Site icon MuslimahHTM News

[Perjanjian Antarabangsa] Rukun dan Syarat Perjanjian (Bahagian 4/4)

[Perjanjian Antarabangsa] Rukun dan Syarat Perjanjian (Bahagian 4/4)

 

Penulis: Iyad Hilal

 

(Sambungan daripada “Rukun dan Syarat Perjanjian” Bahagian 3/4.)

 

Jumhur fukaha berpendapat bahawa penetapan bagi tempoh masa sesuatu perjanjian diserahkan kepada khalifah. Tiada tempoh masa perjanjian yang tetap, asalkan tempohnya terhad. Walau bagaimanapun, sebahagian ulama Malikiyyah berpendapat bahawa tempoh masa perjanjian tidak boleh terlalu lama kerana keadaan umat Islam mungkin sudah kuat.

 

Kumpulan ini membuat istidlal bahawa Rasulullah SAW telah membuat perjanjian gencatan senjata dengan penduduk Mekah selama sepuluh tahun. Menetapkan jangka masa adalah bukti keperluan untuk menyebutkan had masa perjanjian sahaja, tetapi ia tidak menunjukkan keperluan untuk terikat dengan lamanya tempoh masa tersebut.

 

Menurut saya, pendapat yang lebih benar adalah pendapat jumhur ulama. Ini kerana hujah Imam Syafie tidak menunjukkan pada pendapat yang diambilnya, iaitu sesungguhnya ayat-ayat surah At-Taubah menunjukkan wajibnya melepaskan diri daripada orang-orang yang perjanjian dengan mereka bersifat mutlak. Begitu juga daripada orang-orang yang umat Islam tidak mempunyai perjanjian dengan mereka atau daripada orang-orang yang telah membatalkan perjanjian mereka. Terhadap mereka semua diberi tempoh empat bulan.

 

Kepada kaum-kaum yang membuat perjanjian bersifat sementara, Allah SWT telah berfirman, “Maka terhadap mereka itu penuhilah janjinya sampai tamat tempohnya.” [TMQ at-Taubah (9): 4].

 

Ayat dalam Surah At-Taubah ini tidak menunjukkan keperluan untuk mengehadkan tempoh perjanjian kepada empat bulan. Sedangkan apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam Perjanjian Hudaibiyyah tidak menunjukkan perlunya dibataskan tempoh masa perjanjian dengan tempoh masa yang sudah ditentukan di sana. Tujuan penetapan tempoh masa pada Perjanjian Hudaibiyyah adalah bahawa perjanjian-perjanjian mestilah ditetapkan had masanya dengan had masa yang jelas. Lebih dari itu, had masa yang disebutkan merupakan realiti keadaan dan situasi ketika itu yang melibatkan Rasulullah SAW, sehingga memerlukan tempoh had perjanjian tersebut adalah selama sepuluh tahun. Begitu juga halnya yang berlaku dengan perjanjian Rasulullah SAW dengan Shafwan bin Umayyah.

 

Dengan demikian, perjanjian mesti ada tempoh masa tertentu yang diketahui dan menyerahkan urusan ini kepada khalifah untuk menentukan tempoh yang dianggap sesuai bagi penyebaran dakwah. Jadi, khalifahlah yang berhak menetapkan tempoh masa perjanjian yang dirasakan sesuai. Dengan syarat bahawa masa yang telah ditetapkan itu tidak termasuk masa yang bersifat kekal, seperti tempoh masa 99 tahun dalam perjanjian konsesi minyak dan gas. Tempoh seperti ini termasuk tempoh yang bersifat kekal dan tidak boleh disepakati.

 

Berkaitan dengan perjanjian konsesi (kontrak perlombongan/minyak/gas) yang termasuk perjanjian yang diharamkan, bukan sahaja dilihat dari segi tempoh perjanjian sahaja. Tetapi yang paling penting ialah bahawa perjanjian konsesi itu memberi kuasa kepada orang kafir untuk menguasai negeri-negeri umat Islam dan mengehadkan kuasa Negara Islam di kawasan konsesi.

 

Bukti-bukti telah menunjukkan bahawa syarikat-syarikat minyak dan perlombongan asing telah bertindak di kawasan konsesi seolah-olah seperti negara dalam negara. Ini tidak dibenarkan menurut syarak.

 

Dengan melihat kembali sejarah perjanjian-perjanjian yang telah dibuat oleh umat Islam dengan umat selain mereka pada pelbagai zaman, jelaslah bagi kita bahawa umat Islam sentiasa mematuhi perkara itu. Perjanjian-perjanjian yang dibuat bersifat sementara dengan tempoh masa yang telah ditetapkan. Contohnya, Perjanjian Ramlah yang dibuat oleh Salahuddin al-Ayyubi dengan Kaum Salib yang menyebut bahawa tempoh gencatan senjata adalah selama tiga tahun, bermula sejak 22 Syaa’ban 588 H (2 September 1192 M).

 

Dalam perjanjian yang dibuat oleh Bibris dengan Kerajaan Beirut yang tempohnya selama sepuluh tahun, tertulis: ‘bahawa telah ditetapkan perjanjian gencatan senjata yang diberkati antara Sultan Raja Adh-Dhahir Ruknuddin Bibris dengan Kerajaan yang dijaga dan dibanggakan… Ratu Beirut dan semua pemimpinnya… selama sepuluh tahun berturut-turut, yang bermula pada hari Khamis, 6 Ramadan 667 H (19 Mac 1580 M)’.

 

Dengan menerapkan hukum syarak pada realiti kehidupan umat Islam sekarang ini, maka jelaslah bahawa perjanjian-perjanjian yang negara-negara di sekitar Israel tandatangani pada 1947 M adalah perjanjian-perjanjian yang rosak. Ini kerana perjanjian-perjanjian itu bersifat kekal, bukan sementara. Tambahan pula, perjanjian-perjanjian tersebut tidak memenuhi syarat-syarat lain yang disyaratkan oleh Islam agar perjanjian itu sah. Kami akan membincangkan hal ini secara berasingan apabila kita mempelajari perjanjian-perjanjian yang diharamkan.

 

Sesungguhnya orang yang mempelajari dan membandingkan apa yang mengikat orang Islam sekarang ini, serta apa yang mengikat mereka pada masa lalu dalam perjanjian-perjanjian mereka dengan Kaum Salib, Tartar, dan Mongol, akan tahu perbezaan yang besar antara tindakan yang selaras dengan hukum-hukum Islam dan yang memberikan hasil positif.

 

Perjanjian-perjanjian itu adalah langkah awal untuk membebaskan negeri-negeri kita dari tangan Kaum Salib, iaitu dengan tindakan yang menolak undang-undang Islam yang memberi kesan buruk. Perjanjian damai dengan Israel sebenarnya menguatkan lagi institusi buatan dalam tubuh umat Islam.

 

Sumber: Iyad Hilal, Perjanjian-Perjanjian Antarabangsa dalam Pandangan Islam.

 

#PerjanjianAntarabangsa #DarulIslam #DarulKufur

 

Exit mobile version