Site icon MuslimahHTM News

Cinta, Taat dan Merdeka

Cinta, Taat dan Merdeka

 

Oleh: Muhammad Rahmat Kurnia

 

Cinta. Orang muda pada tahun 80-an mengatakan cinta adalah singkatan untuk cerita indah tiada akhir. Kawan saya mengatakan bahawa, “Cinta itu licin tapi nyata.”

 

Tentu, itu hanyalah cinta sebagai ungkapan main-main yang tidak bermakna. Jauh daripada itu, menarik syair ungkapan cinta yang disebutkan oleh Imam Syafie dalam Dîwân al-Imâm asy-Syâfi’i. “Engkau bermaksiat kepada Allah, namun engkau mengaku mencintai Dia. Pengakuan seperti itu adalah sesuatu yang mustahil menurut ukuran cinta yang benar. Seandainya cintamu benar-benar tulus, nescaya engkau akan mentaati-Nya. Sebab, seorang pencinta pasti taat kepada apa yang dia cintai. Setiap hari Allah mengurniakan kepada kamu pelbagai nikmat-Nya, namun engkau justeru mensia-siakan kewajipan untuk mensyukuri nikmat tersebut.” Begitulah lebih kurang terjemahannya.

 

Syair ini menjelaskan bahawa bukti cinta bukanlah sekadar ucapan atau perasaan, melainkan ketaatan. Dengan demikian orang yang benar-benar mencintai Allah SWT akan berusaha menjalankan perintah-Nya dan sekuat tenaga menjauhi larangan-Nya. Key word-nya adalah taat. Tidak hairan apabila para ulama menyatakan, “Inna al-hubba thâ’ah al-habîb (Sesungguhnya cinta itu adalah mentaati yang dicintai).”

 

Dulu, pada zaman Rasulullah SAW, ada wanita dari Bani Makhzum telah ditangkap kerana mencuri. Bani Makhzum merupakan golongan terkemuka di Mekah. Khuatir aibnya terbongkar dan takut dijatuhkan hukuman, kaumnya meminta seseorang yang rapat dengan Rasulullah SAW, Usamah bin Zaid, untuk memohon keringanan daripadanya. Orang zaman sekarang menyebutnya sebagai orang dalam. Tatkala Nabi SAW mendengar perkara itu, baginda sangat marah. Baginda menegaskan hukum Islam itu adil dan berlaku sama bagi siapa pun tanpa pandang bulu. Baginda bersabda, “Demi Allah, seandainya Fatimah puteri Muhammad mencuri, nescaya aku sendiri yang akan memotong tangannya.” (HR. al-Bukhari dan Muslim).

 

Rasulullah SAW tentu sangat sayang kepada puterinya itu. Imam al-Bukhari dalam Kitab “Fadhâ’il Ashhâb an-Nabiy” dan Imam Muslim dalam Kitab “Fadhâ’il ash-Shahâbah menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Fatimah adalah sebahagian daripadaku. Apa pun yang menyakitinya, akan menyakiti aku.”

 

Hal ini mengajarkan bahawa cinta kepada anak perlu dikalahkan ketika berhadapan dengan cinta kepada Allah SWT berupa ketaatan kepada-Nya.

 

Sabda Nabi SAW di atas juga menerangkan bahawa hukum mesti diguna pakai secara sama rata; baik kepada anak bangsawan, anak menteri ataupun anak rakyat jelata. Bahkan jika berlaku, seperti kata Nabi SAW, hak itu juga berlaku bagi puteri baginda.

 

Berkaitan dengan ini, ada kisah menarik yang terjadi pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab sebagai pemimpin kaum Mukmin. Putera Amru bin al-Ash (ketika itu sebagai wali atau gabenor di Mesir) bertanding dalam perlumbaan kuda dengan seorang pemuda Mesir. Apabila kalah, anak Amru bin al-Ash itu marah, kemudian memukul pemuda tersebut sambil berkata, “Aku adalah anak orang yang mulia.”

