh menetapkan tempoh perjanjian lebih daripada empat bulan apabila keadaan kaum Muslimin berada dalam keadaan kuat. Pendapat ini berdasarkan firman Allah SWT, “((Ini adalah) pemutusan tanggungjawab (pembatalan perjanjian) dari Allah dan RasulNya terhadap kaum kafir musyrik yang kamu mengikat perjanjian setia (dengan mereka). Oleh itu hendaklah kamu (hai kaum musyrik) bergerak di muka bumi (dengan bebasnya) selama empat bulan, dan ketahuilah bahawa kamu tidak terlepas dari (azab seksa) Allah. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah akan menghina orang-orang yang kafir (dengan bala bencana di dunia dan azab seksa di akhirat)” [TMQ at-Taubah (9): 1-2].
Allah SWT menurunkan ayat ini ketika keadaan Islam berada dalam kedudukan yang kuat, dan menjelaskan bahawa Allah SWT tidak memberikan tempoh masa kepada seseorang kecuali empat bulan. Mereka juga beristidlal bahawa Rasulullah SAW telah berdamai dengan Shafwan bin Umayyah selama empat bulan pada tahun penaklukan kota Mekah.
Namun, jika kaum Muslimin berada dalam keadaan lemah, ulama Syafi‘iyyah dan sebahagian ulama Hanabilah membolehkan tempoh perjanjian sehingga sepuluh tahun, dan tidak boleh melebihi daripada itu. Hal ini kerana Rasulullah SAW telah membuat perjanjian gencatan senjata dengan penduduk Mekah di Hudaibiyyah selama tempoh tersebut.
Sumber: Iyad Hilal, Perjanjian-Perjanjian Internasional dalam Pandangan Islam.
(Bersambung ke “Rukun dan Syarat Perjanjian” Bahagian 4/4.)
#PerjanjianAntarabangsa

