MUTHI’AH
Oleh : Arif B. Iskandar
“Fatimah anakku, mahukah engkau menjadi seorang perempuan yang baik budi dan isteri yang dicintai suami”? tanya sang ayah yang tak lain dan tak bukan adalah baginda Nabi Muhammad SAW.
“Tentu, Ayahku” jawab Fatimah.
“ Tidak jauh dari rumah ini ada seorang perempuan yang sangat baik budi pekertinya dan dia merupakan wanita penduduk syurga, namanya Muth’iah. Temuilah dia, teladanilah budi pekertinya yang baik itu”, kata baginda lagi.
Gerangan amal apakah yang dilakukan Muth’iah sehingga Rasulullah SAW pun memujinya sebagai perempuan teladan? Bergegaslah Fatimah menuju rumah Muth’iah. Begitu gembira Muth’iah mengetahui tetamunya adalah puteri Nabi SAW. “Sungguh bahagia sekali aku menyambut kedatanganmu, Fatimah. Namun aku perlu meminta izin suamiku terlebih dahulu kerana itu pulanglah dan datanglah kembali esok hari“.
Keesokan harinya Fatimah datang lagi bersama Hasan puteranya yang masih kecil. Ketika Muth’iah melihat Fatimah datang lagi dengan membawa Hasan, berkatalah dia “maafkanlah aku, sahabatku, suamiku telah berpesan kepadaku untuk tidak menerima tetamu lelaki di rumah ini”.
“Ini Hasan puteraku. Dia kan masih kanak-kanak, “ berkata Fatimah.
“Sekali lagi, maafkan aku. Aku tidak ingin mengecewakan suamiku, Fatimah”
Fatimah mulai merasakan keutamaan Muth’iah. Dia semakin kagum dan berhasrat menyelami lebih dalam akhlak wanita ini. Kemudian Fatimah menghantar Hasan pulang dan bergegaslah Fatimah kembali ke rumah Muth’iah. “Aku jadi berdebar-debar” sambut Muthi’ah. “Gerangan apakah yang membuatmu begitu ingin ke rumahku wahai puteri Nabi?”
“Memang benar Muth’iah. Sebenarnya ada berita gembira untukmu dan ayahku sendirilah yang menyuruhku ke sini, Ayahku mengatakan bahawa engkau adalah wanita berbudi sangat baik kerana itulah aku kesini untuk meneladanimu, Muthi’ah”. Muthi’ah gembira mendengar ucapan Fatimah, namun dia masih ragu, “Engkau bergurau sahabatku? Aku ini wanita biasa yang tak mempunyai keistimewaan apapun seperti yang engkau lihat sendiri.”
“Aku tidak berbohong Muth’iah, jadi ceritakan kepadaku agar aku boleh meneladanimu”
Muth’iah terdiam. Hening, lalu tanpa sengaja Fatimah ternampak sehelai kain kecil, kipas dan sebatang rotan di ruangan kecil itu. “Untuk apa ketiga benda itu Muth’iah?”
Muthi’ah tersenyum malu. Namun setelah didesak dia pun bercerita “Engkau tahu Fatimah, suamiku seorang buruh kasar memerah keringat dari hari ke hari. Aku sangat sayang dan hormat kepadanya. Sebaik aku lihat dia pulang dari kerja, cepat-cepat ku sambut kepulangannya. Ku buka bajunya lalu ku lap tubuhnya dengan kain kecil ini hingga kering keringatnya. Dia akan terus berbaring di tempat tidur melepas lelah, lantas aku kipaskan beliau hingga lelahnya hilang atau tertidur pulas”.
“Luar biasa pekertimu Muth’iah, lalu untuk apa rotan ini?”
“Kemudian aku berdandan secantik mungkin untuknya. Setelah dia bangun dan mandi, ku siapkan makan dan minum. Setelah semua selesai aku berkata kepadanya “suamiku bila mana pelayanan ku sebagai isteri dan masakan ku tidak berkenan di hatimu, aku ikhlas menerima hukuman. Pukullah aku dengan rotan ini dan sebutlah kesalahanku agar tidak ku ulangi”
“ Seringkah engkau dipukul oleh dia Muth’iah?” tanya Fatimah berdebar-debar.
“Tak pernah fatimah, bukan rotan yang diambilnya, justeru akulah yang ditarik dan di dakapnya penuh kemesraan, itulah kebahagiaan kami sehari-hari” tegas Muth’iah lagi.
“Muthi’ah, benar kata ayahku. Engkau perempuan berbudi baik” kata Fatimah.
=================
Terus terang saya tidak sempat menyemak kebenaran riwayat di atas dan sejauh mana kesahihannya. Namun sesungguhnya ada beberapa riwayat mu’tabar dan hadis sahih yang meneguhkan betapa seorang isteri selayaknya memperlakukan suaminya “bak Raja” persis seperti yang dilakukan Muth’iah kepada suaminya dalam kisah di atas.
Diantaranya adalah riwayat penuturan Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda “Seandainya aku boleh merintahkan seorang bersujud kepada manusia lain, aku pasti akan memerintahkan wanita agar bersujud kepada suaminya” [hadis riwayat At Tirmidzi]
Ada pula penuturan Asma binti Yazid bahawa dia pernah datang kepada nabi dan berkata “Wahai Rasulullah, aku adalah utusan para wanita kepadamu, sesungguhnya Allah telah mengutusmu kepada lelaki dan wanita seluruhnya sehingga kami mengimanimu dan Tuhanmu. Namun sungguh kami (kaum wanita) terbatas dan terkurung oleh dinding rumah kalian (para suami) memenuhi syahwat kalian dan mengandung anak-anak kalian.
Sesungguhnya kalian, wahai para lelaki mempunyai kelebihan daripada kami dengan berkumpul dan berjamaah, berkunjung kepada orang sakit, menyaksikan jenazah, menunaikan ibadah haji dan yang lebih mulia lagi dari semua itu di jihad di jalan Allah… lalu Adakah kemungkinan bagi kami untuk boleh menyamai kalian dalam kebaikan wahai Rasulullah?
Rasulullah SAW lalu menoleh kepada wanita itu seraya berkata “Pergilah kepada wanita sahaja dan beri tahulah mereka bahawa kebaikan salah seorang diantara kalian dalam memperlakukan suaminya, mencari keredhaan suaminya dan mengikuti keinginannya adalah mengalahkan semua itu!” Mendengar sabda Rasul itu wanita itu pun pergi seraya bersuka cita [Hadis riwayat Al Baihaqi].
Melalui sabdanya ini, Rasul tentu sahaja tidak sekadar menghibur wanita itu. Jihad adalah puncak kebaikan. Setiap sahabat Nabi SAW amat merindukannya. Setiap kali ada panggilan jihad, tidak ada seorang sahabat pun yang tidak bersukacita menyambutnya. Maka kemudian perlakuan yang baik seorang isteri kepada suaminya mengalahkan keutamaan jihad, tentu lebih layak bagi para isteri manapun bersukacita menjalankan kewajipan ini.
Sudahkah setiap isteri khususnya isteri pemikul dakwah senantiasa bersukacita dalam melayani suaminya? Jika belum, bersegeralah! Hampirilah suamimu. Anda peluklah dia dan raihlah redhanya. Mulai sekarang, jadilah anda Muth’iah sejati, yang akan menjadi penghuni syurga Nya nanti.Aamiin.
Wama taufiqi illa Billah wa’Alayhi tawakkaltu wahuwa ilaihi unib
#IslamicParenting #IsteriSolehah #KeluargaMuslimIdeal

