Dia Bertolak Ansur Dan Bersikap Pemaaf Terhadap Mereka
Wanita Muslimah yang benar-benar berpegang pada ajaran Islam sentiasa bertolak ansur dengan sahabat dan saudara perempuannya serta tidak menyimpan dendam terhadap mereka. Jika dia berasa marah terhadap salah seorang daripada mereka, dia menahan kemarahannya dan memaafkan kesalahan tersebut dengan hati terbuka, tanpa menganggap perbuatan memaafkan itu sebagai sesuatu yang memalukan.
Malah, dia melihatnya sebagai satu amalan mulia yang dapat mendekatkan dirinya kepada Allah SWT : (“…orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” [TMQ Ali Imran (3):134]
Jika seseorang memendam kemarahannya yang sedang membara dan tidak memaafkan, kemarahan itu akan berubah menjadi rasa dendam dan kebencian, yang ia jauh lebih berbahaya daripada kemarahan itu sendiri. Apabila seseorang memaafkan dan melupakan kesalahan tersebut, api kemarahannya akan terpadam dan jiwanya dibersihkan daripada kesan amarah dan kebencian.
Inilah tahap ihsan yang meraih kasih sayang Allah SWT bagi mereka yang mencapainya : (. . . “ Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara baik.” [TMQ Ali Imran (3):134]
Wanita Muslimah yang benar-benar berpegang teguh pada ajaran Islam tergolong dalam kalangan muhsinin. Dia tidak membiarkan kemarahan terus membara di dalam hatinya kerana dendam yang dipendam merupakan beban yang sangat berat bagi jiwa; sebaliknya, dia segera memaafkan dan melupakan kesalahan tersebut, lantas dia membebaskan dirinya daripada beban tersebut serta memenuhi jiwanya dengan ketenangan dan kedamaian fikiran.
Antara perkara yang dapat membantu wanita Muslimah mencapai tahap ihsan yang tinggi ini ialah dengan pengetahuan (kesedaran) bahawa memaafkan saudaranya bukanlah sesuatu yang menghinakan atau memalukan, sebaliknya perbuatan tersebut akan mengangkat darjat dan kemuliaannya di sisi Allah SWT.
Seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW: “Tidaklah Allah menambahkan bagi seorang hamba dengan pemberian maafnya (kepada saudaranya) kecuali kemuliaan. Dan tidaklah seseorang merendah diri kerana Allah melainkan Allah meninggikan darjatnya.” [HR Muslim]
Sumber : “The IDEAL MUSLIMAH : The True Islamic Personality of the Muslim Woman.” Dr. Muhammad Ali al-Hashimi
#muslimahideal #akhlak #pemaaf

