Dia Tidak Meninggalkan Atau Mengabaikan Saudaranya
Muslimah yang benar-benar memahami Islam tidak mengabaikan hakikat bahawa Islam, selain menggalakkan ukhuwah dan saling berkasih sayang, turut melarang sesama muslim daripada saling membenci atau memutuskan hubungan silaturrahim. Islam menjelaskan bahawa dua orang yang benar-benar saling mencintai kerana Allah SWT tidak akan terpisah hanya disebabkan kesalahan kecil yang dilakukan oleh salah seorang daripada mereka. Hal ini demikian kerana ikatan kasih sayang yang terjalin kerana Allah SWT begitu kukuh sehingga tidak mudah terlerai hanya disebabkan perkara-perkara kecil sedemikian.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah dua orang saling mencintai kerana Allah SWT atau kerana Islam, lalu keduanya dipisahkan (putus hubungan), melainkan disebabkan oleh dosa yang dilakukan oleh salah seorang daripada mereka.” [HR Bukhari].
Kemarahan boleh menguasai wanita ketika emosinya memuncak lalu menyebabkan dia menyakiti hati saudaranya sehingga menimbulkan perasaan benci dan perselisihan antara mereka. Dalam keadaan sebegini, Muslimah tidak seharusnya lupa bahawa Islam tidak mengabaikan fitrah manusia yang mudah dipengaruhi oleh perubahan emosi. Oleh itu, Islam telah menetapkan tempoh masa tertentu agar kemarahan itu reda, iaitu selama tiga hari. Setelah tempoh tersebut berlalu, kedua-dua pihak yang sedang berselisih tidak seharusnya menjauhkan diri atau enggan berdamai, sebaliknya hendaklah berusaha untuk memperbaiki hubungan dan kembali berdamai.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak halal bagi seorang Muslim mendiamkan saudaranya lebih dari tiga malam (hari). Keduanya bertemu, lalu yang satu berpaling dan yang lain pun berpaling. Dan yang lebih baik di antara keduanya ialah yang memulakan salam dahulu.” [HR Bukhari dan Muslim]
Perkataan “Muslim” dalam hadis seperti ini jelas merangkumi lelaki dan wanita. Hadis-hadis tersebut mengandungi panduan yang mengatur kehidupan individu, keluarga dan masyarakat dalam kehidupan umat Islam.
Oleh itu, dapat kita lihat bahawa Muslimah yang jiwanya telah dibentuk oleh Islam tidak akan berterusan memulaukan saudaranya sesama Muslim, walau apa pun alasannya. Sebaliknya, dia akan segera berusaha berdamai dan terlebih dahulu memberi salam kepada saudaranya, kerana dia mengetahui bahawa yang terbaik antara mereka berdua ialah orang yang terlebih dahulu memberi salam. Sekiranya saudaranya membalas salam tersebut, kedua-duanya akan sama-sama memperoleh pahala atas usaha mendamaikan hubungan mereka. Namun, jika salam itu tidak dibalas, maka orang yang memberi salam telah terlepas daripada dosa memutuskan hubungan dengan saudaranya, manakala orang yang enggan menjawab salam itu akan menanggung dosa tersebut seorang diri.
Sumber :
“The IDEAL MUSLIMAH The True Islamic Personality of the Muslim Woman.” Dr. Muhammad Ali al-Hashimi
#MuslimahIdeal #KeperibadianIslam

