Site icon MuslimahHTM News

Pengharaman Hijab dan Niqab : Perang terhadap Islam dan Pemaksaan Asimilasi Wanita Muslim ke dalam Tamadun Barat

[Kenyataan Media] Pengharaman Hijab dan Niqab : Perang terhadap Islam dan Pemaksaan Asimilasi Wanita Muslim ke dalam Tamadun Barat

(Terjemahan)

 

Mengikuti jejak langkah para pemimpin Eropah terdahulu, dan dengan alasan untuk menjaga keselamatan serta menjamin hak-hak asasi setiap wanita dan kanak-kanak perempuan, Perdana Menteri Itali, pada hari Khamis, 24 September 2026, telah meluluskan satu dekri yang mengharamkan burqa dan niqab di sekolah. Selepas mesyuarat kerajaan, Meloni berkata bahawa pengharaman burqa merupakan “isu keselamatan”! Dia menambah, “Apabila seorang wanita, atau lebih buruk lagi, seorang kanak-kanak perempuan, dipaksa menutup wajahnya, dia dinafikan hak-hak asasi dan juga integrasi itu sendiri.” (Mosaïque FM).

 

Perancis telah membentangkan rang undang-undang yang mengharamkan niqab kepada Senat pada 14 September 2010, dengan alasan bahawa adalah mustahil untuk mengenal pasti seseorang yang wajahnya ditutup, sehingga menimbulkan pelbagai masalah dan kebimbangan di tempat-tempat awam. Undang-undang tersebut kemudiannya diluluskan pada 11 April 2011, dan larangan itu dilaksanakan di tempat-tempat awam, termasuk jalan raya, taman awam, stesen kereta api dan kedai. Denda sebanyak €150 ($216) dikenakan terhadap mana-mana wanita yang melanggar undang-undang tersebut.

 

Niqab juga diharamkan di Belgium pada tahun 2011, dan masing-masing di Bulgaria, Austria dan Denmark pada tahun 2016, 2017 dan 2018. Switzerland mengikutinya pada tahun 2025, manakala Portugal turut menyertai mereka dengan menguatkuasakan larangan tersebut di bawah undang-undang baharunya pada September 2026. Belanda juga telah mengharamkan niqab di institusi awam seperti sekolah, pejabat kerajaan, hospital dan pengangkutan awam, manakala Norway mengenakan sekatan terutamanya di institusi pendidikan. Sementara itu, negara-negara seperti Jerman, Sepanyol dan Itali melaksanakan peraturan khusus yang terhad kepada tempat, institusi atau keadaan tertentu.

 

Perancis, negara yang kononnya menjunjung kebebasan, terus menyasarkan wanita Muslim yang memakai hijab. Ahli-ahli politiknya mengeksploitasi isu ini sebagai alat pilihan raya untuk meraih sebanyak mungkin undi. Parti Perhimpunan Nasional Perancis, parti berhaluan kanan jauh yang dipimpin oleh Marine Le Pen, telah mengesahkan hasratnya untuk mengenakan hukuman denda terhadap pemakaian hijab di tempat awam sekiranya ia berkuasa pada tahun 2027. Sebaliknya, pemimpin sayap kanan Perancis itu tidak melihat sebarang masalah untuk bergambar bersama seorang biarawati Kristian yang memakai penutup kepala tradisional dan pakaian biarawati ketika lawatan bersejarah Pope Leo XIV pada 1 Oktober bulan ini. Malah, Ahli Parlimen Eropah daripada Perhimpunan Nasional, Matthieu Valet, menyertakan gambar tersebut dengan kata-kata, “Kebangkitan indah Perancis,” ketika berkongsinya di platform X.

 

Austria juga telah menyertai trend ini. Pada September ini, negara tersebut mengharamkan kanak-kanak perempuan di bawah umur 14 tahun daripada memakai hijab di sekolah awam dan swasta. Pelanggaran berulang boleh menyebabkan ibu bapa atau penjaga dikenakan denda antara €150 hingga €800.

