[Perjanjian Antarabangsa] Jenis-Jenis Perjanjian (Bahagian 1/2)
Penulis: Iyad Hilal
Pendahuluan
Para pengkaji telah membahagikan perjanjian kepada beberapa jenis berdasarkan pelbagai pertimbangan. Dalam kalangan mereka, ada yang membahagikan perjanjian berdasarkan jumlah negara yang menandatangani perjanjian tersebut. Ada juga yang membahagikannya berdasarkan tempoh masa berkuat kuasanya sesuatu perjanjian. Bahkan, ada yang membahagikannya berdasarkan topik yang diatur oleh perjanjian atau berdasarkan hukum syarak.
Pembahagian perjanjian yang benar ialah pembahagian yang selaras dengan hukum syarak. Manakala pembahagian yang lain merupakan pembahagian berdasarkan sistematika tartibiyyah (penyusunan), tabwibiyyah (pengelasan), dan tandhimiyyah (pengaturan) sahaja, tanpa mengambil kira pembahagian perjanjian yang bersesuaian dengan hukum syarak.
Dengan mendalami perjanjian, maka jelaslah bagi kita bahawa antara perjanjian-perjanjian tersebut terdapat perjanjian yang dibolehkan secara mutlak, terdapat perjanjian yang diharamkan secara mutlak, dan terdapat juga perjanjian yang dibolehkan dalam keadaan terpaksa. Oleh itu, perjanjian dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu perjanjian-perjanjian yang dibolehkan, perjanjian-perjanjian yang tidak dibolehkan, dan perjanjian-perjanjian dalam keadaan terpaksa.
Perjanjian yang Dibolehkan Secara Mutlak
Perjanjian yang dibolehkan itu terdiri daripada pelbagai jenis bergantung pada topik-topik yang dipersetujui dan jumlah jenisnya sangat banyak. Namun, kita akan mempelajari jenis-jenis tertentu sebagai contoh daripada perjanjian-perjanjian tersebut dengan mengambil perhatian bahawa contoh-contoh itu berbeza-beza dan merangkumi hampir semua topik yang lazim dibuat persetujuan. Berikut ialah jenis-jenis perjanjian yang akan kita pelajari.
1. Perjanjian gencatan senjata, tidak saling mengganggu dan hubungan kejiranan yang baik.
2. Perjanjian tsaqafah (kebudayaan) dan perdagangan.
3. Perjanjian berkecuali sementara.
4. Perjanjian ekstradisi.
5. Perjanjian umum berkaitan kesihatan, penerbangan, pos dan telekomunikasi.
Perjanjian Gencatan Senjata, Saling Tidak Campur Tangan dan Hubungan Kejiranan Baik
Perjanjian hubungan kejiranan baik ialah perjanjian yang dipersetujui oleh dua atau lebih negara jiran untuk menjalin hubungan baik sepanjang tempoh berkuat kuasanya perjanjian tersebut.
Adapun perjanjian untuk tidak saling mengganggu ialah perjanjian yang dipersetujui oleh dua negara atau lebih untuk tidak saling mengganggu antara satu sama lain sepanjang tempoh berkuat kuasa perjanjian tersebut.
Adapun perjanjian gencatan senjata ialah perjanjian yang dipersetujui oleh pihak-pihak yang saling berperang untuk menghentikan peperangan antara negara-negara tersebut dalam tempoh tertentu yang dipersetujui oleh semua pihak.
Perjanjian hubungan kejiranan baik berbeza dengan perjanjian untuk tidak saling mengganggu. Perjanjian hubungan kejiranan baik dilakukan oleh negara-negara yang berdekatan, sementara perkara tersebut tidak disyaratkan dalam perjanjian untuk tidak saling mengganggu. Perjanjian gencatan senjata berbeza dengan dua perjanjian sebelumnya. Perjanjian gencatan senjata hanya dilakukan selepas peperangan, sementara perjanjian berjiran baik dan perjanjian untuk tidak saling mengganggu tidak disyaratkan adanya peperangan terlebih dahulu.
Bahkan, perjanjian tersebut dibuat untuk mencegah peperangan dalam tempoh tertentu, bukan menghentikannya selepas berlakunya peperangan. Kesan perjanjian gencatan senjata dan perjanjian untuk tidak saling mengganggu hanya terbatas kepada menghentikan peperangan atau mencegah gangguan serta aktiviti ketenteraan. Oleh itu, ia tidak sampai kepada mengadakan hubungan baik antara pihak-pihak yang membuat perjanjian.
Negara yang menandatangani perjanjian gencatan senjata dan perjanjian untuk tidak mengganggu mengikat dirinya tidak lebih daripada menghentikan peperangan. Oleh itu, apa yang dinamakan sebagai normalisasi hubungan dengan Israel belum pernah berlaku dalam tradisi antarabangsa. Hal ini kerana negara yang berperang tidak diwajibkan untuk mengadakan hubungan ekonomi, kebudayaan atau kerjasama dengan negara yang pernah memeranginya.
Tidak ada alasan yang boleh dijadikan dasar untuk melakukan normalisasi hubungan. Jika perkara tersebut tetap dilakukan, maka ia tergolong sebagai pengkhianatan. Perjanjian-perjanjian ini hukumnya dibolehkan, bukan diwajibkan. Dalam erti kata lain, membuat perjanjian seperti ini bukanlah suatu kewajipan. Oleh sebab itu, imam boleh membuat perjanjian ini dan boleh juga tidak melakukannya, sesuai dengan pertimbangannya. Almarhum Muhammad Abu Zahrah berpendapat bahawa perjanjian-perjanjian tersebut hukumnya wajib apabila diminta oleh pihak musuh. Ini merupakan pendapat yang tidak benar.
Ini kerana tafsir firman Allah SWT, “Dan jika mereka condong kepada pendamaian, maka condonglah kepadanya.” [TMQ al-Anfal(8): 61] tidak boleh ditafsirkan bahawa seorang imam wajib melakukan perjanjian damai. Persoalan tersebut diserahkan kepadanya. Sekiranya penerimaan itu diwajibkan, sudah tentu tidak perlu menyerahkan persoalan tersebut kepada imam.
Demikian juga pendapat yang mengatakan bahawa wajibnya perjanjian gencatan senjata pada Bulan Haram merupakan perkataan yang tidak benar. Majoriti para ahli tafsir berpendapat bahawa peperangan pada Bulan Haram dibolehkan dan tidak diharamkan. Majoriti ahli tafsir juga berpendapat bahawa ayat yang menjelaskan tentang pengharaman berperang pada Bulan Haram telah dinasakhkan (dihapuskan).
Objek pembahasan tersebut adalah ayat, “Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada Bulan Haram. Katakanlah, ‘Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar, tetapi menghalangi manusia dari jalan Allah, kafir kepada Allah, menghalangi masuk ke Masjidil Haram, dan mengusir penduduknya dari sekitarnya lebih besar (dosanya) di sisi Allah.’” [TMQ al-Baqarah (2): 217].
Para ahli tafsir berpendapat bahawa ayat ini telah dinasakhkan oleh ayat, “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat Bulan Haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya.” [TMQ at-Taubah (9): 36]
Sumber: Iyad Hilal, Perjanjian-Perjanjian Internasional dalam Pandangan Islam.
Bersambung ke “Jenis-Jenis Perjanjian” Bahagian 2/2.
#PerjanjianAntarabangsa #DarulIslam #DarulKufur