 

Ringkas cerita, pemuda Mesir itu pergi ke Madinah untuk mengadukan peristiwa tersebut kepada Khalifah Umar RA. Susulan aduan tersebut, Khalifah Umar RA memanggil Amru bin al-Ash beserta puteranya. Setelah perkara itu terbukti, Khalifah Umar memberikan cambuk kepada pemuda Mesir itu dan mempersilakan dia untuk membalas pukulan putera Amru. Setelah pembalasan selesai, Khalifah Umar RA berkata bahawa seandainya pemuda itu ingin memukul Amru bin al-Ash sekalipun, dia tidak akan menghalangi dia. Sebab, puteranya berani bertindak demikian disebabkan oleh kekuasaan ayahnya. Akan tetapi, pemuda itu tidak mahu melakukan hal tersebut.

 

Dalam peristiwa itu, Khalifah Umar RA mengucapkan kalimat yang masyhur, “Sejak bila kalian memperhambakan manusia, sedangkan ibu-ibu mereka telah melahirkan mereka dalam keadaan merdeka?”

 

Ungkapan Khalifah Umar RA tersebut muncul dalam konteks kezaliman seorang anak menteri terhadap rakyat biasa. Dalam peristiwa tersebut jelas bahawa seorang rakyat biasa memiliki kehormatan yang sama dengan anak gabenor. Persamaan di hadapan hukum adalah salah satu indikator penting adanya kemerdekaan. Inilah kemerdekaan yang berasaskan pada ketaatan. Kemerdekaan sejati. Kemerdekaan bukan bermaksud bebas melakukan apa saja, melainkan bebas daripada penghambaan kepada makhluk sehingga hanya tunduk kepada Allah SWT. Oleh sebab itu, kemerdekaan yang hakiki tidak dapat dan tidak boleh dilepaskan atau dipisahkan daripada ketaatan kepada Allah SWT.

 

Bayangkan jika anak seorang menteri memukul rakyat, kemudian dia tidak dihukum. Bukankah rakyat sebenarnya tidak merdeka? Ketika orang kaya dapat membeli undang-undang, sedangkan orang miskin dihukum. Bukankah dalam keadaan demikian masyarakat belum merdeka? Jika penunggang motosikal tidak dapat menunjukkan lesen memandu, dia akan disaman oleh polis. Akan tetapi, seseorang berjawatan tinggi tidak dapat menunjukkan ijazah pengiktirafannya, dia tidak dihukum. Bukankah ini keadaan yang jauh daripada kata merdeka? Begitu juga ketika penguasa, anak menteri, atau wakil rakyat kebal undang-undang; sedangkan rakyat kecil dihukum berat. Bukankah yang berlaku ini adalah satu bentuk dominasi dan bukan kemerdekaan? Tatkala harta kekayaan milik rakyat diberikan kepada oligarki baik swasta mahupun asing, rakyat tidak mempunyai akses pada miliknya sendiri. Bukankah ini belum merdeka? Jadi, apabila undang-undang tajam ke bawah tetapi tumpul ke atas, ini adalah ciri-ciri suatu negeri yang belum merdeka.

 

Ucapan Khalifah Umar RA di atas mengajarkan bahawa kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi juga bebas daripada dominasi manusia atas manusia. Salah satu bentuk paling nyata daripada kemerdekaan itu adalah tegaknya keadilan sehingga undang-undang berlaku sama bagi semua orang. Ini kerana, seluruhnya tunduk pada hukum Allah. Bukan patuh pada kepentingan manusia.

 

Jadi, kata kuncinya adalah: cinta – taat – merdeka. Kemerdekaan sejati hanya ada dan lahir daripada ketaatan dan ketaatan lahir daripada kecintaan kepada Allah SWT.

WalLâhu a’lam.

 

#CintaAllah #CintaSejati #Taat #merdeka

Exit mobile version