PISA dan Pembentukan Sahsiah Pelajar.
Oleh: Syamsiyah Jamil
Berita:
Berdasarkan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025, Malaysia mencatatkan penurunan dalam pencapaian Matematik tetapi mencatat peningkatan dalam pencapaian Sains dan bacaan. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengatakan bahawa dapatan PISA juga perlu dilihat melangkaui pencapaian akademik semata-mata, khususnya dalam menilai keupayaan murid menggunakan pengetahuan untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.
Komen:
Tidak dinafikan bahawa prestasi pelajar dalam akademik adalah penting untuk membentuk pelajar cemerlang dalam kehidupan tetapi sistem pendidikan yang benar tidak boleh memandang ringan aspek pembentukan sahsiah Islam dalam diri pelajar. Apakah makna pencapaian akademik yang tinggi jika pendidikan gagal membentuk pelajar yang berkeperibadian mulia?
Di peringkat antarabangsa, PISA direka bertujuan untuk menilai tahap penguasaan pelajar yang berusia 15 tahun dalam aspek pengetahuan dan kemahiran penting yang diperlukan untuk mereka terlibat sepenuhnya sebagai ahli masyarakat moden pada masa kini dan masa hadapan setelah melalui sembilan tahun pendidikan formal. Dengan kata lain, PISA yang memfokuskan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), literasi matematik dan sains serta penyelesaian masalah adalah direka untuk mengukur tahap kesediaan pelajar dalam menghadapi cabaran ekonomi global abad ke-21.
Memang benar, standard ukur PISA bukan hanya berdasarkan hafalan silibus sekolah atau menilai prestasi akademik semata-mata. Elemen sahsiah atau karakter mula diserapkan dalam PISA, tetapi asas nilainya lebih bersifat humanisme universal. Ia hanyalah nilai-nilai yang dianggap baik dalam membentuk keharmonian sosial dan produktiviti ekonomi, tetapi bukan kerana ketaatan kepada Allah SWT.
Nilai murni yang direka secara umum tanpa disandarkan kepada akidah dan hukum syarak akan menyebabkan proses pembentukan karakter pelajar menjadi mudah berubah mengikut arus global dan gaya semasa. Maka, penilaian antarabangsa seperti PISA bukanlah standard atau ukuran utama dan cukup untuk mengukur kemenjadian pelajar yang bersahsiah tinggi.
Di peringkat kebangsaan pula, Kementerian Pendidikan (KPM) telah memperkenalkan Kurikulum 2027 pada November 2025 yang menumpukan pembentukan karakter murid sebagai teras utama pendidikan negara. Pembentukan karakter akan menjadi tunjang kepada keseluruhan kurikulum baharu yang akan dilaksanakan merentas semua subjek oleh semua guru.
Namun persoalannya, apakah asas yang menentukan karakter, sahsiah dan nilai tersebut? Sebagai Muslim, adakah cukup kita menerima ukuran karakter berdasarkan nilai yang ditentukan oleh sistem pendidikan semasa seperti PISA atau Kurikulum 2027, atau kita perlu kembali kepada neraca Islam yang membentuk manusia berdasarkan aqidah dan hukum syarak?
Dalam Islam, prinsip yang paling utama dalam pembentukan sahsiah atau karakter pelajar adalah pendidikan tidak boleh dipisahkan daripada sistem kehidupan yang menyeluruh (kaffah). Pendidikan tidak boleh dipandang daripada sudut ekonomi sahaja dan mengabaikan atau memandang ringan aspek kehidupan yang lain.
Sahsiah Islam diukur melalui dua komponen utama iaitu pertama, Aqliyah Islamiyah (cara berfikir). Pelajar mesti menjadikan akidah Islam sebagai satu-satunya penentu/ standard untuk menilai dan membuat keputusan dalam sesuatu perkara. Yang kedua ialah Nafsiyah Islamiyah (cara bersikap) iaitu kecenderungan jiwa, emosi, dan tingkah laku yang mesti dipandu sepenuhnya oleh hukum syarak. Pelajar perlu memahami konsep halal dan haram serta baik dan buruk mengikut standard Islam.
Sistem pendidikan yang bertujuan untuk membentuk sahsiah Islam bukan sekadar akan melahirkan pelajar yang cemerlang dari sudut akademik tetapi tidak terpisah daripada nilai dan hukum Islam. Maka, untuk membentuk pelajar yang memiliki sahsiah tersebut, ia tidak boleh dibebankan ke atas sistem pendidikan (sekolah) semata-mata. Ia memerlukan sinergi antara sistem pendidikan, sistem ekonomi, sistem sosial, sistem politik dan perundangan serta lain-lain.
Melalui sistem ekonomi, Islam menjamin kestabilan ekonomi dengan jaminan pemenuhan keperluan asas oleh negara supaya setiap keluarga mempunyai ruang dan masa yang mencukupi untuk menjalankan fungsi pendidikan awal di rumah.
Melalui sistem sosial pula, Islam menggariskan peranan media yang juga berfungsi untuk mendidik masyarakat berteraskan Islam. Pengaruh budaya buruk tidak dibenarkan untuk disebarkan dalam media.
Melalui sistem perundangan, Islam mempunyai sistem peradilan yang berfungsi sebagai pencegah (zawajir) dan penebus (jawabir) untuk membentuk sahsiah manusia. Jika sistem perundangan tidak cukup kuat untuk mengawal manusia, maka proses pendidikan di rumah dan sekolah seperti sia-sia.
Di sinilah terlihat bahawa masalah pendidikan bukan sekadar soal pencapaian PISA, kurikulum atau kaedah pembelajaran, tetapi berkait dengan matlamat pendidikan dan seluruh sistem kehidupan yang melatari sistem pendidikan tersebut.
Kesimpulannya, pendidikan adalah sebahagian daripada keseluruhan sistem kehidupan manusia, masyarakat dan negara. Untuk melahirkan insan yang berkeperibadian (bersahsiah) tinggi iaitu mereka yang benar-benar berfikir dan bersikap berdasarkan Islam, pendidikan perlu dibina atas asas akidah Islam dan dilaksanakan dalam kerangka Islam secara menyeluruh (kaffah) bersama sistem ekonomi, sosial, politik, perundangan dan pemerintahan yang selari dengan Islam.
Justeru, PISA boleh menjadi salah satu maklumat untuk menilai aspek tertentu pencapaian akademik, tetapi ia tidak seharusnya dijadikan neraca utama kejayaan pendidikan. Neraca hakiki bagi pendidikan Islam ialah sejauh mana keseluruhan sistem kehidupan pendidikan mampu membentuk generasi yang berilmu, beramal dan menjadikan Islam sebagai asas pemikiran serta perbuatannya.
#PendidikanMalaysia

