Site icon MuslimahHTM News

Ketika RumahTangga Kehilangan Cinta

Ketika RumahTangga Kehilangan Cinta

 

Oleh : Ustaz M Taufik NT

 

Sesebuah rumah tangga tidak selamanya dihiasi dengan ‘bunga-bunga cinta’. Tidak sedikit cinta yang pada awalnya membara, namun seiring dengan berlalunya waktu, semakin lama semakin pudar, lalu akhirnya terpadam. Bahkan, ada kalanya cinta itu meninggalkan rasa tidak suka, sama ada disebabkan oleh keadaan fizikal yang tidak lagi sedap dipandang mata ataupun perangai yang tidak lagi mempesona. Apabila keadaan seperti ini berlaku, adakah perceraian merupakan jalan keluarnya? Ada baiknya kita renungkan bagaimana sikap orang soleh ketika berhadapan dengan keadaan sedemikian.

 

Pernah ditanyakan kepada Abu Utsman An-Naisaburi (w. 457 H),

ما أَرْجَى عملَك عندك؟

“Apakah amal engkau yang paling kau harapkan (pahalanya)?”

 

 

Maka Abu Uthman bercerita:

كنت في صُبُوّتي يجتهد أهلي أن أتزوج، فآبى؛

“Ketika aku beranjak dewasa keluargaku berusaha agar aku berkahwin, tapi aku menolaknya.

 

 

فجائتني امرأة، فقالت: يا أبا عثمان، إني قد هَوَيْتُك، وأنا أسألك بالله أن تَتزَوَّجُن

Lalu datang kepadaku seorang wanita seraya berkata, ”Wahai Abu Uthman sungguh aku sangat mencintaimu, dan saya memintamu dengan nama Allah SWT agar engkau mengahwiniku.

 

 

فأحضرتْ أباها -وكان فقيرًا- فزوّجَني، وفرح بذلك،

Kemudian dia membawa bapanya—dan bapanya ini sangat miskin – maka dia menikahkan aku dengan puterinya, dan dia pun merasa gembira dengan perkahwinan tersebut.”

 

 

فلما دخلت إلي، رأيتها عَوْرَاءَ عَرْجَاء مُشَوَّهَة، وكانت لمحبتها لي تَمْنَعُني من الخروج، فأقعد حفظًا لقلبها، ولا أظهر لها من البغض شيئًا، وكأني على جمر الغَضَا[1] من بغضها، فبقيتُ هكذا خمس عشرة سنة حتى ماتت، فما من عملي شيء هو أرجى عندي من حفظي قلبها.

“Ketika dia masuk ke dalam kamar untuk menemuiku, aku melihat bahawa sebelah matanya buta, kakinya tempang dan rupanya tidak cantik. Namun, besarnya cintanya kepadaku menghalang aku daripada keluar meninggalkannya. Maka aku pun tetap duduk bersamanya demi menjaga hatinya dan aku tidak sedikit pun memperlihatkan rasa tidak suka terhadapnya. Aku berasa seolah-olah sedang duduk di atas bara api daripada kayu ghodho (sejenis kayu yang baranya mampu bertahan lama) kerana rasa tidak suka terhadap rupa fizikalnya. Aku melakukan sedemikian selama 15 tahun sehingga dia meninggal dunia. Tiada satu pun perbuatanku yang lebih aku harapkan pahalanya selain daripada usahaku menjaga hatinya.”[Imam Ibn al-Jauzi [w. 597 H], Shaid al-Khathir, hlm. 405–406, Maktabah Syamilah]

 

Mengapakah Abu Uthman sanggup bersabar menghadapi keadaan tersebut? Tidak lain kerana ada sesuatu yang lebih beliau utamakan, lebih beliau cintai dan lebih beliau harapkan daripada isterinya mahupun kesenangan duniawi untuk dirinya sendiri, iaitu keredhaan Allah SWT dan segala yang ada di sisiNya.

 

Apabila rasa cinta telah hilang, hidup terasa tidak lagi bahagia dan batin merasa menderita, perceraian sememangnya dibenarkan. Namun, jika mengingati kembali tujuan awal perkahwinan, iaitu untuk meraih keredhaan Allah SWT, maka bersabar serta terus berusaha memperbaiki keadaan yang masih boleh diperbaiki tentu lebih baik. Kebaikan tidak semestinya terletak pada sesuatu yang dapat dilihat oleh mata. Ada kalanya, kebaikan itu berupa ganjaran yang dikurniakan oleh Allah SWT.

 

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ فَإِنْ كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا

 

“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” [TMQ an-Nisaa (4) :19]

 

Lebih daripada itu, adakalanya kesabaran tersebut dibalas oleh Allah dengan dikurniakan anak-anak yang soleh daripada pasangan yang kita sanggup bersabar dengannya.

 

Berkaitan dengan surah An-Nisaa ayat 19 tersebut, Imam al Qurthubi menyatakan:

 

(فَإِنْ كَرِهْتُمُوهُنَّ) أَيْ لِدَمَامَةٍ أَوْ سُوءِ خُلُقٍ مِنْ غَيْرِ ارْتِكَابِ فَاحِشَةٍ أَوْ نُشُوزٍ، فَهَذَا يُنْدَبُ فِيهِ إِلَى الِاحْتِمَالِ، فَعَسَى أن يول الْأَمْرُ إِلَى أَنْ يَرْزُقَ اللَّهُ مِنْهَا أَوْلَادًا صالحين

 

“(Apabila kamu tidak menyukai mereka) yakni disebabkan kekurangan pada rupa atau akhlak mereka, namun tidak melakukan perbuatan keji (zina) atau kedurhakaan (nusyuz), maka dalam keadaan ini dianjurkan supaya bersabar. Hal ini kerana boleh jadi keadaan tersebut menjadi sebab Allah SWT mengurniakan rezeki melalui isteri itu berupa anak-anak yang soleh.”

 

Sebaliknya, walaupun rasa cinta masih membara, namun jika pasangan (isteri) gemar berlaku curang contohnya, maka perceraian merupakan jalan yang lebih baik daripada membiarkan perbuatan tersebut berterusan sehingga menyebabkan suami tergolong sebagai dayus, yang diancam oleh Nabi SAW tidak akan masuk syurga. Wallahu a‘lam.

 

 

#rumahtangga #keluargamuslim #cinta

 

 

 

 

 

 

Exit mobile version