[Perjanjian Antarabangsa] Kesan Tidak Dipenuhinya Syarat dan Unsur Perjanjian (Bahagian 1/3)
Penulis: Iyad Hilal
Kesan Tidak Dipenuhinya Syarat-Syarat dan Unsur-Unsur dalam Perjanjian Biasa
Majoriti fuqaha (ahli faqih) berpendapat bahawa kegagalan memenuhi syarat-syarat dan unsur-unsur yang ditetapkan oleh syarak dalam setiap akad akan membatalkan akad tersebut. Hal ini kerana menurut mereka, sesuatu yang sesuai dengan larangan adalah batal.
Ulama Hanafi tidak sependapat dengan pandangan tersebut. Mereka membezakan antara satu keadaan dengan keadaan lain. Jika sesuatu akad tidak dibenarkan oleh syarak, seperti jual beli mulamasah dan munabazah, akadnya menjadi batal. Namun, jika akadnya sesuai dengan syarak, tetapi larangannya terdapat pada sifat, syarak hanya menganggap akad itu buruk. Dalam keadaan ini akad tidak batal, hanya fasid (rosak) sahaja, seperti akad terhadap barang yang tidak ada (majhul). Mereka berpendapat bahawa fasid akan sirna dengan hilangnya sebab.
Oleh itu, penentuan barang secara jelas dalam contoh di atas akan menjadikan akad itu sah. Maka, jika sesuatu akad itu sesuai dengan syarak dari sisi asal dan sifatnya, tetapi larangan datang daripada selain keduanya, akad itu sah serta tidak batal dan fasad. Kesan larangan terhadap akad itu hanya terbatas pada karahah at-tahrim (makruh yang hampir kepada haram) jika dilakukan, seperti larangan untuk mengkhitbah (melamar) seorang wanita yang sudah dilamar oleh orang lain. Lamaran tersebut sah, tetapi pelakunya berdosa.
Asas perbezaan pendapat di antara para fuqaha adalah dalam perkara muqtadha an-nahi. Jumhur berpendapat bahawa nahi (larangan) akan mengakibatkan batalnya akad. Mereka tidak membezakan antara perbuatan yang batil dengan fasid. Oleh itu, sesuatu akad itu boleh jadi akad yang batil, fasid, atau sahih. Para ulama Hanafi berpendapat bahawa larangan tidak semestinya menyebabkan sesuatu akad menjadi batal. Kadangkala hanya mengakibatkan batal, kadangkala mengakibatkan fasad. Kesan larangan itu tidak sampai mengakibatkan dosa di akhirat. Dengan demikian, sesuatu akad itu boleh menjadi batil, fasid, atau sahih.
Dalam perkara ini, pendapat yang saya anggap lebih kuat adalah pendapat para ulama Hanafi. Hal ini kerana, larangan terhadap sesuatu perbuatan yang pada asalnya tidak dibolehkan oleh syarak tentu berbeza dengan larangan terhadap sesuatu perbuatan pada sifat yang dianggap buruk oleh syarak. Berdasarkan hal ini, tidak wajar ganjaran dalam kedua hal ini sama, iaitu batal. Sebaliknya, natijahnya hendaklah wajib berbeza kerana tahap pelanggarannya juga berbeza.
Sekiranya kita menyamakan akibat bagi semua keadaan yang dilarang tanpa mengambil kira sebab larangan tersebut, maka kita telah menyamakan akidah yang sempurna dan lurus dengan akidah yang mempunyai kekurangan.
Kesan Akad yang Mengandungi Syarat Fasid
Para fuqaha berbeza pendapat dalam isu ini. Perbezaan pendapat mereka tertumpu kepada dua perkara. Pertama, mereka berbeza pendapat mengenai penetapan syarat yang fasid sehingga mereka berbeza pendapat pula mengenai kesan syarat ini terhadap akad. Kami akan mengemukakan satu contoh mudah daripada pendapat para fuqaha di dalam isu ini. Kemudian, kami akan membincangkan pendapat-pendapat tersebut bagi mencapai pendapat yang rajih (kuat).
