Tiga Tahun Operasi Thufan al-Aqsa: Dunia Memerlukan Khilafah ‘ala Minhajin Nubuwwah
Penulis: Ummu Aiman
Oktober 2026 menandakan genap tiga tahun peristiwa Operasi Thufan al-Aqsa, sebuah operasi yang telah membongkar kerapuhan entiti haram Yahudi dan meruntuhkan mitos kekuatan Yahudi. Thufan al-Aqsa (bahasa Arab: طوفان الأقصى) secara harfiah bermaksud ‘Banjir al-Aqsa’ atau ‘Taufan al-Aqsa’.
Thufan (طوفان) bermaksud banjir besar, bah, atau taufan dahsyat yang meluap dan menghanyutkan apa saja yang merintanginya, sebuah istilah yang juga merujuk pada peristiwa besar dalam sejarah, seperti badai Nabi Nuh AS. Sedangkan Al-Aqsa (الأقصى) merujuk pada Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis (Al-Quds) yang menjadi simbol utama perlindungan, kesucian dan pusat perjuangan umat Islam serta bangsa Palestin.
Istilah ini digunakan untuk menggambarkan gelombang perlawanan yang besar dan mengejutkan demi membela Masjid Al-Aqsa, menghentikan sekatan di Semenanjung Gaza, serta bertindak balas terhadap pendudukan dan pencerobohan selama bertahun-tahun oleh entiti Zionis Yahudi.
Peristiwa ini menjadi simbol betapa kuatnya tekad yang berlandaskan keimanan sebuah bangsa yang sudah lama menderita di negeri sendiri selama puluhan tahun, tetapi tetap berdiri teguh walau terpaksa kehilangan rumah, keluarga dan nyawa kerana genosid. Daripada Thufan al-Aqsa, kita tahu bahawa rakyat Palestin perlu dilihat, didengar dan diperlakukan sama layaknya seperti orang lain yang mempunyai hak untuk hidup yang perlu dipenuhi, selamat dan bermartabat.
Operasi Thufan al-Aqsa menjadi pembuka daripada sebuah babak baru. Bukan hanya dalam sejarah konflik Israel-Palestin, melainkan juga dalam skala keganasan dan pembantaian di luar batas kemanusiaan yang telah dilakukan entiti Yahudi di Gaza.
Dari sisi serangan bom, entiti Yahudi telah menjatuhkan 70,000 tan bom di Gaza sejak 7 Oktober 2023 sehingga 24 April 2024 (7 bulan). Jumlah tersebut melebihi jumlah bom yang digunakan ketika Perang Dunia II. (Organisasi pemantau hak asasi manusia yang berpangkalan di Geneva, Euro-Med Human Rights Monitor). Bom-bom yang dijatuhkan entiti Yahudi itu menyebabkan hampir seluruh wilayah Gaza hancur. Jumlah ini juga jauh melebihi jumlah bom yang dijatuhkan di Dresden, Hamburg, dan London selama Perang Dunia II di mana jumlah bom yang digunakan pada masa itu adalah kira-kira 30,700 tan.
Menurut data daripada Agensi Anadolu dan laporan daripada Kementerian Kesihatan Gaza, sehingga 4 Oktober 2026 (memasuki tahun ketiga konflik), seramai 74,237 rakyat Palestin terbunuh dan 175,206 yang lain cedera akibat serangan oleh entiti Yahudi itu. Pecahan demografi, berdasarkan data OCHA sehingga akhir tahun 2025, daripada 71,444 mangsa yang dikenal pasti adalah lelaki (47.7%), kanak-kanak (29.8%), wanita (15.4%), dan warga emas (7.1%). Beribu-ribu lagi masih hilang atau tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang musnah. Jumlah kematian ini bersamaan dengan kira-kira 3.4% daripada populasi sebelum perang Gaza yang berjumlah 2.2 juta (atau kira-kira 1 dalam 30 penduduk).
Selama tiga tahun setelah peristiwa Thufan al-Aqsa, penduduk Gaza berdiri teguh di tengah-tengah runtuhan; mempersembahkan keimanan, ketakwaan, ketabahan dan kesabaran yang luar biasa kepada Allah Taala. Darah para syuhada terus mengalir di bumi Palestin dan bumi para nabi ini menjadi kuburan terbesar bagi para syuhada yang kelak akan bangkit sebagai saksi yang adil di hadapan Allah Taala.
Kenyataan Pahit
Di sebalik keberanian luar biasa para mujahidin dan rakyat Palestin, realiti paling pahit yang perlu ditelan bukan hanya kekejaman luar biasa entiti Yahudi, melainkan juga pengkhianatan yang juga dilakukan oleh para penguasa Muslim.
