Kidfluencer
Oleh: Noraishah Ishak
PENGENALAN
Isu kidfluencer mutakhir ini banyak diperbincangkan baik di dalam mahupun di luar negara. Manakan tidak, melalui statistik tidak rasmi, dianggarkan segmen baru dalamindustri media sosial ini bernilai lebih USD100 billion secara global setahun.
Kidfluencer merujuk kepada kanak-kanak bawah umur 18 tahun, mempunyai ramai follower di akaun platform sosial media, menghasilkan konten yang biasanya ditaja. Mereka merupakan pempengaruh cilik yang melakukan aktiviti serupa seperti pempengaruh dewasa iaitu berkongsi hobi dan minat bersama follower sambil memasarkan produk yang dipersetujui untuk diiklankan melalui persepakatan berbayar atau dikenali sebagai paid review.
Kebiasaannya, akaun sosial media kidfluencer diurusi oleh ibu bapa atau penjaga mereka kerana had umur yang melarang kanak-kanak mempunyai akaun di media sosial. Mereka akan memikirkan konten, skrip, melakukan edit dan sebagainya sebelum mempamerkan aksi atau lagak anak masing-masing di media sosial. Perkongsian mengenai anak-anak pada asalnya dilakukan ibu bapa atau penjaga bertujuan membentuk atau mencari ruang sokongan dalam pendidikan anak. Walau bagaimanapun, apabila disedari perkongsian mampu menjana pendapatan melalui persepakatan berbayar, skop perkongsian yang dilakukan akhirnya tidak lagi hanya sekadar itu malah beralih kepada cerita-cerita, gambar-gambar malah video-video lakonan mahupun koleksi peribadi anak tanpa mempertimbangkan kerelaan anak.
Perkongsian akhirnya tiada batasan dan boleh berbentuk realiti hidup dalam keluarga, pengalaman kanak-kanak bermain alat mainan dari syarikat yang membayar, perkongsian produk dan cabaran viral oleh kanak-kanak dan pelbagai lagi. Perkongsian bukan sahaja diharapkan dapat dimanfaatkan penonton sekaligus memanfaatkan pihak yang mempertonton dalam bentuk bayaran.
Bayaran boleh didapati melalui:
- Iklan pada akaun media sosial seperti Google Adsense.
- Penajaan dari bermain dengan alat permainan seperti Mattel Toys, Crayol. Bayaran boleh didapati dari segi bayaran mahupun produk percuma.
- Kerjasama dengan jenama atau merchandise (duta jenama atau jenama sendiri).
Ramai kidfluencer hari ini meraih keuntungan dan populariti. Sebagai contoh, keluarga Hobson meraih USD300,000 bagi siri Fantastic Adventures pada tahun 2018 dan Ryan Kaji meraih sehingga USD26 juta pada tahun 2019 hasil dari mempromosikan alat permainan di platform YouTube. Tidak hairanlah mengapa ramai ibu bapa mahupun penjaga cuba merebut peluang yang sama dengan menjadikan anak sebagai kidfluencer. Namun, keghairahan ini perlu dipertimbangkan sebaiknya kerana terdapat pelbagai isu yang timbul kesan membiarkan kanak-kanak menjadi kidfluencer.
ISU YANG DIKENAL PASTI TENTANG KIDFLUENCER
Kehidupan sebagai kidfluencer dilihat glamor, sentiasa seronok malah memberikan keuntungan yang banyak. Segalanya seakan-akan indah belaka. Namun sebenarnya banyak perkara yang membimbangkan mula muncul yang sedang diperhalusi dan dibincangkan oleh pelbagai pihak hari ini.
Hakikatnya kidfluencer menghadapi penindasan dan kezaliman dalam bentuk yang beragam dan amat menyedihkan lagi adalah apabila ramai diantara mereka tidak menyedarinya. Rahsia ini mula terbongkar apabila ada diantara ahli produksi konten media sosial kidfluencer mendedahkannya malah terdapat kes dimana kidfluencer sendiri mendedahkan sisi gelap yang mereka lalui sepanjang menjayakan program di platfrom akaun kidfluencer.
Di antara isu yang dikenalpasti adalah:
- Eksploitasi bayaran yang diterima oleh kidfluencer – kebanyakan bayaran yang diterima oleh kidfluencer diterima oleh ibu bapa atau penjaga mereka. Ramai diantara ibu bapa/penjaga melihat mereka lebih berhak menerima bayaran, menguruskan dan menggunakan wang bayaran hasil titik peluh Alasannya, merekalah yang memerah tenaga dari memikirkan idea konten, merekodkan (film), mengubah suai (edit) video yang direkod sehinggalah video dikongsikan ke dalam platform.