Golongan Hanafiyah berpendapat bahawa setiap syarat dalam akad adalah fasid (rosak), kecuali dalam keadaan yang dituntut oleh akad itu sendiri seperti penjual mestilah memiliki barang yang dijual, atau syarat yang menjadi keperluan akad seperti penjual meminta barangan jaminan atau penjamin daripada pembeli untuk pembayaran harga. Pengecualian ini juga merangkumi adat kebiasaan dalam muamalah manusia, contohnya seseorang membeli kain daripada tukang jahit dengan syarat kain itu dijahit olehnya sendiri. Selain daripada tiga jenis syarat yang dikecualikan tersebut, semua syarat lain dianggap fasid.
Menurut mazhab Hanafi, syarat yang fasid akan merosakkan akad, kecuali apabila syarat tersebut tidak memberi sebarang manfaat kepada mana-mana pihak. Contohnya, orang yang membeli haiwan dengan syarat tidak menjualnya kepada orang lain. Akad tersebut dalam hal ini sah, tetapi syaratnya batal. Sedangkan ulama Syafie’iyyah berpendapat dengan pendapat yang sama, iaitu bahawa setiap syarat dianggap batil, kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu (pengecualian) seperti yang dinyatakan oleh para ulama Hanafi.
Namun demikian, mereka berbeza pendapat dengan ulama Hanafiyyah dalam kesan syarat yang rosak terhadap akad. Mereka berpendapat bahawa syarat-syarat yang rosak akan membatalkan akad dalam semua keadaan, kecuali jika syarat tersebut tidak memiliki tujuan dan tidak memberikan manfaat kepada sesiapa pun, akad akan menjadi sah. Akad akan terbatal sebagai contoh apabila seseorang yang menjual sesuatu lalu mensyaratkan supaya barang tersebut tidak dimakan, kecuali seperti dia memakannya. Syarat-syarat ini fasid (rosak), tetapi tidak membatalkan akad.
Para ulama Malikiyyah berpendapat bahawa syarat-syarat yang rosak bertentangan dengan kandungan akad, seperti syarat tidak bolehnya melakukan sesuatu terhadap barang yang dibeli. Selain dari (persyaratan) itu, maka dianggap syarat yang sah. Mereka berpendapat bahawa syarat yang rosak kadangkala akan membatalkan akad, seperti syarat dari wahib (orang yang memberikan hibah) agar mauhub ‘alaih (orang yang diberi hibah) tidak mengambil hibah itu.
Kadangkala juga ia hanya membatalkan syaratnya sahaja, seperti syarat dari shahibul wadi’ah (orang yang menitipkan barang) agar hafidh (penjaga barang yang dititipkan) menjamin kerosakannya. Dalam keadaan tertentu, syarat yang rosak boleh membatalkan akad dan syarat sekaligus, kecuali jika pihak yang memberikan syarat mahu menarik kembali syarat tersebut, akadnya akan menjadi sah. Contohnya, syarat penjual kepada pembeli agar tidak menjual semula barang yang dibelinya.
Para ulama Hanabilah berpendapat bahawa pada asalnya dari syarat-syarat itu adalah sah, kecuali jika ia bertentangan dengan kandungan akad. Contohnya, seseorang yang menjual sesuatu dengan syarat agar pembeli tidak menjual semula barang yang telah dibelinya. Pengecualian yang lain ialah apabila terdapat nas khusus yang melarangnya, seperti mengumpulkan antara jual beli dan salaf. Pendapat yang kuat menurut ulama Hanabilah adalah bahawa syarat yang rosak tidak berlaku dan akad tetap sah.
Inilah ringkasan pandangan empat mazhab berkaitan dengan syarat yang rosak dan kesannya pada akad. Daripada keseluruhan pandangan tersebut, saya menganggap yang lebih rajih (kuat) adalah pendapat Hanbali yang menyebutkan bahawa syarat yang rosak adalah rosak, tetapi akadnya tetap sah. Berdasarkan pendapat ini, maka kaum muslim boleh bersepakat dengan syarat yang mereka kehendaki selama tidak bertentangan dengan kandungan akad atau terdapat nas khusus yang mengharamkan syarat tersebut.
Sumber: Iyad Hilal, Perjanjian-Perjanjian Antarabangsa dalam Pandangan Islam.
Bersambung ke “Kesan Tidak Terpenuhinya” Bahagian 2/3.
#PerjanjianAntarabangsa #DarulIslam #DarulKufur

