[Perjanjian Antarabangsa] Rukun dan Syarat Perjanjian (Bahagian 2/4)
Penulis: Iyad Hilal
(Sambungan daripada “Rukun dan Syarat Perjanjian” Bahagian 1/4.)
Perjanjian-perjanjian yang telah dibuat oleh Rasulullah SAW disusun dengan penuh teliti. Malahan, mereka merundingkan sama ada mahu menggunakan sesuatu perkataan atau membuangnya. Selepas itu, mereka menerapkan apa sahaja yang telah disepakati seperti yang berlaku dalam Perjanjian Hudaibiyyah. Pada waktu itu, berlangsung perdebatan antara Rasulullah SAW dengan utusan Quraisy berkenaan dengan sebahagian perkataan yang terdapat di dalam teks perjanjian. Perkara seumpama ini menuntut sikap berhati-hati yang lebih dalam hal lafaz dan pelbagai ungkapan demi memeliharanya agar selaras dengan perjanjian.
Kitab-kitab terdahulu telah membincangkan tentang teks-teks perjanjian dengan perbahasan yang luas. Malah, Al-Qalqasyandi telah menghasilkan satu kitab penuh di dalam kitabnya Shubhul A’sya yang membincangkan tentang bentuk susunan bahasa yang bermacam-macam bagi pelbagai perjanjian. Ini kerana beliau mahu menyampaikan contoh yang pelbagai dalam setiap bentuknya.
Kegagalan yang menimpa pelbagai perjanjian yang dibuat oleh banyak negara pada hari ini dan mereka mendakwa berusaha untuk mencapai perdamaian adalah disebabkan oleh perkara ini, iaitu ketidakjelasan dan berbelit teks-teks perjanjian tersebut. Bagi mengatasi hal itu, Allah SWT berfirman, “Dan janganlah kamu jadikan sumpah-sumpahmu sebagai alat penipu di antaramu, yang mengakibatkan tergelincir kakimu sesudah kukuh tegaknya, dan kamu merasai kesengsaraan (di dunia) kerana kamu menghalangi manusia dari jalan Allah; dan bagi kamu azab yang besar.” [TMQ an-Nahl (16): 94].
Indikasi penunjukan dalil daripada ayat ini, iaitu firman Allah SWT, “Dan janganlah kamu jadikan sumpah-sumpahmu sebagai alat penipu di antaramu,” merupakan taukid (penguat) bagi firman Allah SWT, “Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat, menjadi bercerai-berai kembali; kamu menjadikan sumpah (perjanjian) kamu sebagai alat penipu di antaramu…” [TMQ an-Nahl (16): 92].
Ayat ini menunjukkan haramnya menjadikan akad, sumpah, dan perjanjian sebagai penutup penipuan serta perbuatan buruk. Ayat ini berbentuk umum, merangkumi setiap sumpah, perjanjian, dan akad.
- Perjanjian hendaknya dibuat untuk kepentingan penyebaran Islam, mengemban dakwah Islam, dan jihad. Kebijakan tentang urusan ini diserahkan kepada Khalifah sahaja kerana beliau yang diangkat sebagai penguasa kaum Muslim. Di antara tugasnya adalah untuk memelihara kekuatan kaum Muslim. Khalifah juga yang berhak menguruskan perjanjian. Oleh kerana itu, sudah seharusnyalah perkara ini diserahkan kepadanya.
Meskipun demikian, ini tidak bermakna tiada muhasabah (kritik dan pengawasan). Sesungguhnya muhasabah merupakan salah satu hak umat ke atas Khalifah. Umat berhak melakukan muhasabah walaupun pendapat umat atau Majlis Syura tidak mengikat Khalifah dalam hal ini. Ini kerana segala sesuatu yang berkaitan dengan hukum-hukum syarak dikembalikan kepada dalil-dalil syarak. Manakala perkara-perkara yang berkaitan dengan masalah teknikal pula dikembalikan kepada pendapat pakarnya (ahlinya) tanpa mengambil kira lagi suara majoriti atau minoriti.
Akan tetapi, jika ia berkaitan dengan perkara yang tidak menghasilkan amal (perbuatan), dalam hal ini pendapat majoriti bersifat mengikat. Perkara ini adalah seperti membina jalan raya sebagai ganti kepada membina hospital, mengagihkan baja kepada para petani sebagai ganti kepada mengagihkan wang kepada mereka untuk membeli baja, atau mengadukan salah seorang wali. Dalam perkara-perkara seumpama ini, suara terbanyaklah yang akan diambil. Manakala dalam aspek perundangan atau masalah teknikal, maka ia dikembalikan kepada dalil-dalil syarak bagi perkara yang berkaitan dengan hukum syarak, dan kepada pendapat para ahli apabila berkaitan dengan masalah teknikal.
