Kapitalisme Menjejaskan Pandangan Tentang Perkahwinan dan Kelahiran.
Oleh: Syamsiyah Jamil
Aktivitis Muslimah Malaysia, Puan Iman Farhana membongkar realiti bahawa sistem kapitalisme telah menjejaskan pandangan masyarakat tentang perkahwinan dan kelahiran.
“Sistem kapitalis sudah menjejaskan orang, menjejaskan kita melihat perkahwinan yang penuh dengan tanggungjawab ini sehingga akhirnya ramai orang memilih untuk berkahwin lebih lambat kerana nak tunggu stabil dulu. Akibat daripada situasi ini, menyebabkan kadar kelahiran menurun,” katanya dalam Bicara Muslimah Online bertajuk Krisis Kelahiran: Sistem yang Gagal Menyokong Keluarga dalam saluran YouTube Fikratul Ummah, Sabtu (3/10/2026).
Beliau berkata demikian bagi menunjukkan satu situasi di mana generasi hari ini takut pada perkahwinan dan mendorong kepada masalah penurunan kelahiran di Malaysia. Beliau mengaitkannya dengan pandangan hidup seseorang dalam sistem kapitalisme.
“Kapitalisme adalah sistem ekonomi yang mengutamakan pemilikan persendirian dan membenarkan seseorang itu kaya dengan apa jua cara selagi tidak melanggar undang-undang negara,” jelasnya.
Sambungnya, “Ideologi kapitalisme merupakan pemikiran yang memberikan kebebasan kepada kita untuk melakukan apa sahaja untuk meraih keuntungan material. Jadi apabila seseorang dah tertancap pemikiran kapitalis, maka dia akan berfikir apa yang menguntungkan dia, dia akan kejar dan apa yang merugikan dia, dia akan tinggalkan.”
Beliau menyatakan bahawa seorang Muslim tidak terkecuali daripada terjerat dalam pemikiran kapitalisme samada sedar atau tidak.
“Kita solat, kita puasa tetapi cara hidup kita, cara pandang kita terhadap perkahwinan, cara pandang kita terhadap rezeki, cara pandang kita terhadap kehidupan itu adalah tentang untung rugi sahaja. Itulah kapitalis,” tegasnya.
Apabila Muslim memandang untung rugi sebagai pegangan hidup, beliau memperlihatkan bahawa Muslim itu akan menafsir kejayaan mengikut kayu ukur kapitalis.
“Seseorang dianggap berjaya apabila menjadi kaya, apabila berharta. Jadi prinsip Islam bahawa setiap manusia itu dia ada rezeki masing-masing dianggap tidak relevan,” ujarnya.
Beliau memperlihatkan bahawa cara pandangan hidup tersebut mempengaruhi persepsi manusia terhadap perkahwinan dan kelahiran.
“Kita menganggap berkahwin dan memiliki anak itu menjadi beban kerana kos hidup meningkat apabila berkeluarga,” tuturnya.
Beliau menambah, bila anak dianggap beban kerana terpaksa bekerja siang dan malam untuk menanggung pelbagai kos, maka perkahwinan dianggap merugikan dan disalah fahami.
“Untung rugi ini menjadi standard dalam sistem kapitalis. Jika sesuatu itu menguntungkan dan membawa manfaat, maka wajarlah untuk dikejar. Sebab itu timbul pertimbangan pada hari ini sama ada perkahwinan itu menguntungkan ataupun tidak. Hakikatnya memang perkahwinan tu sendiri menyebabkan bebanan bertambah, kos hidup meningkat,” katanya.
Lanjutnya, “Perkahwinan bukan lagi sesuatu yang perlu disegerakan seperti yang dianjurkan oleh Islam. Kan Islam ajar kita untuk menyegerakan perkahwinan. Ramai yang rasa takut untuk menambah tanggungjawab.”
Beliau menyimpulkan, semakin kurang dan semakin lambat orang muda berkahwin, maka kadar kelahiran semakin berkurang.
“Menyebabkan ramai orang muda hari ini membuat keputusan menangguhkan perkahwinan. Apabila perkahwinan ditangguhkan, maka secara amnya kelahiran juga akan terjejas kerana tempoh kelahiran selamat bagi seorang wanita adalah sebelum umur 35 tahun,” tutupnya.
#krisiskelahiran #keluarga
Kapitalisme Menjejaskan Pandangan Tentang Perkahwinan dan Kelahiran.