- Waktu kerja kidfluencer – Kanak-kanak ini dipaksa “bekerja” lebih masa. Mereka akan dipaksa melakonkan apa sahaja yang diarahkan oleh ibu bapa atau penjaga, menghafal dialog yang telah dirancang di mana sahaja dan pada bila-bila masa baik di luar rumah mahupun di dalam ruang peribadi seperti rumah, bilik tidur, bilik air dan sebagainya. Terdapat kes dimana ada kanak-kanak yang dipaksa “bekerja” lebih 12 jam setiap hari tanpa mengambil kira hari minggu mahupun hari bekerja.
- Waktu belajar kidfluencer – Tiada waktu yang tetap untuk kanak-kanak ini belajar. Berdasarkan isu yang disebut sebelum ini (iaitu isu kedua), terkadang ada yang tidak bersekolah langsung sehingga terganggu pembelajaran mereka.
- Privasi kidfluencer – Kebanyakan kidfluencer terlibat dalam media sosial pada umur yang sangat muda malah ada yang mula terlibat sejak lahir lagi. Kehidupan mereka dipertontonkan tanpa diambil kira momen yang dikongsikan baik berupa gambar mahupun video bersifat peribadi atau tidak dan adakah ianya atas kerelaan kidfluencer terbabit atau tidak? Ini membuatkan kanak-kanak ini terdedah kepada bermacam bentuk bahaya seperti pedofilia, netizen yang memberikan komen tanpa mengira kesan komen pada kanak-kanak tersebut, orang atau komuniti yang mengambil kesempatan ke atas mana-mana maklumat yang dikongsikan dan sebagainya.
- Kesan psikologi kidfluencer – Pendedahan kepada media sosial pada umur yang muda tanpa pemahaman konsekuensi penggunaan media sosial yang sebenar mampu memberi kesan yang negatif kepada kanak-kanak. Penerimaan komen yang negatif, perbandingan dengan kidfluencer yang lain serta pujian menjulang yang diberikan boleh memberi kesan kepada keyakinan diri, nilai harga diri dan kesejahteraan mental kanak-kanak ini. Tidak dilupakan, populariti sesaat (short-lived fame) juga boleh memberi kesan psikologi kepada mereka apabila mereka dilihat sudah tidak relevan serta tidak dapat menarik perhatian follower Begitu juga kesan psikologi anak-anak yang dipaksa, dipukul, diseksa baik secara fizikal mahupun tidak oleh ibu bapa atau penjaga mereka. Ini biasa berlaku jika mereka enggan melakukan apa yang disuruh dalam proses menghasilkan produksi konten platform media sosial mereka.
- Kesan sosial kidfluencer – Ramai kidfluencer dilihat mesra kamera (camera friendly), fotogenik dan semulajadi apabila berbicara di hadapan kamera. Ini menyebabkan mereka dilihat mudah bergaul dan mempunyai kemahiran sosial yang baik. Namun sebaliknya oleh kerana kebanyakan konten adalah dirancang, kidfluencer dipaksa melakonkan apa yang telah dirancang dengan pemahaman bahawa itulah dirinya yang sebenar. Ini berbeza dengan pelakon kanak-kanak kerana mereka sedar mereka cuma melakonkan watak tertentu. Namun, dalam kes kidfluencer, mereka memahami bahawa mereka bukan berlakon tetapi realiti kehidupan mereka direkodkan. Disini mereka tidak sedar mana yang benar (real) dan mana yang palsu (fake) seterusnya bakal menggugat cara pandang mereka tentang orang di sekeliling mereka dan kehidupan secara umumnya. Ditambah dengan like dan komen yang tidak boleh dipastikan kejujurannya boleh menyebabkan kidfluencer hilang keupayaan mengenal pasti pemangsa ataupun sahabat.
PENDEKATAN PRAGMATIK SEBAGAI USAHA MENYELESAIKAN ISU
Nasib kanak-kanak khususnya kidfluencer dalam dunia digital hari ini sebenarnya sangat dibimbangi bakal meranapkan potensi pelapis generasi ini mempersiapkan diri menghadapi kehidupan sebenar. Berdasarkan isu yang telah dikenal pasti di atas, kita tidak lagi boleh menafikan bahawa isu ini perlu dicermati dan dibincangkan dengan lebih serius agar diupayakan mekanisme menangani masalah sehingga terbela nasib kanak-kanak seluruhnya.