Selama tiga tahun Gaza dibantai tanpa sedikit pun belas kasihan, dibom tanpa henti siang dan malam, dan penduduknya diusir dari tanah air mereka sendiri, yang dilakukan oleh lebih daripada 50 penguasa Muslim dari negara-negara Arab dan dunia Islam hanyalah berdiam diri. Mereka hanya menjadi penonton dan penghitung jumlah mangsa. Lebih buruk lagi, sebahagian daripada mereka bahkan menjadi kaki tangan entiti Yahudi dalam kejahatan genosid paling kejam sepanjang sejarah kemanusiaan.
Selama tiga tahun juga, bahkan sebenarnya sudah lebih daripada 78 tahun, jika ada di antara para penguasa Muslim yang bersuara, suara mereka tidak lebih daripada kecaman kosong dan retorik semata untuk membungkam rakyat mereka agar tidak mengkritik mereka. Terkadang suara mereka terdengar keras dan pidato mereka berapi-api kerana masing-masing sedang berlumba-lumba meraih penghargaan sebagai pahlawan terbaik di atas pentas sandiwara dunia.
Selama ini, apatah lagi jika dihitung dari Perjanjian Balfour 1917 yang bermaksud sudah 109 tahun, kita menyaksikan sidang kemuncak demi sidang kemuncak, sama ada melalui PBB, OIC, Liga Arab, atau pelbagai mesyuarat tergempar lain yang mereka adakan melalui pelbagai platform, yang semuanya kosong daripada tindakan sebenar: untuk membebaskan Palestin daripada kekejaman Israel!
Kebuluran, kematian dan kehancuran yang telah menimpa Palestin, tidak membuat satu pun peluru diarahkan oleh para penguasa tersebut kepada entiti Yahudi. Mereka membiarkan tanah Israk Mikraj ini terus dikuasai oleh entiti Yahudi. Bahkan, mereka membiarkan saudara-saudara mereka dibunuh dan dibantai sesuka hati oleh kaum yang dilaknat tersebut, tanpa sedikit pun pembelaan daripada mereka.
Para penguasa Arab mempertahankan sempadan palsu Sykes-Picot yang diciptakan oleh kaum kafir penjajah. Para penguasa Muslim lainnya melakukan hal yang sama dengan mempertahankan sempadan negara masing-masing yang dibuat oleh penjajah, mereka rela mengorbankan nyawa saudara-saudara mereka asalkan sempadan negara mereka tetap selamat.
Pada masa yang sama, umat Islam terus ditipu dengan apa yang disebut sebagai “penyelesaian antarabangsa”. Sebahagian umat Islam, bahkan gerakan-gerakan Islam sendiri, masih bergantung kepada PBB, Majlis Keselamatan, atau Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Malah, semua ini adalah ilusi penyelesaian yang membutakan yang terbukti tidak pernah menyelesaikan masalah Palestin.
Sudah sepatutnya umat Islam menyedari bahawa mengharapkan keadilan atau penyelesaian daripada Barat, institusi-institusi, mahupun undang-undang antarabangsa yang mereka ciptakan, ibarat menyerahkan nasib sekawanan biri-biri kepada serigala yang lapar.
Penyelesaian Lengkap yang Mesti Diwujudkan Umat Islam
Apa yang terjadi di Palestin ini menyedarkan kita bahawa umat ini perlu bersatu. Umat ini perlu memiliki pelindung dan pemimpin yang satu. Sempadan khayalan negara buatan penjajah berupa nasionalisme yang telah menjadikan umat ini lemah dan tercerai-berai, mesti dihapuskan.
Oleh kerana itu, umat sangat memerlukan seorang khalifah, pemimpin kaum Muslim di seluruh dunia. Rasulullah ﷺ bersabda, “Imam (khalifah) adalah perisai, di belakangnya kaum Muslim berperang dan berlindung.” (HR. Bukhari-Muslim).
Khilafah adalah kepimpinan global kaum Muslim untuk menerapkan syariat Islam dan mengembangkan dakwah ke seluruh dunia. Khilafah akan menyatukan seluruh umat Islam dengan landasan akidah Islam. Khalifahlah yang akan menyerukan sekaligus memimpin langsung pasukan kaum Muslim di seluruh dunia untuk membebaskan tanah Palestin dan menyelamatkan kaum Muslim di mana pun.
Tentera-tentera Muslim di bawah kepimpinan khalifah akan menghancurkan kekuatan kufur dengan mudah dengan izin Allah Taala. Ini kerana akar masalah Palestin adalah penjajahan Zionis Yahudi yang disokong oleh negara-negara kafir penjajah Barat.
