Site icon MuslimahHTM News

Melaksanakan Solat Sambil Mendukung Anak yang Memakai Lampin

Melaksanakan Solat Sambil Mendukung Anak yang Memakai Lampin

 

Penulis: Yuana Ryan Tresna

 

Dibolehkan untuk menunaikan solat sambil mendukung kanak-kanak. Hujah mengenainya jelas. Solat dengan membawa najis, maka solat tersebut tidak sah. Ini juga merupakan hujah yang jelas. Antara hujah yang dikemukakan ialah sebuah hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri (RA) beliau berkata,

 

بَيْنَمَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي بِأَصْحَابِهِ إِذْ خَلَعَ نَعْلَيْهِ فَوَضَعَهُمَا عَنْ يَسَارِهِ، فَلَمَّا رَأَى ذَلِكَ الْقَوْمُ أَلْقَوْا نِعَالَهُمْ، فَلَمَّا قَضَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَاتَهُ، قَالَ: مَا حَمَلَكُمْ عَلَى إِلْقَاءِ نِعَالِكُمْ؟ قَالُوا: رَأَيْنَاكَ أَلْقَيْتَ نَعْلَيْكَ فَأَلْقَيْنَا نِعَالَنَا، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السلام أَتَانِي فَأَخْبَرَنِي أَنَّ فِيهِمَا قَذَرًا، أَوْ قَالَ: أَذًى، وَقَالَ: إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ، فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا ”

 

Ketika Rasulullah SAW sedang menunaikan solat bersama para sahabat baginda, tiba-tiba baginda menanggalkan kedua-dua selipar baginda dan meletakkannya di sebelah kiri. Apabila para sahabat melihat tindakan itu, mereka turut menanggalkan selipar masing-masing. Setelah selesai solat, Rasulullah SAW bertanya: “Apakah sebabnya kamu menanggalkan selipar kamu?” Mereka menjawab: “Kami melihat engkau menanggalkan selipar, jadi kami pun menanggalkan selipar kami.” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Jibril (AS) telah datang kepadaku dan memberitahu bahawa terdapat kotoran pada kedua-dua seliparku.” Baginda SAW menyambung: “Apabila seseorang daripada kamu datang ke masjid, hendaklah dia memeriksanya. Jika kedua-dua seliparnya tidak suci atau kotor, hendaklah dia membersihkannya dan kemudian bersolat dengan memakai selipar tersebut.” [HR. Abu Dawud, al-Darimi, dan Ahmad]

 

Berdasarkan hal inilah majoriti ulama, termasuk ulama mazhab Syafie, memahami bahawa mendukung kanak-kanak yang membawa najis akan membatalkan solat.

 

Malah, dalam hadis tersebut, najis itu berada dalam keadaan terbuka (zahir). Sekiranya najis itu tertutup, terdapat perbezaan pendapat ikhtilaf dalam kalangan ulama, termasuklah dalam kalangan ulama mazhab Syafie sendiri. Sebahagian ulama Syafi’iyyah berpendapat bahawa solat dalam keadaan membawa najis adalah sah. Hal ini kerana najis tersebut tidak keluar dan tidak menyebabkan orang yang sedang bersolat itu menjadi bernajis, sebagaimana keadaan seseorang yang bersolat sambil membawa haiwan yang mengandungi najis di dalam perutnya. [Lihat Imam al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhadhdhab, 3/150].

Perkara ini juga telah dijelaskan oleh Syeikh Said bin Muhammad al-Hadhrami al-Syafie dalam kitab beliau, Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah atau yang lebih dikenali sebagai Busyra al-Karim bi Syarh Masa’il al-Ta’lim seperti berikut:

 

أما حمل الحي فلا يضر إن لم يعلم نجاسة بظاهره، ولا نظر لنجاسة باطنه لحمله صلى الله عليه وسلم أمامه بنت بنته في الصلاة، إذ لا يترتب على نجاسة الباطن حكم حتى تتصل بالظاهر أو يتصل بها ما بعضه بالظاهر.

 

“Berkenaan perbuatan mendukung atau membawa seseorang yang masih hidup (seperti kanak-kanak) semasa solat, ia tidak menjadi masalah selagi tiada najis yang nyata dan kelihatan. Tambahan pula, tidak perlu menyelidik tentang kewujudan najis yang tidak kelihatan, selaras dengan amalan Rasulullah SAW yang mendukung Umamah, cucu perempuan baginda ketika menunaikan solat. Hal ini kerana najis yang tidak kelihatan tidak membawa sebarang hukum selagi ia tidak bersentuhan dengan bahagian tubuh yang terdedah atau permukaan lain yang kelihatan (seperti pakaian dan sebagainya).”

 

Walau bagaimanapun, pandangan majoriti cenderung melarang solat sambil membawa najis (kekotoran), walaupun ia tertutup sama seperti kes solat sambil mendukung bayi yang memakai lampin kotor. Oleh itu, adalah lebih baik untuk menukar lampin anak sebelum membawanya bersama semasa solat. Jika terdapat tanda-tanda anak telah membuang air kecil atau besar semasa solat, lebih baik anak itu diletakkan sahaja. Pendekatan ini lebih selamat bagi mengelakkan perkara yang menjadi pertikaian ulama (al-khuruj ‘an al-khilaf).

 

Sebagai alternatif, selaras dengan prinsip fiqh, seseorang boleh berpegang pada perkara yang pasti dan mengabaikan perkara yang meragukan (syak). Ini bermakna jika lampin terasa berat dan penuh dengan najis, ia tidak sepatutnya dibawa kerana berpotensi membatalkan solat. Namun, jika lampin baru sahaja ditukar dan seseorang yakin anak itu belum mengotorinya, maka tiada masalah.

Exit mobile version