Kidfluencer adalah satu segmen baru dalam industri digital yang membawa banyak keuntungan. Negara dalam sistem kapitalisme hari ini membenarkan kidfluencer kerana sistem ini menjamin kebebasan bertindak, kebebasan bersuara dan kebebasan memiliki dengan menjulang tinggi kedaulatan undang-undang yang dibuat bersama atas kesepakatan dan persetujuan rakyat. Negara bertindak sebagai pemudahcara dan hanya akan masuk campur sekiranya berlaku masalah.
Sesuatu isu dianggap sebagai bermasalah sekiranya masyarakat atau negara merasa tidak selesa atau terancam terhadapnya. Jika isu masih menepati nilai yang dikehendaki, maka ianya masih boleh diterima walaupun jauh dari cara hidup Islam. Hari ini, masalah kidfluencer sebenarnya telah dikenal pasti sejak beberapa tahun lalu dan diakui ramai sebagai satu masalah. Ini memaksa negara bertindak kerana umat mula bersuara. Malangnya tindakan yang diambil belum mampu menangani isu ini dengan tuntas, malah masih lagi tercari-cari formula terbaik menyelesaikannya.
Diantara pendekatan yang dilakukan di beberapa buah negara adalah seperti berikut:
- Amerika Syarikat – Beberapa negeri seperti California, New York, Louisiana dan New Mexico telah menerima pakai Coogan Law (yang hanya tertakluk ke atas 4 negeri dan bukan di peringkat persekutuan AS) dimana 15% daripada bayaran yang diterima mesti diletak di dalam tabung dana (trust fund) kidfluencer. Ianya hanya boleh diambil apabila umur kidsfluencer mencecah 18 tahun.
- Perancis – tidak membenarkan memegang akaun media sosial kepada kanak-kanak berumur bawah 15 tahun sejak 21 Julai 2026 secara bertahap. Ia bermula 1 September 2026 dimana kanak-kanak tidak dibenarkan membuka akaun baru dan pada 1 Januari 2027 menghapuskan semua akaun yang telah dibuat oleh kanak-kanak bawah 15 tahun. Ahli Parlimen Perancis, Bruno Struder, telah bekerja keras ke arah melegislasikan 2 rang undang-undang iaitu:
- The Child Influencer Law (19 Okotber 2020)
- tidak membenarkan kanak-kanak bawah 16 tahun bekerja secara online tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan.
- bayaran dibuat kepada tabung dana (trust fund) kanak-kanak terbabit sehingga umurnya 16 tahun.
- The Child Image Rights Law (19 Februari 2024)
- hak untuk dilupakan untuk kanak-kanak berumur bawah 16 tahun
- Australia – tidak membenarkan memegang akaun media sosial kepada kanak-kanak berumur bawah 16 tahun sejak 10 Disember 2025.
- Indonesia – tidak membenarkan memegang akaun media sosial kepada kanak-kanak berumur bawah 16 tahun sejak 6 Mac 2026. Menurut laporan pada 5 Ogos 2026, sebanyak 5 juta akaun sosial media milik kanak-kanak berumur bawah 16 tahun telah dipadam.
- Brazil – tidak membenarkan memegang akaun media sosial kepada kanak-kanak berumur bawah 14 tahun sejak Mac 2026.
- Malaysia- tidak membenarkan memegang akaun media sosial kepada kanak-kanak berumur bawah 16 tahun sejak 1 Jun 2026.
Jika diperhatikan, penyelesaian yang dibuat oleh negara Australia, Indonesia dan Brazil adalah pendekatan untuk menghalang penggunaan media sosial di kalangan kanak-kanak bawah umur.
Australia merupakan negara yang memulakan pendekatan sebegini (2025). Malaysia juga telah mengambil pendekatan sama pada tahun ini dan mewajibkan tech giants yang mempunyai ramai pengguna seperti TikTok, Meta dan YouTube menghalang secara aktif penyertaan kanak-kanak bawah umur ke dalam platform mereka (2026). Jika platform-platform ini gagal mematuhi aturan ini, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM10 juta. Walau bagaimanapun, menurut laporan yang dikeluarkan oleh kerajaan Australia pada 24 Jun 2026, didapati terdapat 85% kanak-kanak berjaya melepasi halangan yang dibuat dan mempunyai akaun media sosial dengan menggunakan akaun palsu atau VPN.