 

Bahkan negara-negara majoriti Muslim juga berkeras untuk menampilkan diri sebagai model sekular moden. Hal ini baru-baru ini dapat dilihat di Azerbaijan, yang memperketat sekatan terhadap pemakaian hijab pada penghujung September selepas mengeluarkan peraturan baharu yang mengawal pakaian seragam sekolah di institusi pendidikan awam. Negara itu mendakwa bahawa dasarnya tidak menyasarkan Islam, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha menguatkuasakan undang-undang pendidikan dan memelihara sifat sekular institusi pendidikan. Ia juga mendakwa bahawa langkah-langkah tersebut bertujuan mencegah eksploitasi politik terhadap agama dan melindungi ketenteraman awam daripada kecenderungan ekstremis!

 

Wahai kaum Muslimin!

 

Negara-negara Barat berlumba-lumba melancarkan perang terhadap wanita Muslim dan menyekat kebebasan mereka, yang mana hal ini bertentangan sepenuhnya dengan dakwaan mereka untuk menjaga hak dan kebebasan serta slogan-slogan yang mereka laungkan. Tindakan Barat terhadap wanita Muslim melalui pengharaman hijab dan niqab sebenarnya mendedahkan ketakutan mereka terhadap Islam dan penyebarannya. Ini merupakan suatu usaha bersungguh-sungguh untuk memelihara sifat sekular negara dan mempertahankan konsep-konsep tamadun Barat. Ia juga mencerminkan percanggahan dalam tindakan negara-negara ini, yakni, mereka mengetepikan apa yang mereka sebut sebagai kebebasan peribadi setiap kali mereka merasakan adanya ancaman terhadap kedaulatan mereka atau bahaya terhadap sekularisme mereka.

 

Wahai kaum Muslimin, dan wanita Muslim di Barat!

 

Perang terhadap hijab dan niqab merupakan perang ketamadunan terhadap Islam, sekalipun mereka berusaha menghapuskan ciri-cirinya dengan dalih “menjaga keselamatan” atau “mempertahankan kanak-kanak perempuan yang telah dinafikan kebebasan memilih (freedom of choice) mereka”! . Walau bagaimanapun, alasan ini akan segera tersingkap, dan semua topeng akan turut jatuh bersamanya, lalu menampakkan wajah-wajah yang dipenuhi kebencian terhadap Islam dan umatnya. Kalianlah orang-orang yang berpegang teguh kepada agama kalian, seperti seseorang yang menggenggam bara api di tangannya. Kalianlah orang-orang yang berjuang dalam pertempuran untuk terus teguh dan memelihara konsep-konsep agama kalian. Jangan biarkan mereka mengasimilasikan anak-anak lelaki dan perempuan kalian ke dalam tamadun mereka. Sebaliknya, perkukuh dan tanamkan budaya Islam dengan kukuh dalam hati mereka.

 

Oleh itu, gagasan bahawa negara sepatutnya bersikap neutral terhadap agama pada asasnya adalah salah. Kita akan terus menjadi pihak yang dipaksa tunduk kepada tekanan dan pengaruh dalam sistem antarabangsa ini selagi kita tidak mengambil Islam serta berusaha mengembalikan pelaksanaannya secara menyeluruh melalui penegakan Khilafah berdasarkan manhaj Kenabian (Khilafah `ala Minhaj Nubuwwah).

 

Dalam negara seperti itu (Khilafah), kita tidak akan tunduk kepada pihak asing; sebaliknya, kita akan berdiri setara dengan mereka. Kita tidak akan menunggu ihsan atau merayu simpati daripada negara-negara Barat yang menganggap hijab sebagai suatu kezaliman terhadap wanita atau sekadar persoalan kebebasan peribadi. Sebaliknya, kita memandangnya sebagai ketundukan dan pengabdian kepada Allah, Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi.

 

Bahagian Muslimah
di Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir

 

 

#HijabIsOurPride #RejectSecularism #Hijab

 

Exit mobile version