Sikap terhadap penjajah adalah satu: Usir! Dengan cara apa mengusir mereka? Sudah tentu dengan mengirim tentera-tentera Muslim. Merekalah yang akan melakukan jihad fisabilillah dan jihad hanya akan berkesan jika ia diperintahkan oleh seorang pemimpin, seorang khalifah dalam sistem Khilafah.
Inilah yang dilakukan oleh Khalifah Umar bin Khattab RA ketika menghantar tentera ke Syam untuk membebaskan Baitulmaqdis (Palestin) daripada penguasa Romawi. Setelah melalui perang berbulan-bulan, pada tahun 637 M, pasukan Romawi menyerah kalah dan kunci Baitulmaqdis diserahkan kepada Khalifah Umar oleh Patriackh Sofronius. Perkara yang sama dilakukan oleh Panglima Salahuddin al-Ayyubi ketika membebaskan kembali Baitulmaqdis daripada Tentera Salib pada tahun 1187; setelah perang yang lama dan Perang Hithin menjadi momen pembuka untuk mengalahkan Tentera Salib.
Mengapa Perlu Menghantar Tentera Islam ke Palestin?
Pertama, dalam rangka memenuhi perintah Allah Taala yang memerintahkan jihad fisabilillah ketika ada negeri Islam yang diserang, dijajah dan dizalimi. Perintah ini berlaku bagi seluruh kaum Muslim ketika usaha mengusir penjajah dan memerangi mereka belum dilakukan oleh satu negeri Islam, seperti Palestin.
Kedua, dalam perang ini, yang dihadapi oleh umat Islam sesungguhnya bukan hanya entiti Yahudi yang jumlahnya sekitar 9 juta orang dengan sekitar 600 ribu pasukan teras. Namun, yang dihadapi umat Islam adalah negara-negara Barat seperti Britain yang membidani kelahirannya, Amerika dan sekutu Eropahnya yang menjadi pelindung. Alhasil, kaum Muslim menghadapi kuasa politik global yang bersedia untuk mengerahkan kekuatan ketenteraannya.
Ketiga, akar krisis Palestin ini boleh diselesaikan hanya dengan menggerakkan dan menyatukan tentera-tentera kaum Muslim di seluruh dunia dalam satu komando seorang khalifah. Akar persoalannya adalah keberadaan entiti Yahudi yang tidak boleh diselesaikan hanya dengan bantuan kemanusiaan: sekadar membantu mangsa, tetapi tidak menghentikan penjahatnya yang terus-menerus mencederakan, bahkan membunuh mangsa. Tidak juga dengan usulan rangka kerja keamanan Barat yang dicadangkan atau “penyelesaian dua negara,” yang akhirnya membawa kepada pengiktirafan kewujudan penjajahan Yahudi seolah-olah ia adalah sebuah negara yang sah. Ini hanya boleh diselesaikan melalui jihad fisabilillah.
Khilafahlah yang akan menamatkan penjajahan, dominasi, dan hegemoni Barat atas tatanan dunia yang sudah rosak saat ini. Khilafah akan membentuk konstelasi antarabangsa baru, juga tatanan dunia baru yang adil dan makmur atas landasan Islam. Khilafah akan membebaskan umat manusia daripada segala bentuk penjajahan dan kezaliman manusia-manusia yang bertuhankan hawa nafsu, kembali kepada kehidupan yang sesuai fitrah manusia, iaitu hidup sesuai peraturan Rabbul ‘alamin, Al-Khaliq al-Mudabbir, Sang Pencipta manusia. Khilafah juga akan menguruskan kekayaan negeri-negeri dengan aturan Islam yang kebaikannya akan dinikmati oleh semua manusia, baik Muslim mahupun non-Muslim, serta seluruh alam.
Khatimah
Ada sebuah ungkapan yang menggambarkan pemahaman yang mendalam tentang kekuatan Islam yang diungkapkan oleh Lord Curzon, pegawai Pejabat Luar Negeri British ketika dia begitu percaya diri setelah menghancurkan Khilafah Islam pada tahun 1924.
“We must put an end to anything which brings about any Islamic unity between the sons of the Muslims. The situation now is the Turkey is dead and will never rise again, because we have destroyed its moral strength: The Chaliphate and Islam.”
“Kita mesti menamatkan apa sahaja yang membawa perpaduan Islam di kalangan anak-anak Muslim. Keadaannya sekarang ialah Turki telah mati dan tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah memusnahkan kekuatan moralnya: Khilafah dan Islam.” (Lord Curzon, 1924). Wallahualam bissawab.
#TufanAqsa #MenolakLupa #710 #FreePalestineWithJihadAndKhilafah