Di antara penyebab yang dikenal pasti adalah seperti berikut:
- Platform menghadapi cabaran perlu mempersiapkan kaedah pengesahan umur yang utuh dan stabil tanpa menggunakan rekod-rekod yang dikeluarkan kerajaan.
- Kanak-kanak yang dihalang menyertai platform akan cuba mencari jalan keluar lain untuk menyertainya.
Terdapat juga negara yang sedang merancang menuju ke arah pendekatan ini seperti Turkiye, Greece, UK dan banyak lagi.
Pendekatan yang dibuat untuk menangani isu kidfluencer secara khusus buat masa ini hanya dilakukan oleh 2 negara iaitu Amerika Syarikat dan Perancis.
Sejarah buruh kanak-kanak di Amerika Syarikat dalam perjuangan Fair Labour Standard Act membuahkan hasil kepada perlindungan buat mereka bawah Child Labour Law di peringkat persekutuan. Namun disebabkan klausa akta hanya memberi perlindungan kepada pekerjaan yang menindas, Child Actor Law hanya diterima di peringkat negeri. Coogan Law merupakan undang-undang peringkat negeri yang pada awalnya menjaga hasil titik peluh kerja pelakon kanak-kanak dan kini dikembangkan kepada melindungi kidfluencer. Ditambah lagi Child Labour Law bercanggah dengan Family Law & Constitutional Protection Of Parental Autonomy menyebabkan negara sukar campur tangan dalam urusan domestik sesebuah keluarga.
Berdasarkan 2 buah negara ini, model undang-undang Perancis untuk kidfluencer dilihat sebagai jalan penyelesaian terbaik setakat ini. Menurut ahli parlimen Belanda, Thierry Aartsen (Minister of Work and Participation) pada Jun 2026, Belanda juga sedang mempertimbangkan untuk melegislasikan undang-undang kidfluencer seperti Perancis. Adakah benar solusi yang dicadangkan merupakan solusi tuntas atau sekadar pendekatan tampal sulam? Bukankah apa yang diusahakan lebih kepada merawat simptom berbanding melihat dan merungkaikan simptom ini dari akarnya?
MERUNGKAI SIMPTOM DARI AKARNYA MENURUT ISLAM
Amat sukar bagi negara dalam sistem hari ini yang berakidah sekular membincangkan sesuatu masalah dari akar. Ini adalah kerana berdasarkan akidah sekular, landasan yang layak digunakan untuk mengatur kehidupan adalah landasan yang datang dari manusia iaitu pemerhatian dan pendapat pakar yang boleh sahaja berbeza “school of thought” mereka. Sedangkan dalam Islam, setiap persoalan dijawab berlandaskan wahyu Allah. Muslim meyakini setiap masalah perlu dikembalikan kepada persoalan, “apa kata Allah dan Rasul?”
Dalam isu yang dibincangkan kali ini, kita perlu melihat apakah hakikat isu kidfluencer menurut perspektif Islam. Banyak yang boleh dikeluarkan daripada isu ini, diantaranya tetapi tidak terhad kepada 5 perkara berikut:
Tanggungjawab ibu bapa atau penjaga – Ibu bapa mahupun penjaga perlu sedar bahawa anak merupakan amanah yang dianugerahi Allah. Anak perlu dididik sebaiknya serta semampunya dalam suasana penuh hormat, membina keimanan dan selamat serta dilindungi. Adalah satu kewajipan dalam Islam bagi ibu bapa mendidik anak agar akhlak dan rohani yang baik terdidik serta menjaga privasi dan maruah anak. Oleh itu, merupakan pelanggaran etika Islam jika ibu bapa menyebarkan gambar, video atau apa-apa kandungan peribadi anak.
Daripada Abdullah bin Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa setiap daripada kamu adalah pengembala, dan kamu akan ditanya berkaitan gembalaannya. Seorang pemimpin bagi manusia adalah pengembala dan dia akan ditanya mengenai gembalaannya. Dan seorang lelaki adalah gembala kepada keluarganya dan dia akan ditanya berkaitan perihal mereka (ahli keluarganya).” [Riwayat Muslim (1829)]
Hak anak – Islam memberikan panduan tentang tanggungjawab ibu bapa kepada anak yang wajib dipenuhi. Tangungjawab ini merupakan hak anak.