Politik luar negara termasuk dalam perkara teknikal kerana masalah ini memerlukan pemikiran, penguasaan, dan pandangan yang luas. Lagipun, masalah ini termasuk ke dalam urusan pendapat, perang, dan tipu daya yang mesti dikembalikan kepada pendapat para ahlinya. Khalifah adalah orang yang dijadikan rujukan sekiranya terdapat perbezaan pendapat seperti yang berlaku dalam Perang Badar. Rasulullah SAW mengambil tempat yang diusulkan oleh Al-Hubab bin al-Mundzir. Rasulullah SAW tidak memilih pendapat baginda sendiri, padahal pandangan itu hanya berasal daripada pendapat seorang individu sahaja.
Sikap Rasulullah SAW yang meninggalkan pendapat baginda sendiri tidak menunjukkan bahawa pendapat para ahli itu mengikat secara qath’ie. Akan tetapi, ini hanya menunjukkan bahawa jika Khalifah menerima (alasan di sebalik) pendapat tersebut, beliau boleh mengambil pendapat tersebut. Rasulullah SAW dapat menerima pendapat Khabbab, maka baginda melaksanakan usulan tersebut.
- Disyaratkan agar perjanjian tidak mengandungi syarat yang rosak. Rasulullah SAW bersabda,“Kaum Muslimin itu sesuai dengan syarat-syarat mereka, kecuali syarat yang menghalalkan apa yang diharamkan Allah SWT atau mengharamkan apa yang dihalalkanNya.”
Di antara syarat-syarat yang rosak adalah syarat yang diajukan oleh orang-orang kafir agar mereka dibenarkan memasuki Tanah Haram Mekah. Contoh lain adalah menzahirkan syiar orang-orang kafir, menyerahkan kembali wanita-wanita Islam kepada mereka, atau membayar sejumlah harta kepada mereka dalam keadaan (kita) tidak sepatutnya memberikan harta tersebut. Adapun syarat yang diajukan oleh orang-orang kafir seperti menyerahkan kembali lelaki Muslim, maka pendapat yang rajih (terkuat) adalah membolehkannya. Alasannya adalah kerana Rasulullah SAW menerima syarat tersebut di dalam Perjanjian Hudaibiyyah.
Dalam kes ini, tidak boleh dikatakan bahawa hal tersebut khusus untuk Rasulullah SAW sahaja kerana tiada dalil yang menunjukkan bahawa perkara ini termasuk dalam kekhususan baginda. Dengan demikian, syarat ini boleh diterima. Tiada perbezaan sama ada orang yang diserahkan kembali itu mempunyai keluarga atau kerabat yang melindunginya ataupun tidak, sebagaimana yang disyaratkan oleh ulama Syafi’iyyah. Pandangan yang benar adalah boleh menyerahkannya kembali meskipun dia tidak mempunyai kerabat.
Apabila kaum Muslim terpaksa menerima syarat yang membahayakan mereka, wajib untuk membatalkannya apabila kaum Muslim sudah mampu untuk melakukannya dan setelah hilangnya alasan untuk menerima syarat tersebut.
- Perjanjian wajib ditulis dalam bahasa Arab kerana bahasa Arab adalah satu-satunya bahasa Islam dan merupakan bahasa rasmi yang digunakan oleh negara. Dalilnya adalah bahawa Rasulullah SAW mengirimkan surat kepada para raja dan pemimpin dalam bahasa Arab, padahal baginda mampu untuk memberi surat kepada mereka dalam bahasa mereka sendiri. Perbuatan Rasulullah SAW mengirimkan surat kepada mereka yang sepatutnya menggunakan bahasa mereka, tetapi hal itu tidak baginda lakukan. Ini merupakan dalil atas masalah ini.
Apabila dikhuatiri muncul bahaya tertentu pada situasi dan perjanjian tertentu, dalam keadaan seumpama itu dibolehkan untuk menulis perjanjian dalam bahasa yang diminta, manakala hukum tetap kekal pada asalnya. .
Sumber: Iyad Hilal, Perjanjian-Perjanjian Antarabangsa dalam Pandangan Islam.
(Bersambung ke “Rukun dan Syarat Perjanjian” Bahagian 3/4.)
#PerjanjianAntarabangsa