Diantaranya adalah seperti berikut:
- Hak untuk nama dan identiti
- Hak untuk perlindungan dan keselamatan
- Hak untuk makanan, pakaian dan tempat tinggal
- Hak untuk kasih sayang dan belas ihsan
- Hak untuk pendidikan dan bimbingan akhlak
- Hak untuk privasi dan maruah
“Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu. Penjaganya adalah malaikat-malaikat yang kasar dan keras. Mereka tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepadanya dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” [TMQ At Tahrim: 6]
Monetisasi – terdapat beberapa garis panduan dalam monetisasi dalam Islam terkait isu ini yang sering dibincangkan seperti:
- Niat yang benar dan lurus dalam penghasilan konten bertujuan untuk ibadah menyebarkan kebaikan.
- Prinsip halal dan thoyyiban baik daripada aspek isi konten, penyampaian konten, barang yang dipromosi serta iklan.
- Konten memberikan impak yang positif lebih daripada keuntungan material. Ia sepatutnya menuju ke arah kemuliaan hidup di dunia dan akhirat serta memberikan manfaat yang banyak bagi masyarakat.
Walaubagaimanapun diperhatikan (tanpa mengambil kira niat dan impak) dalam sistem hari ini sekurang-kurangnya satu aspek tidak dapat dipastikan halal dan thoyyibannya iaitu aspek iklan. Ini adalah kerana pemilik akaun tidak mempunyai kawalan ke atas apa yang diiklankan di dalam akaun milik mereka. Daripada pemerhatian ini, adalah sangat meragukan kehalalan monetisasi.
Influencer vs influential – Disini sebenarnya terkait garis panduan 1) dan 3) dalam perkara di atas (monetisasi). Tiada masalah sebenarnya jika kita ingin menyampaikan sesuatu kebaikan walaupun pesanan datang dari seorang kanak-kanak. Cucu baginda nabi Muhammad SAW iaitu Hassan dan Hussain pernah menyampaikan kebaikan berkenaan wudhuk kepada seorang dewasa dengan cara terhormat. Perbuatan mereka dipuji. Islam amat menggalakkan kita sebagai muslim menjadi seorang yang berpengaruh (influential) yang membantu mengubah sesuatu ke arah kebaikan tetapi tidak semestinya menjadi pempengaruh (influencer). Ditambah terkait tujuan serta perkongsian kebanyakan influencer/kidfluencer hari ini adalah atas dasar populariti dan keuntungan material semata tanpa mengira adakah perkongsian dan hasil perkongsian sesuai dengan syariat atau tidak.
Penggunaan masa – Seperti yang dinyatakan di atas, perkongsian melalui media sosial yang sesuai syariat tiada masalah, tetapi janganlah kebanyakan masa dihabiskan ke arah itu sahaja. Kita perlu sedar bahawa perkongsian melalui media sosial bertugas memberikan “spark” kepada umat untuk berfikir dan mencari jawapan tentang persoalan sekitar kehidupan. Pencarian jawapan hanya boleh dilakukan dengan interaksi bersemuka yang dilakukan secara berkala dan berstrategi pengisiannya. Lebih banyak masa sepatutnya dihabiskan dalam proses mencari jawapan, menyediakan diri dalam memberi jawapan dengan pelbagai cara seperti melakukan ulang kaji, perbincangan dan pembacaan. Dalam hal kidfluencer, masa anak-anak hendaklah dipastikan digunakan sebaiknya agar hak mereka dipenuhi.
“Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)
[TMQ Al-Insyirah: 7]
KHATIMAH
Selain daripada individu dan masyarakat, pihak yang paling utama mempertimbangkan perkara di atas adalah negara. Ianya perlu dipertimbangkan ketika negara ingin menetapkan dasar negara dalam isu kidfluencer kerana ia terkait pengaturan kehidupan masyarakat.
Pertimbangan ini akan terkait rapat dengan tujuan hidup, aktiviti seharian, konsep pemilikan serta dakwah. Penetapan dasar yang jelas dalam membawa masyarakat ke arah tujuan hidup yang benar akan membuatkan segala aktiviti dalam kehidupan seharian diatur ke arah redha Allah semata.
Apa yang nyata, perkongsian bermanfaat demi memantapkan keyakinan umat tentang tujuan hidup dan yang seiring dengannya tidak akan dihalang. Malah ianya pasti akan menerima persetujuan serta dukungan negara. Mana-mana perkongsian yang tidak bermanfaat, lagha, ada unsur maksiat seperti aurat terdedah, mengajar tabarruj, perbincangan sia-sia tidak akan dibenarkan baik dari dalam negara mahupun luar negara. Ini adalah kerana usaha murni ini merupakan salah satu cara ke arah membina inidvidu dan masyarakat yang bertakwa.
Wujudnya individu dan masyarakat bertakwa akan menghasilkan perasaan dan pemahaman yang sama menurut perspektif Islam tentang isu kidfluencer. Hanya dengan adanya negara yang menerapkan sistem Islam berpandukan Quran dan Sunnah mampu mengekang masalah ini secara tuntas. Walau bagaimanapun, seperti yang dikatakan sebelum ini, amat sukar bagi negara dalam sistem hari ini yang berakidah sekular menerima pertimbangan ini. Alasannya adalah kerana syariat Islam dilihat tidak layak dijadikan landasan dalam mengatur kehidupan. Sedangkan siapakah lagi yang lebih layak mengatur kehidupan manusia kalau bukan Tuhan yang menciptakan? Atas keyakinan inilah, kita tidak menolak Islam menyelesaikan segala masalah kerana landasan yang diambil tidak datang dari manusia yang lemah tetapi dari Pencipta seluruh alam yang Maha Hebat, Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui. Kesedaran sebegini amat perlu diketengahkan kepada masyarakat untuk menangani isu dalam kehidupan kita yang semakin meruncing. Atas pemahaman inilah juga seharusnya membuatkan kita lebih termotivasi bertemu, berinteraksi dengan umat dalam rangka memperjuangkan tertegaknya semula penerapan syariat Islam dalam kehidupan.
Senarai rujukan:
- Apakah Kidsfluencer Bentuk Eksploitasi Anak? Ini Penjelasan Psikolog (ameera.republika.co.id)
- Kidsfluencer Dan Tentangan Orang Tua Era Digital (Imune)
- Kidfluencerdan Family Vlogger, Eksploitasi Anak-Anak di Balik Kedok Kebebasan Modern (MuslimahNews)
- “Kidfluencers” and Social Media: The Evolution of Child Exploitation in the Digital Age (Humanium.org)
- France Passes Bill Banning Social Media Use for Young People Under 15 (people.com)
- France passes new law to protect child influencers (bbc.com)
- The Netherlands is about to make it illegal to put your child in a monetised social media video if they are under 16. (dutchbreakingnews)
- When Play Becomes Work: Child Labor Laws In The Era Of “Kidfluencers” (Marina A. Masterson)
- It’s not play if you’re making money’: how Instagram and YouTube disrupted child labor laws (Julie Carrie Wong) – (theguardian.com)
- PP TUNAS Benarkah Melindungi Anak Di Ruang Digital (LenSaMediaNews.com)
- Four Things: Regulatory blind spot in ‘kidfluencers’ economy (theedgemalaysia.com)
- France introduces new law to enhance the protection of children’s rights in France (connectontech.bakermckenzie.com)
- Apakah Uang Hasil Monetisasi Konten Digital itu Halal? (Muhammadiyah.or.id)
- Kidfluencing And Childrean’s Mental Wellbeing (thewaveclinic.com/blog)
- IRSYAD HUKUM SIRI KE-651: HUKUM MELAKUKAN PENGEWANGAN (MONETIZATION) DARIPADA IKLAN YANG TIDAK PATUH SYARIAH
- Sistem Pergaulan Dalam Islam (Syaikh Taqiyuddin An Nabhani)
- Bad Influence: The Dark Side of Kidfluencing
- https://www.thestar.com.my/news/nation/2026/07/22/malaysia-sticks-to-regulatory-approach-not-total-ban-on-children039s-social-media-use-says-fahmi
- https://www.straitstimes.com/asia/se-asia/where-do-we-go-now-malaysias-under-16-social-media-ban-leaves-teens-detached-and-displaced
- https://www.maw-law.com/uncategorized/pour-les-enfants-a-new-french-law-regulates-influencers-who-are-under-the-age-of-16/
- Didik Anak Cara Rasulullah SAW (Muhammad Nur Abdullah Hafiz Suaid)
- Ideal Muslim (Dr Muhammad Ali Al Hashimi)
- Ideal Muslimah (Dr Muhammad Ali Al Hashimi)
- Ideal Muslim Society (Dr Muhammad Ali Al Hashimi)
#Kidfluencer #KidAwareness #CabaranEraDigital #StopChildExploitation #BahayaKapitalisme

